BUKAN MUDAH JADI PEJUANG




Sebuah jemaah kebenaran yang berjuang untuk mendapat kemenangan, bukan mudah dan senang.
Ia terpaksa melalui liku-liku perjuangan yang lama dan panjang.
Setidak-tidaknya melalui puluhan-puluhan tahun baru menang.
Kemenangan yang akan diberi adalah kepada pejuang-pejuang yang telah melalui proses saringan.
Mereka telah dilengkapkan dengan berbagai-bagai kekuatan lahir dan batin.
Setelah mereka melalui ujian yang kecil dan besar di dalam perjuangan yang ditempuhnya.
Mereka perlu menguasai ilmu yang cukup lebih dahulu.
Mesti telah melalui proses pembersihan jiwa.
Setelah ibadahnya baik dan istiqamah di dalam beribadah.
Boleh menjadi abid di malam hari dan pejuang di siangnya.
Kemudian akhlak mereka pun tinggi dan mulia sebagai bunga diri.
Sudah terlatih tabah dan sabar di dalam perjuangan.
Berkasih sayang sesama sendiri laksana satu keluarga.
Sanggup mentaati pemimpin tidak berbelah bahagi.
Rasa bertuhan benar-benar bertapak di dalam jiwa.
Hingga rasa kehambaan memenuhi jiwa setiap pejuang.
Mereka penuh berdisiplin di dalam beribadah dan bekerja.
Berkorban apa sahaja telah menjadi budaya mereka.
Kerana itulah mereka terpaksa menempuh masa yang lama dan panjang.
Kerana untuk memiliki itu semua ia bukan boleh dapat dua tiga hari.
Tetapi melalui didikan, pimpinan dan latihan yang panjang dan berterusan.
Hingga pengikut yang setia tinggal sedikit.
Mereka benar-benar menjadi orang Tuhan
atau rijalullah di zamannya.
Mereka membawa rahmat dan barakah dari Tuhan.
Barulah mereka diberi kemenangan.
Begitulah berlaku perjuangan kebenaran sepanjang zaman dari semenjak zaman para rasul hinggalah di zaman pemimpin berwatak rasul.
Oleh itu, sabarlah menunggu kemenangan. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah