Berkawan Dengan Tuhan


Kalau kita ingin jadikan Tuhan kawan setia, tidaklah susah
Tidak seperti berkawan dengan manusia
Kerana kita tidak payah panggil Dia untuk berkawan
Tuhan Maha Suci daripada istilah datang
Kita tidak perlu jemput Dia
Kerana Tuhan tidak terlibat dengan jauh dan dekat
Kita tidak perlu ajak Dia
Dia memang sudah siap siaga
Terpulanglah kepada kita
Kita tidak payah beritahu
Kerana Dia sudah sedia tahu tentang kita
Soalnya kita mahu ataupun tidak berkawan dengan-Nya, itu sahaja
Kita tidak perlu ingatkan Dia
Kerana Dia memang tidak pernah melupakan kita
Di mana-mana kita boleh berkawan dengan-Nya
Tidak seperti manusia
Berkawan dengan manusia di tempat-tempat tertentu sahaja dan di masa-masa yang tertentu sahaja
Seperti di jamban, kita terpaksa tinggalkan dia
Di waktu bersama isteri, kita tidak boleh berkawan lagi dengannya
Di waktu dia bersama isterinya pun dia tinggalkan kita pula
Jadi berkawan dengan manusia ada batasnya
Berkawan dengan Tuhan tidak kira tempat dan masa
Boleh berlaku di sebarang tempat dan setiap masa
Cuma kita mahu atau tidak berkawan dengan-Nya
Ertinya kita ingat Dia, sujud kepada-Nya
Bangun-bangun saja, ingat Dia
Hendak tidur, ingatkan Dia
Kita serahkan nasib kita kepada-Nya
Bertanya kepada-Nya, meminta kepada-Nya
Rasakan Dia ada di mana-mana bersama-sama kita
Cuma tidak bertempat macam kita
Anugerah-Nya kita bersyukur kepada-Nya
Di mana kita pergi, rasa bertuhan kita bawa bersama-sama
Cara itulah kita berkawan dengan Tuhan 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah