Nikmat yang diberi oleh Allah Taala kepada kita terlalu banyaknya
Berbagai-bagai macam dan jenis
Di dalam diri kita seluruhnya adalah nikmat dari-Nya
Di luar diri kita bermacam-macam dan berbagai-bagai pula
Rumah, isteri, anak-anak, harta, kereta, makan minum, pakaian dan lain-lainnya
Balaslah nikmat Tuhan itu tanda bersyukur kepada-Nya dengan nikmat-Nya juga
Seperti diri kita, sembah, besarkan, cinta dan takutlah kepada-Nya
Gunakan lidah kita menyebut, mensucikan, memuji dan memohon keampunan kepada-Nya
Tenaga kita gunakan untuk perjuangan menegakkan agama-Nya
Nikmat di luar diri, seperti harta, gunakan untuk menolong manusia yang miskin, papa
Digunakan juga untuk fisabilillah yang diperintahkan kepada kita
Kereta kita jadikan alat untuk khidmat kepada agama dan manusia
Rumah kita untuk menyambut tetamu dan pertemuan silaturrahim sesama hamba-hamba-Nya
Tanah untuk diwakafkan, ditegakkan bangunan pendidikan dan bangunan rumah tetamu
Bangunan-bangunan dan gedung-gedung perniagaan demi kemajuan umat Islam patut dibina
Begitulah caranya kita bersyukur kepada Tuhan di atas nikmat-nikmat-Nya
Menggunakan nikmat-nikmat-Nya untuk keredhaan-Nya
Ertinya nikmat Tuhan itu juga, tidak kira nikmat yang mana dikorbankan pada jalan-Nya
Korbankan nikmat Tuhan kerana nikmat-Nya yang diberikan kepada kita
Begitulah caranya kita bersyukur kepada Tuhan di atas segala nikmat, rahmat dan anugerah-Nya
Nikmat dari Tuhan, nikmat itu jugalah kita gunakan untuk Tuhan
Jangan gunakan nikmat Tuhan bertentangan dengan kehendak Tuhan
Tidak takutkah kepada Tuhan?
Jika Tuhan murka, Dia boleh rentap bila-bila masa
Bila-bila masa sahaja kita boleh terhukum dan terhina
Berhati-hatilah menggunakan nikmat Tuhan agar kita tidak kufur nikmat
No comments:
Post a Comment