Pengamalan Islam



Ada orang beragama Islam berbagai-bagai keadaan.
Ada orang beragama kerana ikut masyarakat umum beragama secara lahirnya, maka dia pun beragama secara ikut-ikutan sahaja.
Dia melaksanakan secara dengar-dengaran dan melihat-lihat orang melaksanakan, kemudian sedikit-sedikit dari bacaan-bacaan.
Orang beragama secara ini dibentuk oleh environment tempatan atau tradisi tempatnya.
Sah batal, syarat rukun tidak jelas, kerana meniru-niru orang ramai di dalam kehidupan.
Jauh sekalilah penghayatan.
Orang beragama semacam ini tidak ada kesan di dalam kehidupan insan.
Ada orang beragama kerana keluarganya mengamalkan.
Maka dia pun dipaksa dan digesa-gesa  mengamalkan Islam bersama keluarga.
Sedangkan dia mengamalkan bukan hasil didikan.
Dia amalkan secara ikutan, secara kasar-kasar sahaja.
Dia beragama hanya dari warisan keluarga.
Mengamalkan Islam secara ini mungkin lebih baik sedikit daripada apa yang telah dijelaskan.
Tidak kurang juga ada orang mengamalkan Islam, dia dapat daripada sekolah tempat pengajian.
Biasanya berlumba-lumba hendak menjadi ulama dan ilmuan.
Didikannya dan disiplinnya kurang diberatkan.
Mengamalkan Islam dari pengajian seperti ini syariat lahirnya agak kemas, ilmunya agak tepat di dalam pengamalan.
Tapi oleh kerana penghayatan bersifat rohaniah kurang ditekankan, payah juga jati diri hendak dibangunkan.
Lahirnya agak kemas tapi banyak menjadi orang yang suka bermujadalah dengan ilmu pengetahuan.
Suka sangat berhujah dan berbalah hingga pecah ukhwah.
Golongan ini tidak menitikberatkan akhlak, hanya jaga syariat luarnya sahaja.
Roh syariat kurang diambil berat dan dihayatkan.
Golongan ini nampaknya  sepintas lalu lahirnya bersyariat.
Tapi merendah diri, kasih sayang, rasa bersama, bekerjasama tidak lahir dari syariat yang diamalkan.
Golongan ini biasanya kalau berjuang melahirkan puak militan.
Kasar dan tegang, keras dan menyerang.
Akibatnya mereka menakutkan orang yang bukan Islam.
Golongan yang  akhir ini adalah puak yang memahami Islam secara global.
Mereka adalah hasil dipimpin oleh pemimpin yang memberi ilmu secara syumul.
Pemimpin sebagai guru, ayah, ibu, kawan setia, sentiasa memberi ilmu, mendidik dan memimpin ke satu arah perjuangan.
Lahirnya jemaah, murid jadi pengikut, guru jadi pemimpin.
Hubungan murid dengan pemimpin bagai ayah dan ibu.
Mereka, syariatnya sangat mengikut As Sunnah, mencintai dan takut kepada Tuhannya.
Mereka hayati syariat hingga menjadi jiwa dan darah daging mereka.
Berkasih sayang, rasa bersama, bekerjasama sesama mereka macam satu keluarga.
Mereka, malam menjadi abid-abid menyembah Allah, siang sibuk berjuang membangunkan jemaah dan kehidupan secara Islam, dalam dan luar jemaah.
Kelompok ini walaupun tidak ramai, lahir pembangunan insaniah dan material.
Akhirat mereka utamakan, dunia tidak diabaikan.
Puak ini berlaku di setiap zaman tapi tidak begitu dikenal orang.
Mereka dianggap orang dagang di zamannya. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah