Madah baru 113

                                                                                               
*M691*
Apabila kebanyakan manusia
telah diasuh dari kecil oleh ibu bapanya, 
guru-guru, masyarakat, pemerintahnya, 
bahkan cita-cita dirinya sendiri
bahawa belajar itu dengan tujuan jawatan,  
mencari kekayaan dunia, kemegahan
dan pangkat kebesaran,
sudah tentu buahnya akan lahirlah nanti
di kalangan bangsa di negara itu;  doktor-doktor yang mementingkan diri,
ahli undang-undang yang mementingkan diri, 
ahli ekonomi yang mementingkan diri,
ahli-ahli politik yang mementingkan diri,
ahli-ahli pentadbir yang mementingkan diri,
ahli-ahli sains yang mementingkan diri,
ahli-ahli sastera yang mementingkan diri,
ahli-ahli pasukan keselamatan yang mementingkan diri,
kesannya orang awam atau rakyat jelata
akan menjadi sasaran negatif, 
timbul kegelisahan di dalam masyarakat
oleh sikap golongan tadi.
Itulah dia gejala-gejala masyarakat yang kebanyakan manusia
tidak menyedari.
Bila lahir gejala masyarakat dari golongan yang menjadi
penyebab gejala itu terjadi,
golongan itu pulalah  yang bangun
kononnya hendak menangani
gejala-gejala masyarakat,
bolehkah gejala masyarakat itu menjadi baik?!

*M692*
Gejala masyarakat yang tidak sihat
bukan boleh selesai dengan pidato
berapi-api, mengugut-ugut dan mencaci-caci,
buat undang-undang tangkap dan gari, 
ia memerlukan sifat taqwa yang menangani,
kaedah yang tepat dan 
pemimpin secara dekat.

*M693*
Kalaulah makanan itu, 
ubat pun dicampur racun pun dicampur,  
kemudian disajikan,
yang berpengaruh adalah racun
bukan ubat.
Begitulah apabila masyarakat itu,
yang negatif disajikan, yang positif pun 
disogokkan,
maka yang berpengaruh kepada masyarakat 
ialah yang negatif.

*M694*
Kalau kita inginkan 
anggota masyarakat berdisiplin, 
rakyat bermoral, 
masyarakat bersih daripada gejala tidak sihat, 
kita mestilah lebih dahulu menjadi model, 
barulah orang lain berdisiplin
dan mudah mereka mencontohi kerana ada model.

*M695*
Kalau kita lihat watak, gelagat dan sikap
manusia hari ini 
kalaulah tidak dilindungi oleh kepintaran dan ilmu yang banyak
serta alat-alat kehidupan yang canggih, 
hingga mudah dikesan oleh mata kepala, 
kita rasa kejahatan yang tersembunyi ini
lebih banyak dan hebat lagi
dari gejala-gejala yang dilihat hari ini.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah