Nilai Ibadah Seorang Hamba


Engkau beribadah kerana Syurga atau kerana Tuhan, jawab di dalam hati sahaja
Engkau beribadah kerana takut Neraka atau kerana takut Tuhan semesta?
Jawablah lagi di dalam hati, tidak payah dinyata
Cukuplah engkau seorang yang tahu sahaja
Engkau beribadah hendak cari pahala atau hendak cari keredhaan Tuhan?
Engkau jawablah sendiri di dalam hati
Kerana engkau sahaja yang tahu niat mengapa engkau beribadah
Engkau beribadah kerana cari fadhilat atau kerana hendak melahirkan rasa hamba?
Hati engkau boleh menjawabnya
Engkau beribadah hendak membesarkan Tuhan atau hendak membesarkan pahala?
Engkau jawablah sendiri, yang tahu hati engkau sahaja
Engkau beribadah kerana hendak merendah diri atau hendak membesarkan diri kerana bangga dengan ibadah engkau?
Aku tanya ini, engkau jawablah sendiri
Engkau beribadah adakah engkau rasa hina di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa?
Engkau tentu tahu Tuhan itu siapa
Kalau engkau kenal benar-benar Tuhan waktu beribadah itu, engkau sangat terasa hina bukan?
Rasa kerdilnya diri di hadapan Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa
Selepas beribadah, apa engkau rasa?
Senang, tenang, cemas, bangga, puas hati, tidak terasa apa-apa?
Bolehkah engkau menjawabnya dengan tepat mengikut sepatutnya
Itulah di antara pertanyaan-pertanyaan yang patut engkau jawab secara tepat
Jawapan sebagai seorang hamba yang benar-benar kenal dirinya
Jawapan seorang hamba yang benar-benar kenal Tuhannya
Jawapan seorang yang terasa hamba
Jawapan seorang hamba yang rasa bertuhan yang  sangat tebalnya
Kalau tidak begitu jawapannya, tentu tidak tepat
Jika tidak tepat, engkau bukan beribadah sebenarnya
Kalau beribadah tidak sebenarnya, ibadah itu tidak mengubah sikap engkau
Ibadah tidak membangunkan jati diri engkau
Ibadah itu tidak ada harga di sisi Tuhan engkau 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah