*M671*
Penghibur-penghibur di dunia banyak yang sakit jiwa,
paling tidak banyak yang kecewa.
Yang kena hibur lupa segala,
terbuang masa,
keluarga terbiar, tanggung jawab tiada.
*M672*
Najis lahir mudah disuci,
tapi najis batin amat sulit sekali disuci.
Manusia hari ini yang diambil berat sangat ialah najis lahir
kerana ia ada hubungan dengan kesihatan badan.
Jesteru manusia terlalu takut
dengan penyakit kebersihan lahir,
ia sangat dijaga.
Kerana najis batin mata tidak dapat melihat
kecuali hati yang bersih, yang dapat dilihat
umum (majoriti) manusia mengabaikannya.
Padahal kerosakan yang dilakukan oleh najis atau
penyakit batin itu akan menimbulkan gejala-gejala
masyarakat yang akan merosakkan agama, bangsa dan negara.
Di akhirat kelak akan dicampakkan ke neraka, wal'iyazubillah
*M673*
Kalaulah kita mengenangkan bahawa manusia sesama manusia satu sama lain
tidak banyak bezanya atau terlalu sedikit perbezaannya,
malu manusia ini hendak sombong,
berbangga, kata mengata, hina menghina satu sama lain.
Perbezaan yang sedikit itu ialah
di antara pangkat besar dengan pangkat kecil,
rumah besar dengan rumah kecil,
harta banyak dengan harta sedikit,
cantik dengan yang hodoh,
ilmu banyak dengan ilmu sedikit,
yang lain semuanya sama. Sama-sama sakit,
sama-sama ke jamban, sama-sama dibenci orang,
sama-sama takut,
sama-sama ditimpa bencana alam,
sama-sama tua, sama-sama terlupa,
sama-sama memerlukan tidur, sama-sama memerlukan makan minum,
sama-sama memerlukan rehat, sama-sama memerlukan bantuan,
sama-sama memerlukan pertolongan orang,
sama-sama ditimpa letih,
sama-sama menerima ujian,
sama-sama sejuk, sama-sama panas,
sama-sama kehilangan yang dicintai,
sama-sama mati,
sama-sama masuk keranda,
sama-sama masuk kubur.
*M674*
Orang yang miskin bukanlah satu kesalahan,
tapi orang yang melahirkan satu sistem dan melaksanakan sistem
hingga dengan sistem itu orang menjadi miskin,
mereka itulah yang bersalah.
*M675*
Di antara yang menjadi masalah hari ini
ialah sesuatu perkara itu tidak disetujui
oleh tokoh-tokoh sesuatu kaum atau puak
atau golongan, kemudian dibesarkan oleh media massa.
Timbullah polemik di dalam masyarakat.
Setengah orang menganggap telah timbul perbalahan
kaum itu atau puak itu atau golongan itu,
padahal kalau kita kaji
golongan atau puak itu tidak pun timbul masalah,
tapi telah jadi masalah
kerana dibangkitkan oleh tokoh-tokoh itu.
Seolah-olah ia adalah pandangan umum golongan itu,
sebenarnya adalah pandangan peribadi
tokoh itu untuk menarik perhatian.
Dia alatkan golongannya atau babitkan golongannya.
Berhati-hatilah dengan tokoh-tokoh seperti itu,
kerana dia selalu membuat kecoh
dan mengeruhkan suasana masyarakat.
No comments:
Post a Comment