Showing posts with label minda FAT. Show all posts
Showing posts with label minda FAT. Show all posts

5 syarat ibadah

Sebenarnya apa saja kerja yang kita lakukan untuk jadi ibadah, ia mesti menempuh lima syarat. Apabila setiap kerja kita, yang kita lakukan menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah swt. Syarat itu ialah:

1. Niat mesti betul
2. Perkara yang dibuat sah / halal ikut syariat
3. Perlaksanaan mesti betul.
4. Natijah mesti betul
5. Tidak meninggalkan perkara yang asas (ibadah asas).


Supaya lebih difahami saya akan buat satu tamsilan atau ibarat bagaimana sesuatu kerja itu boleh jadi ibadah. Kalau faham tamsil ini maka ribuan kerja lain boleh dikiaskan supaya jadi ibadah. Untuk tamsil ini saya pilih bidang perniagaan sesuai dengan selera masyarakat kita yang sedang sibuk berjuang untuk meninggikan taraf ekonomi melalui bidang ini.



Perniagaan itu luas. Jadi saya bincang tentang berniaga kedai runcit, bagaimana perniagaan itu boleh jadi ibadah:

1. Niat berniaga mesti betul. Misalnya hatinya berkata begini, "Di tempat ini ramai umat Islam, tapi satu pun tak ada kedai runcit. Ini hal fardhu kifayah. Kalau tak selesai ertinya semua umat Islam di sini menanggung dosa. Kalau begitu aku nak buka kedai runcit.." Itu adalah niat yang betul, yang tidak betul hatinya berkata, "Aku nak berniaga supaya untung, bila untung aku nak ek," Mana boleh niat nak sombong. Itu niat tak betul.

2. Perkara yang diniagakan sah atau halal menurut Islam, seperti gula, garam, asam, kicap dan keperluan-keperluan lain. Barang-barang yang tidak boleh jual ialah todi, "anchor beer", "tiger beer", dadah, tiket loteri, rokok dan lain-lain.

3. Perlaksanaan atau pengendalian kedai hendaklah dijalankan mengikut syariat. Timbangan mesti betul, sukatannya pun betul, tidak ada penipuan dan tidak ada unsur-unsur riba.

4. Natijah mesti betul. Hasil keuntungan mestilah disalurkan kepada kehendak syariat. Bila mendapat untung, cukup haul maka keluarkan zakat. Bantu fakir miskin, derma masjid dan surau, korban untuk jihad fisabilillah dan sebagainya. Natijah yang tidak betul ialah digunakan keuntungan dari perniagaan itu ke meja judi, ke tempat- tempat disco, kelab-kelab malam, ke tempat pelesiran dan lain-lain lagi.

5. Berniaga jangan sampai tidak sembahyang. Mentang-mentang hendak menegakkan fardhu kifayah, fardhu ain tak payah. Mana boleh fardhu ain tak payah, ia lebih utama daripada fardhu kifayah. Ertinya fardhu ain lebih utama dari fardhu kifayah. Orang yang berniaga tapi tak sembahyang, tidak akan dapat pahala apa-apa. Perniagaan yang diaturkan oleh orang-orang yang tak sembahyang tidak diterima sebagai ibadah di sisi Allah. Sebaliknya seorang yang berniaga mengikut syariat dengan menunaikan kelima-lima syarat itu dianggap ia telah berbakti, beribadah dan mengabdikan diri ke pada Allah swt.

Kalau sepuluh jam dia berniaga maka sepuluh jam pulalah dia dalam beribadah, yakni sepuluh jam dia diberi pahala. Kalaulah ada dalam masa yang sama seorang lain beriktikaf di masjid, sembahyang sunat, baca Quran, zikir, wirid, maka di sisi Allah si peniaga itu adalah lebih baik daripada orang yang beriktikaf kerana orang berniaga tidak boleh menyesal atau rasa bersalah, sebab dia berkedai tidak dapat beriktikaf. Sebab orang yang di dalam masjid dia beramal untuk dirinya sedangkan orang yang berkedai itu berkhidmat untuk orang lain.

Islam memandang mulia kepada orang yang berbuat amal untuk masyarakat. Sabda baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak manfaatnya pada manusia."

Daripada contoh usaha ikhtiar yang menempuh 5 syarat ini, maka bolehlah kita kiaskan dengan lain-lain usaha ikhtiar kita, seperti menyusun rumahtangga, berpendidikan, berpolitik, berjuang dan berjihad dan lain-lainnya. Di situ nanti kita akan dapat menilai yang mana kalau seluruhnya tidak menempuh 5 syarat, ia tidak jadi ibadah.

http://ibnunajm.blogspot.com

~Akibat bercinta sebelum kahwin :::

Nafsu sungguh jahat, syaitan amat menipu
Di akhir zaman ini ramai orang berkahwin berkenalan-kenalan
Dan bercinta-cinta lebih dahulu
Sebelum berkahwin di waktu bercinta semuanya indah-indah belaka
Tidak ada yang susah, tidak ada masalah
Semuanya baik walaupun jelik, sekalipun menyusahkan, tapi indah
Di masa itu kentutnya pun wangi, peluhnya pun harum mengalahkan atar
Tapi setelah berkahwin...
tidak sampai setahun
Tiga bulan sahaja yang dahulu bukan masalah sekarang masalah
Dahulu yang busuk berbau harum, sekarang yang harum berbau busuk
Sekalipun atar pilihannya yang dipakai namun baunya menyakitkan
Dahulu yang diminta perkara susah bukan masalah
Sekarang yang mudah satu kewajipan pula dianggap masalah
Dahulu cinta itu dirasakan sampai ke sudah
Rupanya sebelum separuh jalan punah
Dahulu yang jahat pun dianggap baik
Sekarang yang baik dianggap jahat
Betapalah yang jahat terasa berpuluh-puluh kali jahat dan menyusahkan
Perang mulut pun mula terjadi
Masing-masing saling menunjukkan sikap bermusuhan
Kadang-kadang tidur pun berasingan atau tidur membelakang
Dahulu marahnya pun indah
Sekarang senyumnya pun pahit macam jadam
Masing-masing bawa diri, izin -mengizin sudah tiada lagi
Makin bertemu perang menjadi-jadi
Makin berjumpa maki benci-membenci
Akibatnya pun sudah terjadi pada suami isteri ini?
Kedua-duanya pergi jumpa tuk khadi
Minta cerai katanya jodoh sudah tidak ada lagi
Begitulah kesan cinta dahulu sebelum kahwin
Indahnya dan manisnya sudah habis barulah diijab kabulkan

kaedah dalam berjuang ::: sila ambil perhatian

Apapun yang hendak kita lakukan, asasnya kena ada ilmu. Samalah juga dengan berjuang, sebelum nak berjuang, kena ada ilmu. Jadi dengan ilmu itu, kena difahami. Dengan faham, baru boleh melaksanakan. Mana mungkin mudah-mudah kita nak berdakwah dan berjuang, tanpa ilmu dan faham agama. Itu sebab banyak orang kita termasuk ulamak ada yang tersasar dalam berjuang. Sebab ilmu tak tepat, jauh sekali dari faham. Di bawah ini adalah sedikit panduan sebagai kaedah dalam berjuang, moga-moga kita mendapat ilmu tentangnya:

1) Kalau kita kaji Al-Quran, ada firman Tuhan yang bermaksud, “bila hak itu datang, maka kebatilan akan lenyap.” Inilah yang perlu dilaksanakan. Kena menzahirkan kebenaran dalam bentuk jemaah. Tegakkan sistem Tuhan dalam jemaah seperti sistem ekonomi, sistem kebudayaan, sistem pentadbiran dan sistem pendidikan. Bila kita tegakkan sistem, bukan maknanya kita beruzlah atau menyendiri. Jemaah itu bila menzahirkan kebenaran, di situlah dia bermasyarakat. Di situlah dakwah mereka melalui model Islam yang ditonjolkan. Di situlah nanti proses jongkang jongket akan berlaku. Tuhan sendiri akan campurtangan melenyapkan sistem batil seperti kapitalisma dan demokrasi. Itu kerja Tuhan. Kita buat kerja kita, nanti Tuhan yang akan bertindak. Inilah yang perlu difahami daripada ayat tersebut.

2) Kemudian, bila kita tengok masyarakat sudah rosak, yang utama bagi kita ialah baiki diri kita dahulu. Tuhan sudah sebut dalam Al-Quran, “peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”. Tuhan anjurkan kita baiki diri kita dahulu, bukan diri orang lain. Asas dalam baiki diri kita ialah membaiki sembahyang. Sembahyang di awal waktu, berjemaah dan usahakan khusyuk semampu termungkin.

3) Nak tackle masalah masyarakat kena tahu puncanya. Takut-takut sakitnya lain, kita ubatkan yang lain. Punca masyarakat rosak ialah masyarakat sudah tak kenal Tuhan. Hasil tak kenal Tuhan, tidaklah mereka itu cinta dan takutkan Tuhan. Jadi ini yang hendak dibawa iaitu nak bawa masyarakat kenal Tuhan. Tetapi ada syaratnya, kenalah pendakwah itu kenal Tuhan dahulu. Mana mungkin kita yang tak kenal Tuhan, boleh mengenalkan orang lain pada Tuhan.

4) Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah. Dalam ayat tersebut, jelas Allah tak sebut: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan ilmu. Tetapi Allah sebut hikmah. Apa maksud hikmah? Hikmah itu ialah ilmu di dalam ilmu. Atau dalam ertikata lain ilmu yang tersirat. Bukan sekadar ilmu Islam tetapi ilmu yang ada roh. Jadi roh ilmu itulah yang perlu kita ada. Nak dapatkan hikmah, bukan daripada sembarangan orang yang boleh kita dapati hikmah ini. Ia hanya dimiliki oleh orang yang dianugerahkan Tuhan hikmah atau disebut “Ahlul-Hikmah.“

5) Asas Rasulullah berjuang atau berdakwah ialah memperjuangkan taqwa di kalangan sahabat. Begitu juga boleh diapplykan kepada kita, sebelum hendak berjuang kena persiapkan bekalan taqwa. Hasilnya nanti macam sahabat juga. Kesan daripada taqwa mereka, tak perlu bercakap banyak, orang lain masuk Islam. Orang tengok akhlak mereka, boleh masuk Islam. Orang tengok mereka berwudhuk dan bersembahyang, orang masuk Islam. Kenapa? Kerana taqwa sahabat itu ibarat besi berani yang menarik orang pada Islam. Kita nak jadi macam itu. Kalau tidak, berbuih mulut, penat berjuang, hasilnya kosong. Tuhan tak bantu, sebab kita tak bertaqwa. Jadi asasnya kena usahakan taqwa dahulu.

6) Dalam perjuangan menegakkan agama Tuhan, faktor pemimpin itu penting. Tak boleh tidak, mesti ada pemimpin yang dilantik Tuhan. Dulu ada Rasul. Sekarang tidak ada rasul, ada ulamak berwatak Rasul yang memperjuangkan agama Tuhan. Teknik dan kaedah ada pada ulamak tersebut. Kita kena mencari dan merujuk pada ulamak ini. Jangan kita memandai buat sembarangan, takut-takut Tuhan tak iktiraf perjuangan kita itu sebagai ibadah. Takut-takut kedatangan kita lebih merosakkan keadaan yang sedia ada. Bila kita berusaha berjuang, yang nak jayakan adalah Tuhan. Kita hanya mampu berbuat. Ujian yang datang, hakikatnya daripada Tuhan juga, itu adalah asam garam perjuangan. Agama ini Tuhan punya, Dia sendiri akan bertanggungjawab terhadap agamaNya. Fahamilah panduan ini, jika tidak, nanti jauh tersasar daripada kaedah dan matlamat perjuangan yang sebenar. Sekian.

dptn blog : http://mindaglobal.blogspot.com

FAT : Pernikahan


Mengapa menikah?
mengapa perlu menjadi suami isteri?
kalau kita minta jawapannya dari sebahagian besar orang, jawapannya mungkin hampir sama. Iaitu untuk menunaikan tuntutan fitrah semula jadi. ataupun hendak menunaikan tuntutan biologis. Kalau tidak akan merasa sepi atau tidak bahagia dalam hidup ini... tiada hiburan....

Kalau beginilah jawapan yang menjadi pegangan sebahagian beasr manusia, maka tujuan menikah itu sudah terlalu sempit dan bernilai murahan. secara tidak disedari manusia telah menjatuhkan taraf dirinya kepada haiwan.

sebab apa?

kerana haiwan 'kahwin' untuk tujuan seperti itu juga. Jadi sama-sama tidak ada cita-cita masa depan. Dengan maksud lain pernikahan itu terbatal. Apabila terbatal, hilanglah bahagia, tiada hiburan...

Orang mukmin yang sejati, yang cinta dan takutkan Tuhan serta faham maksud pernikahan serta berpandangan jauh ke hadapan, berjiwa besar dan bersifat global begini tujuan pernikahannya....

Tujuan pernikahan adalah ingin mengikut sunnah nabi, menghiburkan Rasulullah, ingin mendapatkan zuriat yang banyak serta bertaqwa, serta menyambung perjuangan ibu dan ayahnya. Agar Islam terus disambung. Ibu ayah akan dapat pahala hasil perjuangan anak-anaknya.

Selain itu, suami isteri ada 'kawan' untuk berbincang tentang Tuhan, Islam, Perjuangan Islam, nasib umat Islam, berbincang tentang ilmu, nasib agama, bangsa dan negara.
Jika perkara di atas dihayati, ia adalah satu hiburan, kebahagiaan, dan kepuasan.

Tuntutan naluri atau tuntutan biologis itu sudah maklum ada. Ia terjadi sendiri bila ransangan ada. Tetapi ia bukan TUJUAN UTAMA dalam pernikahan. Matlamat utama lebih besar dan lebih jauh dari itu.

Orang menikah yang mempunyai cita-cita besar terlalu banyak hiburan yang dirasakan sebagai suami isteri. Memperkatakan Tuhan, perjuangan, nasib umat Islam; itu semua adalah suatu kebahagiaan dan kepuasan bakan satu keindahan. Kalu naluri kurang dapat ditunaikan, banyak lagi hiburan yang lain.

Jadi kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada tuntutan naluri sahaja.
itu untuk orang yang tidak ada cita-cita besar, orang yang tidak berpandangan jauh ke hadapan.

Mengajar suami isteri semata-mata tentang tuntutan naluri seperti mengajar orang Islam bercita-cita murahan. Padahal cita-cita pernikahan di dalam Islam adalah cita-cita yang mahal, cita-cita yang murni. Cita-cita Islam, cita cita yang cemerlang. Cita-cita Islam dan umat masa depan.

Bagi Orang bertaqwa, itulah kepuasan, itulah kebahagiaan. Itulah cita-cita umat Islam yang silam di dalam pernikahan.


CARILAH RAHMAT DAN KASIH SAYANG TUHAN

Manusia dimasukkan ke dalam Neraka kerana keadilan Allah. Tidak ada siapa pun yang dilemparkan ke dalam Neraka kerana terzalim. Mereka yang dilemparkan ke Neraka juga tidak terasa dizalimi. Penghuni Neraka itu sendiri akan merasakan patut dan layak mereka itu dicampakkan ke dalam Neraka dan semua mereka sedar akan punca dan sebab-sebabnya.

Namun demikian, keadaan ini tidak sama dengan Syurga. Hakikatnya adalah tidak adil kalau manusia itu dimasukkan ke Syurga. Tidak ada manusia yang layak untuk ke Syurga. Tidak ada kebaikan atau amalan soleh yang dibuat oleh manusia yang dengannya ia dapat membeli nikmat Syurga. Walau bagaimana banyak dan hebatnya amalan soleh seseorang manusia itu, ia tidak akan dapat menebus walaupun nikmat sebelah mata. Ini belum lagi nikmat-nikmat yang lain. Jauh sekalilah untuk membeli Syurga.

Allah SWT memasukkan manusia ke dalam Syurga hanya kerana kasih sayang dan rahmat-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Manusia tidak dimasukkan ke dalam Syurga kerana amalannya.” Maka Sahabat bertanya: “Tidakkah juga engkau ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Ya, tidak juga aku. Aku dimasukkan ke Syurga kerana rahmat Allah.”

Kalaulah kasih sayang dan rahmat Allah menjadi sebab kita ke Syurga, maka itulah perkaranya yang patut kita usahakan. Apa pun yang kita buat atau yang kita amalkan mestilah untuk menagih dan mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk beramal dan berjuang mestilah juga untuk mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk menjauhkan maksiat dan kemungkaran mestilah kerana takut tersisih dan terlepas dari kasih sayang dan rahmat Allah dan takut Allah akan murka kepada kita.

Justeru itu, hendaklah kita banyak usahakan perkara-perkara yang boleh mendatangkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di antaranya ialah:

* Banyak menyebut nama-nama orang soleh. Menyebut-nyebut nama orang-orang soleh itu rahmat.
* Makan bersama orang soleh kerana itu rahmat.
* Menerima tetamu. Kerana datangnya tetamu itu membawa rahmat dan perginya menghapuskan dosa.
* Banyakkan amalan-amalan sunat. Allah ada berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan sayang kepadamu.”

Di dalam konteks yang sama, beramal untuk mendapatkan sebanyak-banyak pahala dan fadhilat dari ibadah tidak ada erti apa-apa. Pahala dan fadhilat bukan menjadi sebab manusia
dimasukkan ke Syurga. Ia bukan matawang untuk kita beli Syurga. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan pahala dan fadhilat.

Mereka yang beramal untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat demi untuk mendapatkan Syurga seolah-olah telah mengkesampingkan Tuhan. Seolah-olah mereka telah menggantikan peranan Tuhan itu dengan pahala dan fadhilat dan seolah-olah pahala dan fadhilat itu menjadi penentu mereka dapat masuk ke Syurga. Mereka merasakan seolah-olah dengan memiliki banyak pahala itu akan terjamin kasih sayang Tuhan dan terjamin Allah tidak akan murka pada mereka.

Yang lebih berbahaya lagi ialah apabila pahala dan fadhilat menjadi matlamat amalan mereka dan bukan lagi Tuhan. Walaupun mulut mereka berkata: “Sahaja aku solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya kerana Allah”, tetapi hati mereka mentasdikkan untuk mendapat pahala dan fadhilat. Pahala dan fadhilat hanyalah apa yang Allah janjikan di atas amalan soleh yang kita buat dan ia adalah urusan Tuhan. Bukan kerananya kita beramal.

Mereka yang beramal untuk pahala dan fadhilat juga telah terjebak dengan cara dunia dan sekularisma. Kalau di dunia mereka mengumpulkan wang untuk membeli kesenangan maka mereka terbawa-bawa untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat guna untuk membeli kesenangan di Akhirat.

Pahala dan fadhilat itu sebenarnya ibarat hadiah dari Tuhan. Adakah patut kita berlumba-lumba untuk mendapat dan mengumpulkan hadiah tetapi tidak mengendahkan dan tidak mempedulikan Tuhan yang memberikan hadiah itu. Apa dan siapa sebenarnya yang harus kita sanjung dan perbesarkan, hadiah atau yang memberi hadiah?

Kalaupun kita dapat mengumpulkan sebanyak-banyak pahala, apalah ertinya kalau kita tidak mendapat kasih sayang dan rahmat Tuhan. Tetapi kalau kita mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, ertinya kita sebenarnya telah mendapat segala-galanya. Tidak ada apa lagi yang kita perlukan kalau kita sudah mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan.

KERAJAAN BUMI DAN KERAJAAN LANGIT

Seorang raja itu, dia berkuasa. Dia memerintah dan mentadbir sesebuah negara. Jentera pemerintahan dan pentadbirannya dinamakan ke-raja-an.

Di zaman tidak ada raja atau raja telah hilang kuasanya, jentera pemerintahan dan pentadbiran tetap dinamakan kerajaan. Bila disebut kerajaan, maka ada berbagai jenis kerajaan. Ada kerajaan langit dan ada kerajaan bumi.

Kerajaan langit ialah kerajaan Tuhan. Segala-galanya di langit di tadbir dan di perintah mengikut hukum-hakam Tuhan. Tidak ada penyelewengan, tidak ada percanggahan sistem dan tidak ada yang tidak taat. Justeru itu, kehidupan di langit aman damai dan tenang. Tidak ada peperangan. Semuanya berjalan dengan licin, lancar dan teratur seperti mana yang Tuhan kehendaki.

Bumi juga satu ketika dahulu, termasuk di bawah pemerintahan kerajaan langit. Semuanya di bumi berjalan dengan baik. Semua makhluk di bumi ketika itu taat dan patuh kepada Tuhan. Tetapi, Tuhan ada jadual dan perancangan-Nya. Diciptakan-Nya manusia supaya menjadi khalifah-Nya di muka bumi. Dihantar-Nya manusia ke bumi dan diserahkan bumi ini untuk ditadbir oleh manusia bagi pihak Diri-Nya.

Maka wujudlah kerajaan bumi yang dikendalikan oleh manusia sebagai tambahan kepada kerajaan langit. Namun, tidak semua perkara di bumi diserahkan kepada manusia untuk ditadbirkan kerana manusia tidak mampu. Manusia hanya perlu mentadbir hal urusan mereka sendiri dan khazanah bumi sahaja. Soal hujan, air, angin, cuaca, iklim, putaran bumi, cahaya matahari, air pasang surut dan sebagainya tetap di bawah pentadbiran kerajaan langit.

Di zaman bumi ini ditadbir dan diperintah oleh orang-orang Tuhan seperti para rasul dan para mujaddid , semua hukum-hakam, peraturan dan sunnah Allah berjalan dengan lancar di muka bumi.

Tetapi di zaman-zaman yang lain, di kala bumi diperintah oleh manusia-manusia yang tidak beriman dan yang melawan dan menentang Tuhan, mereka tolak hukum-hakam Tuhan. Mereka tidak yakin dan tidak percaya dengan peraturan sistem Tuhan. Mereka cipta peraturan dan sistem mereka sendiri. Asalnya mereka dihantar ke muka bumi sebagai hamba dan khalifah Tuhan.

Tetapi mereka memberontak. Mereka tidak rela menjadi hamba. Mereka mahu menjadi tuan dan mahu mentadbir bumi ini ikut selera mereka sendiri. Mereka lupa bumi ini Tuhan punya. Mereka lupa mereka hanya wakil Tuhan. Mereka mahu mengenepikan Tuhan dan mahu mengambil-alih bumi ini menjadi hak mereka dan mentadbirkannya ikut cara mereka. Ini satu rampasan kuasa yang sangat besar dan sangat ketara. Ini satu coup-de-tat yang tidak ada tolok bandingnya.

Ini bukan satu rampasan kuasa di antara sesama manusia. Ini macam hendak merampas kuasa Tuhan atau setidak-tidaknya hendak melepas diri dari kuasa Tuhan. Memang manusia ini tidak tahu malu dan tidak sedarkan diri.

Menumpang di bumi Tuhan tetapi tidak mahu mengikut peraturan dan sistem Tuhan. Cuba bayangkan orang yang kita beri tumpang di rumah kita, tiba-tiba dia hendak ambilalih kuasa di rumah kita. Diubahkan susunan kerusi meja kita ikut selera dia. Ditukar langsir dan alas meja. Dipindahkannya peti ais ke depan dan tv ke dapur. Disusun semula jadual makan, jadual minum dan jadual sarapan. Dia pula yang hendak memerintah dan hendak berkuasa dalam rumah kita. Ini tetamu haprak namanya.

Tambahan pada itu, orang merampas kuasa kerajaan atau kuasa raja, dirampasnya semua kuasa. Bukan sesetengah kuasa sahaja. Tetapi manusia hendak merampas kuasa Tuhan di muka bumi namun tidak pula dia merampas kuasa Tuhan ke atas air, hujan, angin, iklim, cuaca, cahaya matahari dan sebagainya. Dia rampas benda-benda yang dia rasa dia boleh tangani dan boleh handle sahaja.

Tahu pula dia banyak benda dalam dunia ini yang dia tak boleh handle. Itu pun dia nak rampas kuasa juga. Maka manusia mulalah menggunakan segala bentuk kerajaan ciptaan manusia untuk memerintah bumi.

Semuanya berbentuk sekular belaka. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Ada kerajaan komunis. Ada kerajaan demokrasi. Ada kerajaan sosialis. Ada kerajaan beraja. Ada kerajaan republik dan sebagainya.

Diciptalah juga berbagai sistem dan ideologi hasil fikiran akal manusia. Sistem ekonomi kapitalis, pendidikan sekular, kewangan riba, perundangan berat sebelah dan lain-lain lagi. Hasilnya, Tuhan berlepas diri. Apa yang terjadi? Hidup manusia jadi kucar-kacir, huru-hara dan kacau-bilau. Nafsu bermaharajalela. Timbul ketidakadilan, tindas-menindas, tekan-menekan, rebut-merebut dan tikam-menikam. Hilang kasih sayang. Hilang persaudaraan. Hilang perpaduan. Manusia jadi jahat. Jenayah berleluasa. Akhlak manusia rosak. Moral jatuh menyapu bumi. Manusia hidup di dalam ketakutan dan kebimbangan. Sentiasa resah dan gelisah. Hilang ketenangan dan kebahagiaan .

Manusia mula menjadi haiwan. Inilah tamaddun manusia hari ini. Sudah rosak dan merosakkan. Terlalu jauh dengan Tuhan. Dunia sudah jadi neraka. Berlaku kerosakan di lautan dan di daratan hasil usaha tangan-tangan manusia yang telah menolak peraturan, perundangan dan hukum-hakam Tuhan.

Nasib baiklah hujan masih turun. Angin masih bertiup. Matahari masih menyinar dan bumi masih berputar. Kalau semua ini Tuhan serahkan kepada manusia untuk diuruskan, nescaya tidak akan ada lagi manusia di bumi ini.

Di kala mana masyarakat manusia itu jahat, Tuhan akan hantar kepada mereka pemimpin yang jahat sebagi hukuman kepada mereka. Agar mereka rasa bala bencananya. Apabila manusia sedar dan memperbaiki diri, Tuhan akan hantar kepada mereka pemimpin yang baik agar mereka dapat hidup dengan tenang, aman dan damai.

Dan apabila datang pemimpin yang Tuhan tunjuk iaitu orang Tuhan atau pemimpin yang dijanjikan maka kerajaan langit akan membantu kerajaan bumi. Akan turun rahmat dan kasih sayang Tuhan. Kerajaan langit dan kerajaan bumi akan bergabung. Akan wujud kerajaan Tuhan di mukabumi ini. Segala-gala akan berjalan mengikut undang-undang Tuhan. Manusia akan cinta dan takut dengan Tuhan. Manusia akan berkasih sayang dan bersatu-padu. Manusia akan hidup dengan aman dan makmur dan akan mendapat keampunan Tuhan.

APA SIFAT YANG PERLU ADA PADA PEMIMPIN?

Ramai orang yang berhasrat untuk menjadi pemimpin, malah berebut pula. Tumbuhnya keinginan itu kerana melihat kepada habuan yang bakal diperolehi. Ini dapat dilihat kepada mereka yang telah dan sedang bergelar pemimpin. Bukan sahaja hidup mereka sendiri kaya-raya, malah kadang-kadang keluarga, suku sakat dan kroni mereka turut memperolehi habuan.




Bukan sahaja harta kekayaan, banyak lagi keistimewaan lain yang diperolehi dengan mudah. Ini termasuklah populariti, sanjungan privacy dan masa bersantai. Ke mana pergi disambut dan diistimewakan. Seolah-olah bergelar pemimpin itu satu tiket untuk memenuhi keinginan dirinya.

Sekiranya kepemimpinan itu diperhitungkan pada aspek lain, umpamanya tanggungjawab, amanah, tugas, beban, dan khidmat nescaya ramai pula yang kecut perut dan menghindarkan diri dari kepimpinan. Andainya rakyat ramai, kebajikan, keperluan, kasih sayang, keselamatan, keselesaan yang mesti dipenuhi oleh pemimpin, nescaya tiada yang sanggup untuk berebut dan menawarkan diri. Terutamanya apabila memikirkan seluruh tanggungjawab tersebut bakal dihisab oleh Allah SWT satu persatu secara terperinci di Akhirat kelak.

Siapa yang layak menjadi pemimpin?

Iaitu orang yang memiliki ciri-ciri kepimpinan dan sanggup meletakkan diri seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dengan sabda baginda maksudnya:

Pemimpin suatu kaum itu adalah khadam bagi mereka (kaumnya) (Riwayat Abu Naim)

Khadam merupakan seorang yang mengabdikan diri, merelakan diri memberi khidmat dan melayani tuan atau majikannya. Khadam sentiasa bersedia memikul beban tugas sehingga majikannya puas hati. Khadam itu sendiri akan merasa puas sekiranya segala khidmatnya sempurna tanpa mengharapkan sebarang balasan, habuan dan penghormatan. Bagi dirinya, cukup sekadar memilik keperluan hidup dan dapat menjamin kelancaran tugasnya tanpa sebarang gangguan. Dalam konteks pemimpin (khadam) maka tuan atau majikannya ialah rakyat ramai!

Bagaimana jiwa seorang pemimpin? Iaitu umpama jiwa Saidina Umar Ibnu Khattab apabila beliau berkata: "Andainya seekor kambing berjalan mencari makan dari Madinah ke Kufah dan patah kakinya dipinggir Sungai Dajlah lalu mati lantaran jalannya rosak, aku takut Allah SWT akan pertanggungjawabkan ke atas aku di Akhirat kelak."

Kalau sekadar seekor kambing yang patah kaki dan tidak dapat mencari makan tentu tiada pemimpin hari yang ambil hirau. Buktinya, rakyat merintih, keluh kesah dan akhirnya merusuh kerana kesukaran hidup, pun tiada pemimpin yang rasa bersalah. Andainya pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyat, tentulah sudah dapat dikesan semenjak 30 atau 40 tahun yang lampau dan bertindak mencari penyelesaian. Tentulah tidak ada rakyat yang mati di Selat Melaka kerana bot pancungnya pecah dipukul gelombang.

Kemajuan mesti dicapai. Teknologi perlu dicanggihkan. Ekonomi wajar meluncur lebih pesat. Produktiviti perlu ditingkatkan. Untuk apa itu semua? Semuanya sebagai alat yang dapat membantu mentaati Allah SWT. Dan bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada kehidupan umat. Itu idealismanya. Realitinya pula bagaimana? Mengapa kemajuan semakin tinggi dicapai, ekonomi semakin pesat,teknologi semakin canggih tetapi Allah SWT semakin dilupakan? Hidup semakin tegang, keluh kesah, kusut dan masih ramai yang terbiar tanpa pembelaan. Rakyat terpaksa bangun dan bertindak ganas untuk menyedarkan pemimpin.

Marilah kita menoleh sejenak kepada figur-figur contoh. Peribadi kepimpinan yang membayangi peribadi Uswatun Hasanah iaitu Rasulullah SAW. Hasil buah tangan didikan Rasulullah SAW itu maka lahirah Khulafa' Ar Rasyidin.

Jangan lagi ada suara sumbang bernada sinis, hendak ikut mereka naik unta, makan tamar dan bersenjatakan pedang.

Jangan lupa bahawa mereka adalah orang yang telah berjaya dan termaktub dalam sejarah. Sebahagian mereka telah dijamin memasuki syurga, ertinya Allah SWT telah redha ke atas mereka dan cara mereka. Andainya mereka tidak betul tentulah tiada jaminan Syurga ke atas mereka.

UBAT UNTUK SEGALA PENYAKIT


Daripada Ibnu Umar r.a, dia berkata bahawa Rasulullah SAW menghadap kepadanya dan para sahabat, kemudian beliau bersabda: "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara andainya kamu ketepikan maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT semoga kamu tidak menemui saat itu. Tidak terserlah zina pada suatu kaum sehingga mereka melakukan terang-terangan kecuali mereka akan ditimpa taun yang cepat merebak di kalangan mereka dan mereka dimusnahkan oleh penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat terdahulu. Dan tiada mereka mengurangi sukatan dari timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan berlaku zalim daripada kalangan pemimpin mereka. Dan tiada mengeluarkan akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka hujan dari langit. Jika tiada binatang, tentu mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT. Dan tiada mereka mungkir janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. Dan apabila pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan di saat itu Allah jadikan peperangan sesama mereka."



Penyakit-penyakit merebak khususnya taun berpunca kerana perzinaan sangat berleluasa dan terang-terangan. Terang-terangan berlakunya ini bukan bermaksud boleh dilihat dengan mata kepala. Tetapi banyaknya rumah pelacuran, sarang maksiat serta meningkatnya kes buang bayi, itulah tandanya manusia sudah berani mendedahkan pelakuan zina.

Banyak pula kedapatan penyakit yang tidak ada sebelumnya terutamanya Aids. Penyakit ini juga merebak dengan cepat melalui berbagai-bagai cara yang semuanya hasil perbuatan tangan manusia. Umpamanya, Aids hinggap kepada orang lain melalui perkongsian jarum suntikan. Ada juga melalui cara semulajadi seperti penyusuan bayi.

Semua penyakit ini menyusahkan kehidupan manusia. Jiwa turut tidak tenteram dan sentiasa tertekan kerana bimbang akan jangkitannya. Pihak yang mengalaminya sudah pasti menanggung derita yang berpanjangan. Manakala pihak lain turut terbeban dari aspek berbeza. Umpamanya sebuah keluarga kehilangan ahli keluarganya. Kadang-kadang terpaksa menanggung kos rawatan seumur hidup. Pihak kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan kewangan yang tinggi untuk rawatan, perubatan, kajian dan pencegahan.

Dari tahun ke tahun kosnya bukan semakin susut malah semakin meningkat berikutan pertambahan mereka yang terlibat. Kerajaan turut mengalami kerugian dari sudut kehilangan tenaga manusia.

Perniagaan sering dikaitkan dengan keuntungan. Selain dari itu, perniagaan sebenarnya merupakan tanggungjawab sosial yang sangat penting. Berlaku hubungan timbal balik yang akrab antara peniaga dan pengguna. Dan juga merupakan medan pertemuan tidak rasmi antara sesama pengguna. Di sini juga berlangsungnya pertukaran maklumat dan khabar berita bagi masyarakat setempat. Contoh paling mudah, cuba bayangkan di sebuah kampung yang ketiadaan kedai runcit. Tentulah banyak kesulitan bagi penduduk kampung tersebut untuk berulang alik ke pekan dan bandar bagi mendapatkan keperluan harian.

Namun itu bukan bererti peniaga di kampung tersebut boleh menangguk di air keruh. Tidak wajar mengambil keuntungan berlebihan. Dan tidak wajar menipu dalam timbangan dan sukatan. Apabila penipuan dalam timbangan dan sukatan (penipuan dalam perniagaan) berlaku berleluasa maka Allah SWT timpakan bala atau kesusahan dalam bentuk kemarau.

Kemarau pula selalunya dikaitkan dengan kesusahan memperolehi rezeki. Lihat saja negara yang sering kemarau, bumi yang subur menjadi merekah dan gersang. Tanaman tidak hidup subur atau buahnya tidak menjadi. Ramai rakyat yang kebuluran. Apabila sumber makanan terlalu sedikit, harga akan menjadi mahal berikutan permintaan yang tinggi. Diikuti pula dengan inflasi.

Satu lagi bala ialah meningkatnya kezaliman dan penindasan dari kalangan pemimpin. Lantaran masing-masing inginkan kemewahan, maka mereka yang berkuasa menyalahgunakan kekuasaan yang ada untuk mencapai kepentingan masing-masing menurut tingkat kedudukan mereka. Pada keadaan demikian sangat kurang para pemimpin memikirkan nasib rakyat terbanyak yang memang telah ,sedia susah.

Allah SWT wajibkan berzakat bagi umatnya yang dikurniakan kelebihan rezeki berupa harta benda. Ini juga memperlihatkan betapa Allah SWT mahu umat memandang berat mengenai hubungan sesama manusia. Bagi mereka yang memiliki kekayaan perlu ingat bahawa seluruh alam semesta ini adalah milik Allah SWT. Bukan saja harta benda atau wang ringgit malah diri kita ini pun milik Allah SWT.

Tidak wajar atau tidak timbul sama sekali hujah mengatakan harta itu milik mutlak, yang mana orang lain tidak berhak ke atasnya. Peratus tertentu dalam ketetapan zakat itulah sebenarnya hak orang lain yang ditentukan oleh Allah SWT.

Bagaimana seseorang itu memperolehi kekayaan? Sama ada secara langsung atau tidak, sama ada disedari atau tidak, seluruh manusia ini hidup saling sandar menyandar dan saling perlu memerlukan. Seorang ahli perniagaan yang berjaya tidak terkecuali dari sumbangan serta peranan buruh, kuli, pekerja bawahan yang memperolehi gaji kecil. Makan minum yang lazat dan mewah golongan berada merupakan tumpahan keringat petani dan nelayan. Andainya orang kaya berhujah dengan mengatakan segala itu telah dibayar dengan duit, katakan kita banyak duit dan bersedia untuk membeli, bagaimana andainya nelayan tidak turun ke laut?

Berpegang kepada konsep bahawa hidup ini merupakan ujian dari Allah SWT, maka harta yang diamanahkan itu Allah SWT mahu melihat bagaimana cara memperolehinya dan bagaimana pula cara penggunaannya. Allah SWT beri kelebihan kepada orang tertentu dengan kepandaian, kepintaran dan berilmu pengetahuan. Dengan itu pula Allah SWT salurkan kelebihan rezeki, yang mana sebahagian dari rezeki itu sebenarnya ada hak orang lain yang Allah SWT salurkan melalui orang tertentu. Apabila hujan tidak turun, itu tandanya rezeki berkurangan dan puncanya kerana zakat diabaikan oleh mereka yang sepatutnya berzakat.

Allah SWT yang bersifat pemurah, diturunkan juga hujan kerana untuk memberi kelangsungan hidup kepada haiwan.

Sabda Nabi SAW: Maksudnya: "...kalaulah bukan kerana bayi-bayi yang menyusu, orang-orang tua yang membungkuk dan haiwan ternak yang merumput, mungkin azab Tuhan akan melimpah ruah kepada kamu! "

Musuh-musuh berkuasa ke atas umat Islam dan merampas sebahagian apa yang ada ditangan umat Islam, bukanlah semata-mata dirujuk kepada kes penguasaan Yahudi (Israel) ke atas Palestin.

Penguasaan musuh-musuh ini telah berlaku lebih awal lagi semenjak bermulanya zaman penjajahan. Banyak negara Islam telah dijajah. Bukan saja harta benda dan kekayaan hasil bumi yang mereka kuasai, malah yang lebih penting iman, taqwa dan kehidupan beragama turut terhakis. Keadaan tersebut itu berlaku apabila umat Islam sudah mengabaikan janji terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Apabila umat ini lupa kepada Allah SWT maka Allah SWT melupai mereka. Apabila umat ini tidak bertaqwa kepada Allah SWT, maka Allah SWT tidak lagi membela mereka. Apabila umat Islam lalai, leka, derhaka dan banyak berbuat mungkar maka Allah SWT turunkan berbagai bala dan musibah. Termasuk hilangnya kekuatan untuk melawan musuh-musuh. Sementara itu azab neraka pula sedang rnenunggu mereka yang ingkar ini.

Pertumpahan darah di kalangan sesama Islam adalah kemuncak kepada sifat rakus dan cinta dunia. Juga kerana kebencian dan dendam yang meluap sesama sendiri. Telah berlaku banyak peristiwa seumpama itu. Ramai pemimpin Islam sendiri terkorban angkara perbuatan tangan saudara sesama Islam. Ini semua merupakan bala dari Allah SWT kerana membelakangkan Al Quran. Kalaupun tidak berlaku perang saudara seagama, namun perpecahan, perbalahan, pertelingkahan, kebencian, hilang kasih sayang dan permusuhan sesama sendiri tetap berlaku. Malah ada kalanya sama-sama satu kelompok dalam satu parti atau pertubuhan atau dalam satu kelabpun berlaku yang demikian itu.

Berpegang kepada ajaran Al Quran erti seolah-olah berpegang kepada satu tali yang sama-sama mengikat diri dengan tali tersebut. Itulah tali Allah SWT yang menjamin keutuhan kesatuan ummah. Masing-masing akan terikat hatinya kepada iman yang satu dan syariat yang satu. Kuat dan mendalam kasih sayang serta perpaduan. Perselisihan yang kecil tidak diperbesarkan. Perbezaan pendapat dalam hal yang dibolehkan sangat dihormati. Pengkritik tidak dianggap penentang. Penyokong tidak semuanya atau tidak selalu betul. Prinsip-prinsip ini boleh menghindari perpecahan ummah, jauh sekali dari pertumpahan darah dan peperangan.

Tidak salah kita berusaha untuk membebaskan diri dari bala sama ada penyakit berjangkit, kemarau, kesempitan rezeki, penguasaan musuh dan perang saudara. Malah syariat memang menyuruh kita berbuat demikian. Ertinya tidak boleh berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa. Namun adalah lebih berkesan sekiranya usaha kita itu benar-benar tepat kepada sasarannya. Iaitu kembali kepada Allah SWT. Yakni usaha lahiriah itu hendaklah disertakan dengan sandaran kepada Allah SWT. Kerana hadis Rasulullah SAW itu menyebut dengan jelas punca segala angkara yang berlaku .

Ambil AIDS sebagai contoh. Secara lahiriahnya is berpunca dari virus HIV. Andainya kita lihat selapis lagi mari kita bertanya dari mana datangnya HIV itu? Dan mengapa HIV itu hanya ditemui akhir-akhir ini apabila seks rambang berlaku di mana-mana? Di situ baru kita dapat lihat betapa di atas kesalahan manusia itu maka Allah SWT datangkan bala tersebut.

Usaha penyelesaian mestilah berlaku serentak iaitu melalui kaedah lahiriah yang saintifik serta kembali kepada mentaati Allah SWT dan menjauhi larangannya. Di sinilah pentingnya para pemikir dan pencinta masyarakat bertindak menjurus ke arah tersebut.

Supaya seribu penyakit boleh disembuhkan oleh satu ubat dan bukan sebaliknya satu penyakit dirawat dengan seribu ubat yang belum tentu kesembuhannya.


APA MANAFAAT DARI KRISIS?


Negara kita sedang dilanda krisis. Kian hari kian meruncing. Masyarakat berpecah-belah. Perpaduan dan kesefahaman sudah tidak ada. Demonstrasi selalu berlaku. Masyarakat sudah tidak bersatu. Sudah tidak boleh bekerjasama. Keamanan dan keselamatan tergugat. Rasa tidak puas hati di kalangan rakyat meluap-luap. Perselisihan pendapat dan perbezaan fahaman politik amat ketara.



Apabila ditanya kepada pihak-pihak tertentu tentang hal ini mereka berkata ini perkara biasa. Krisis itu membawa rahmat.

Sayidina Ali k.w. dan Sayidina Muawiyah r.a. pun berkrisis. Apa sungguhkah ini benar? Sungguhkah krisis yang kita hadapi ini satu rahmat hingga boleh disamakan dengan krisis yang berlaku di antara Sayidina Ali dan Sayidina Muawiyah?

Semasa mereka berkrisis, orang tetap berbondong-bondong masuk Islam. Walaupun mereka berkrisis, Islam bertambah kuat dan tanah jajahan Islam semakin meluas dan berkembang. Ekonomi Islam semakin kukuh. Ibadah dan akhlak masyarakat Islam tetap baik dan terpelihara.

Berbeza dengan krisis yang kita hadapi. Semakin berkrisis, semakin ramai orang Islam jadi murtad. Semakin berkrisis, ekonomi Islam semakin merosot dan kuasa ekonomi berpindah ke tangan orang lain. Huru-hara semakin banyak berlaku. Jenayah bertambah-tambah. Keamanan dan keselamatan negara tergugat. Moral dan akhlak muda mudi merosot. Ibadah dan akhlak masyarakat rosak.

Di mana rahmatnya? Di mana baiknya? Di mana untungnya? Yang jelas, krisis yang kita hadapi ini sangat merugikan dan merosakkan. Sayidina Ali dan Sayidina Muawiyah berkrisis dalam kebenaran. Nafsu mereka dan sifat-sifat mazmumah tidak berperanan. Kita berkrisis dalam kebatilan dan kemungkaran. Nafsu dan sifat-sifat mazmumah mereka kita bercakaran. Apa benarkah krisis yang kita hadapi ini satu rahmat? Atau apakah ia satu bala bencana yang Allah turunkan kepada kita kerana dosa, kemungkaran dan keangkuhan kita?

Ini harus kita kaji dan teliti betul-betul. Malanglah bangsa yang menganggap bala bencana itu sebagai rahmat tanpa melihat kepada dosa-dosa yang menyebabkan kemurkaan Tuhan dan tanpa bertaubat dari dosa-dosa tersebut.

KATEGORI UMAT ISLAM



Al Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti betul-betul, kita akan dapati bahawa orang-orang yang dimaksudkan itu boleh dibahagi-bahagikan ke dalam beberapa kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita, sama ada kita sudah selamat atau belum.

Kategori-kategori tersebut ialah:

1. Orang yang abai
2. Orang yang cuai
3. Orang yang lalai
4. Orang yang bertaqwa


ORANG YANG ABAI

Ertinya orang yang mengabaikan Tuhan dan syariat Tuhan. Dia itu Islam mungkin kerana datuk neneknya Islam dan emak ayahnya Islam. Maka secara automatik, dia pun Islam. Namun dia tidak fikir tentang Tuhan dan tidak fikir tentang syariat Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir tentang halal dan haram. Tuhan ada atau tidak, tidak penting baginya. Tuhan ada atau tidak ada, sama sahaja baginya.

Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan Tuhan.Dia hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan warisan.

ORANG YANG CUAI

Ini baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan tetapi di waktu-waktu yang tertentu sahaja terutama di waktu dia susah, di waktu dia sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, “Wahai Tuhan!!” Waktu senang, dia langsung tidak ingat Tuhan. Ibadahnya mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar. Apabila dia sibuk atau dia tidak ada mood, dia tidak sembahyang dan tidak puasa. Begitu juga dengan perkara halal haram. Ada masa dan dalam sesetengah hal, dia tidak buat yang haram. Pada masa dan dalam sesetengah hal yang lain pula, dia selamba sahaja buat yang haram.

Dengan kata-kata yang lain, orang yang cuai ini, dia buat sedikit tetapi banyak yang dia tidak buat. Sebahagian kecil dia buat, sebahagian besar dia tinggalkan. Atau dia buat suruhan agama bermusim- musim. Dia tidak rasa menyesal dan tidak rasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.

ORANG YANG LALAI

Orang ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak boleh dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir, orang akan kata dia orang agama, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun Islam dibuatnya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia buat umrah, baca Quran,wirid dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekampung memujinya. Mereka kata, “Baik orang itu.” Amalan agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai dan yang tidak beres ialah hatinya.

Semakin banyak beribadah, dia semakin tamak, semakin bakhil, semakin hilang rasa takut dengan Tuhan, semakin tidak ada rasa hamba dan dia rasa selamat dengan ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu dengan sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain. Orang melihat dia seperti beragama tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik tetapi Tuhan kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta dengan Tuhan. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak. Tuhan kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Tuhan.

Hakikat ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak selamat kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara hati. Tidak takut Tuhan, tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.

ORANG YANG BERTAQWA

Orang yang bertaqwa pula dia sempat buat ibadah yang wajib sahaja. Ibadah-ibadah sunat kurang. Itupun ibadah sunat yang dibuat hanya yang besar-besar sahaja. Yang kecil-kecil tidak dibuat. Kalau dibandingkan ibadahnya dengan ibadah orang yang lalai atau ahli abid, sangat jauh bezanya. Banyak kurangnya. Tetapi dia takut dan cinta dengan Tuhan. Rasa bertuhannya tebal. Hatinya sentiasa rasa tidak selesai dengan Tuhan.

Dia tidak rasa dirinya baik malahan dia rasa dirinya orang yang paling jahat, hina dan tidak berguna. Inilah orang yang bertaqwa.Walaupun dia buat ibadah yang wajib sahaja dan yang sunat kurang, namun dengan Tuhan hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah tenang. Dia kurang buat ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu sibuk, terlalu letih dan tidak ada masa kerana terlalu banyak membantu dan menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. Masanya banyak dimanfaatkan untuk orang ramai.

Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi yang hablumminannasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadah-ibadah sunat. Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Memberi manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, minda, kuasa, wang ringgit dan lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak sanggup hendak berbakti, berkhidmat atau berkorban apa yang ada padanya untuk manfaat orang lain.

Orang bertaqwa tidak membuat dosa. Kalau dia sedar dia terbuat dosa, sehari suntuk jiwanya akan terseksa. Dia rasa menyesal, menderita dan dukacita. Dia akan buat ibadah-ibadah tambahan yang lain untuk menutup dan menebus dosanya itu. Begitulah kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini, barulah kita tahu dan sedar tentang letak duduk orang bertaqwa berbanding orang yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana, tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh Tuhan kerana orang Islam yang bertaqwa terlalu sedikit jumlahnya. Ia masih kumpulan minoriti.

Yang terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai. Tuhan tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini. Tuhan hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti, hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat.

APA ERTI BENCANA ALAM KEPADA MANUSIA


Salji jadi punca 60 kenderaan berlanggar

Anggota penyelamat berusaha mencari mereka yang cedera dalam kemalangan sejumlah kenderaan akibat jalan bersalji di Austria, semalam. – AFP.

SEEWALCHEN Austria 26 Mac – Seorang penumpang terbunuh dan enam lagi cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan hampir 60 kenderaan di sebuah lebuh raya di bahagian barat laut Austria.

Kemalangan itu dipercayai berpunca dari timbunan salji-salji tebal yang turun dan memenuhi Lebuh Raya A-1 bagi menghubungkan Vienna dan Salzburg.

Kejadian itu menyebabkan seramai 45 anggota polis dan 150 anggota penyelamat berkejar ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa-mangsa kemalangan.

Ulasan:
Maksudnya: "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan) yang demikian itu supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak suka setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Al- Hadid: 22-23)

Jelas bahawa memang Tuhan yang mengaku sendiri bahawa Dia yang buat kerja itu (dengan sebab-sebab tertentu), kemudian mewahyukan kepada Rasulullah, bahawa kerja menghancurkan negeri dan kaum itu sebagai hukuman. Kalaulah kita sudah belajar ilmu ini, tentu kita tidak pertikaikan lagi. Tapi sayang ilmu tentang hidup begini sudah tidak dibaca lagi. Biar kami jelaskanlah bahawa Tuhan lakukan itu, bukan untuk kita bersedih hati sangat. Memang patut kita dihukum, apa nak disedihkan. Sepatutnya kita cepat-cepat minta ampun, dan mintalah Tuhan pimpin kita agar jangan ulang lagi kejahatan sebelumnya. Nikmat yang hilang itu, semuanya pemberian Dia. Kalau Dia tarik balik, kita boleh minta semula. Dia kan Maha Pemurah. Jangan bimbang tentang rezeki. Hidup lagi itu pun rezeki Dia yang beri, tentu masalah rezeki akan diselesaikan-Nya. Kalau tidak tentu Dia matikan juga kita seperti yang lain-lain itu.

Persoalan yang mesti kita semua fikirkan ialah bagaimana dan apa program hidup selepas ini, supaya benar-benar jadi hamba dan khalifah Tuhan, dan tidak lagi jadi hamba dan khalifah nafsu dan syaitan? Jadi tujuan dikhabarkan bahawa Tuhan marah dengan sikap-sikap sebelum ini adalah dengan tujuan kaunseling dan motivasi agar jiwa-jiwa mereka bangkit semula dengan penuh azam dan keinsafan untuk hidup lagi bersama Tuhan, berbakti dan berkhidmat pada-Nya dengan penuh kehambaan dan sebagai khalifah-Nya. Persoalan makan minum kecil saja. Kalau kita selesai dengan Tuhan, rezeki itu mudah saja sebenarnya. Seseorang yang tahu gurunya pukul sebab dia malas belajar, tentunya akan mengambil sikap rajin selepas itu. Hamba yang faham Tuhannya dengan bencana yang berlaku dalam dunia ketika ini, tentu akan bertanya dan menjawab, bahawa aku telah sombong dengan Tuhan. Maka Tuhan pun sombong dengan aku. Oleh itu, selepas ini aku akan ikuti cara hidup yang Tuhan perintahkan, yang diikuti oleh Orang-Orang Soleh, Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul supaya Tuhan tidak marah lagi!

KAEDAH MENGHADAPI REMAJA BERMASALAH (5)

9. Beri nasihat dalam berbagai bentuk

Nasihat, walaupun isinya baik, bila disampaikan secara formal, kurang berkesan kepada anak didik. Kreativiti guru dalam menyampaikan nasihat adalah diperlukan agar tercapai matlamat. Bentuk-bentuk nasihat yang boleh digunakan misalnya:




9.1 Perbincangan ringan

Dibawah ini adalah contoh bagaimana disaat makan pun seorang ayah boleh memberikan nasihat yang baik pada anaknya.

Dikisahkan seorang anak yang menginjak usia remaja, Thalut, merasa ayahnya mengekang dia dari kebebasan, hingga dia merasa ayah tidak sayang padanya. Sedangkan si ayah, kerana sayangnya pada Thalut, tidak selalu memberikan izin untuk dia melakukan perkara-perkara yang memang tidak baik. Pada suatu malam, diwaktu makan, terhidanglah berbagai jenis makanan yang sedap-sedap. Lepas makan, dengan sabarnya si ayah membasuhkan tangan Thalut.

Ayah pun berkata : “Thalut, sedap ke makanan ini?”

Thalut : "Alhamdulillah, sedap"

Ayah: “Ini waktu ayah tak sayang. Ada ikan, ayam, sayur, ini waktu ayah tak sayang. Waktu ayah sayang, macam mana agaknya ya? Tolong doa agar ayah sayang semua anak . Kalau sayang, mungkin kambing terhidang di depan kamu.”

Thalut pun malu, merah mukanya. Ia sedar bahwa ayah telah memberi terlalu banyak padanya. Jauh sekali dari tidak menyayanginya.


9.2 Bentuk surat




Imam Ghazali juga pernah menggunakan kaedah menulis surat dalam kitabnya Ihya Ulumuddin. Ada ulama yang cuba menterjemahkan surat itu menjadi sebuah buku kecil :Ya Ayyuhal walad: Wahai anakku”.

Zaman Imam ghazali tidak ada masalah black metal, skin head, dll. Tetapi masa kini, masalah yang dihadapi lebih kompleks. Di sana sini kerosakkan sudah memuncak.

Dalam buku ‘surat-surat dari ayah pejuang, untuk anakku’, yang disertakan dalam pakej yang sama dengan buku ini, terdapat beberapa contoh surat yang begitu dalam isinya namun begitu seni dalam penyampaiannya.

Semoga dapat menjadi tatapan dan renungan kita bersama. Menurut pengalaman yang ada, dimana surat-surat tersebut dibacakan, bukan saja menyentuh perasaan para remaja yang mendengarnya, juga para guru, pemimpin dan para ibu dan ayah.


9.3 Perbincangan empat mata, dari hati ke hati

Perbincangan empat mata, dari hati ke hati ini juga cara yang cukup berkesan. Dengan cara perbincangan yang berkasih sayang, si anak akan merasa bahawa dirinya diperhatikan. Bahawa dirinya juga adalah sebuah aset yang sedang dibina. Perbincangan cara ini juga boleh menjadi alat untuk mengenal pasti sejauh mana perkembangan akal, jiwa dan terdidiknya nafsu anak didik.


10. Sekali sekala beri hadiah atas prestasi mereka

Untuk lebih mendorong mereka baiki diri dan juga bertambah erat kasih sayang guru dan murid, sekali sekala beri hadiah atas prestasi mereka dengan hadiah yang bermanfaat, yang mereka pun memerlukannya seperti pakaian, kain, buku, dll atau dengan diberi hiburan yang harus: berenang ke pantai, makan-makan, dll


11. Adakalanya diberi hukuman

Bila anak didik sudah mulai merasa bahwa guru sayang padanya, bila dia melakukan suatu kesalahan, bila dengan nasihat kurang berkesan, boleh diberi hukuman. Namun bila mereka belum lagi merasa guru sayang padanya, mereka pun belum lagi dapat didisiplinkan, hukuman bukan pilihan terbaik. Tapi bila mereka sudah sedia, hukuman pun mereka rasa kasih sayang dari guru kepadanya. Hukuman hendaklah diberikan dengan cara yang tidak menghinakan tetapi memberi keinsafan.



Contoh, bila anak-anak sudah mulai dapat disiplin sembahyang berjemaah, nak ditingkatkan kepada sembahyang awal waktu yang istiqamah, bila dengan nasihat tetap sering masbuk, boleh dihukum dengan 2 pilihan:

1. Sembahyang sunat 6 rakaat, sebagai rasa menyesal pada Tuhan

2. Tidak makan satu kali makan, iaitu waktu makan yang bertepatan dengan dia masbuk. Misal untuk sembahyang zuhur, kerana masbuk dia tak makan siang.


12. Doa, rintihan dan taubat ibu bapa dan pendidik

Untuk melahirkan manusia yang kuat hubungannya dengan Tuhan, manusia yang berperibadi agung, patutnya mereka dikenalkan pada Tuhan sejak mereka kecil lagi. Bila sudah kenal, lahir cinta dan takut Tuhan maka akan lahirlah manusia-manusia yang akan berbuat apa saja untuk Tuhannya, dan takut untuk melakukan kejahatan kerana sentiasa merasa diperhati oleh Tuhan.

Oleh itu untuk membaiki keadaan, perlulah kiranya para ibu bapa menyedari bahawa apa yang berlaku pada anak-anak adalah kerana dosa orang tuanya. Dosa ayah dan ibu boleh menghalang anak-anak untuk berubah. Oleh itu agar anak-anak boleh mudah berubah, ayah dan ibu kena banyak-banyak bertaubat.

Ibu bapa perlu menyedari bahwa mereka perlu melahirkan kerja sama dengan pihak pendidik dalam usaha mengembalikan fikiran dan hati anaknya pada nilai-nilai Tuhan. Bila ibu bapa kurang memberikan kerjasama, bahkan setengahnya kadang tak percaya pada guru bahwa anaknya bermasalah, maka susahlah hati anak untuk berubah. Mereka akan sentiasa merasa ada pembela. Padahal bukanlah suatu perkara yang susah bagi anak yang dah rosak untuk menipu orang tuanya. Boleh berlakon ‘sufi’ di depan ibu ayah, sedangkan di belakangnya mereka buat perkara-perkara yang jahat.

Ibu bapa juga jangan mengambil ringan apa yang dibuat oleh anak, dengan mengambil standard nilai kerosakan manusia di zaman sekarang. Dengan kata lain, adalah salah bila seorang ibu berpendapat bahawa anaknya cukup baik dengan hanya hisap rokok sekali seminggu saja, sebab dia tengok, yang lain lebih teruk dari itu. Padahal tentu saja sepatutnya kita sedari bahwa merokok 1 batang hari ini, boleh jadi satu kotak minggu depan. Lebih penting dari itu, baik tidaknya anak kita mesti diukur dari nilai baik menurut standard Islam, standard Tuhan, iaitu di mana anak disebut baik bila dia melakukan hal-hal yang baik secara lahir, dengan didasari oleh Tuhan dan syariat. Bila tidak, maka kita perlu waspada dengan keadaan anak kita, yang sewaktu-waktu boleh menjadi sangat jahat bila ia berada di lingkungan yang mendukung ke arah itu.

Rintihan, doa, tangisan ibu bapa pada Tuhan, yang harapkan anaknya berubah adalah satu senjata juga untuk terbukanya hati anak-anak untuk menerima kebenaran.

ITULAH point-point yang perlu diperhatikan dalam kita melaksanakan kaedah TRANSIT dalam menangani masalah remaja yang telah rosak.
Lamanya tempoh dalam kawasan transit ini, waktunya relatif.

Tidak sama antara satu individu dengan individu lain. Oleh itu guru kena mengenal betul-betul anak didiknya, kenal akal, nafsu dan rohnya. Walaupun tentunya penangannya beberapa individu dapat dibuat secara berkelompok, menurut level masalahnya.

Bila mereka sudah melalui tempoh transit, dimana anak didik sudah mulai stabil, patutnya dia sudah boleh berfikir perubahan apa yang dia kena buat. Atau sepatutnya dia sudah mulai befikir bagaimana yang terbaik yang mesti dia lakukan. Apa yang Allah mahu manusia melakukannya. Dalam keadaan demikian, pemberian ilmu dan didikan sudah boleh diberikan dengan mengikut langkah yang kedua, pendidikan untuk dapat menanamkan cinta dan takut pada Tuhan. (sila rujuk buku ‘ Pendidikan Rasulullah’ tulisan ASIAMAT)

Kita yakin hanya Tuhanlah yang memberi bekas. Semoga Allah tidak akan mensia-siakan usaha ini walaupun kita tidak cukup syarat untuk menerima bantuan dari Allah. Namun Kita mesti berusaha bertungkus-lumus, secara lahiriah dan rohaniah, secara ilmu dan amaliah, secara quwwah dan secara taqwa.

SEKIAN

KAEDAH MENGHADAPI REMAJA BERMASALAH (4)

KAEDAH TRANSIT


7. Didik mereka dengan kesusahan



Banyak remaja bermasalah yang lahir dari kemewahan. Didikan dalam bentuk kesusahan akan memberikan kesan yang cukup mendalam. Bukanlah satu kebetulan bila Allah menyusah-nyusahkan orang-orang Tuhan dimasa kecilnya untuk kemudian menjadi orang besar Tuhan.

Walaupun keadaan di tempat kita tidaklah susah, namun pendidikan dengan kesusahan dapat tetap dijalankan dengan kaedah sebagai berikut:




* Kita dapat membawa pelajar ke tempat orang-orang yang susah. Bila kembali dari tempat tersebut, kemudian kita ulas.

Bila melihat rumah yang buruk-buruk di jalan, kita dapat sampaikan kepada anak didik kita:

“Tengoklah orang ini. Agamanya tidak ada, rumahnya buruk, makannya susah. jauhnya nasib dia dengan nasib kita. Seolah-olah dibandingkan hidup kita dengan hidup mereka, macam hidup seorang raja dengan hidup seorang rakyat. Sedangkan mereka itu hamba Tuhan juga, mengapa Tuhan buat mereka begitu. Tuhan boleh buat begitu pada kita juga. Siapa hendak tinggal di rumah itu sehari dua? Jangan sampai nikmat itu tidak disyukuri hingga jadi macam orang Iraq sekarang yang setiap hari hidup berdepan dengan peluru.”

Nanti mereka akan insaf bahwa selama ini tidaklah tepat bila mereka rasa tidak berguna, mereka susah, tidak dapat kasih sayang rupa-rupanya hidup mereka lebih istimewa.

* Bawa anak didik ke gunung, atau pantai, ajar mereka masak dengan cara tradisional, agar mereka sedar bahwa kehidupan kita jauh lebih mudah dibanding dengan cara-cara orang kampung dahulu. Dengan demikian semoga mereka lebih bersyukur atas apa yang Allah beri.

* Ceritakan pada mereka tentang tak berharganya dunia dan tentang keutamaan orang miskin disisi Tuhan. Hingga Rasul SAW pun berdoa pada Tuhan untuk hidup miskin dan dikumpulkan dengan orang-orang miskin. Contoh cerita yang dapat disampaikan misalnya:


A. Hari Jumaat disebut ibu hari atau sayidul ayyam atau penghulu hari untuk semua hari. Bagi orang biasa, maka di hari itu Tuhan berikan pahala penghulu hari. Namun bagi orang miskin yang bertaqwa, di hari itu dia mendapat pahala yang nilainya seperti naik haji. Begitulah Tuhan muliakan orang miskin. Tidak sama orang miskin yang bertaqwa dengan orang kaya yang bertaqwa. Katalah ada orang bertaqwa, hidup selesa, maka dia dapat pahala penghulu hari saja, ada pahala yang dilebihkan Allah , tapi tidak dapat pahala haji. Tapi kalau orang miskin bertaqwa setiap hari Jumaat naik haji. Itulah rahmat Tuhan. Khatib sering sebut bahwa Jumaat adalah penghulu hari tetapi tak faham tentang rahmat Tuhan yang berkait dengan orang miskin ini.

B. Rasul saw pernah bersabda:

Maksudnya :" 2 rakaat solat sunat orang miskin tidak sama dengan 100 rakaat orang kaya"

8. Beri latihan berdikari dan berekonomi




Anak yang biasa dimanjakan kelak mereka tidak akan mampu untuk mujahadah. Jiwanya tidak pernah dibiarkan lasak sendiri. Pada usia dimana mereka sebetulnya boleh dilatih memasak, ibu yang memanjakan anaknya akan berkata biarlah ibu yang memasak. Padahal dengan melatih mereka memasak, ada didikan disebaliknya. Dengan latihan memasak, mereka akan tahu bagaimana menyalakan api, bagaimana menunggu nasi masak. Anak yang biasa dimanjakan, tidak akan tahu bertanggung jawab. Kelak, bila berhadapan dengan ujian dalam hidupnya, dia rempuh saja: ”malaslah aku, tak larat lah aku.”

Mujahadah tak ada dalam kamus hidupnya. Contoh, di usia remaja, bila dia suka dengan seorang perempuan, kerana dah biasa bermujahadah, dia akan mengatakan itu tidak baik. Dia akan coba untuk mengontrol dirinya. Tapi bila dari kecil tak biasa begitu, maka dia akan merempuh, tidak pandnag halal atau haram, ambil saja perempuan itu.

Latihan lain adalah kemas bilik, asrama dan persekitarannya. Begitu juga dengan membasuh pakaian, menghidang makanan dan kemas-kemas selepas makan.

Selain dengan memasak dan tugas-tugas persekitaran rumah, latihan berdikari juga dapat dilakukan dengan mengajar mereka untuk membuat projek ekonomi, dimulai dengan projek ekonomi skala kecil, misal makanan harian.


...akan bersambung...

Bumi Tuhan... Bersaksilah