*M756*
Lumrah berlaku di dalam sejarah dunia; dari dulu hingga sekarang, mungkin juga akan berlaku selepas ini, selagi dunia dan manusia wujud; iaitu orang-orang yang hampir dengan raja-raja atau ketua-ketua negara, mereka itulah yang selalu merosakkan raja-raja atau ketua-ketua negara dan juga rakyat jelata. Justeru merekalah memainkan peranan ke atas dan ke bawah. Mungkin orang ramai tidak dapat mengesannya kerana mereka berperanan di sebalik tabir.
*M757*
Tersalah dan tersilap, terlupa dan tersalah faham pada seorang pemimpin itu, rakyat boleh maafkan.
Sifat ini memang payah hendak dielakkan tapi kalau sudah disengajakan, memang dari kesedaran dan faham, memang ada niat melakukan kesalahan, membuat salah dengan faham kerana ada keuntungan... ini rakyat tidak boleh maafkan. Cuma rakyat tidak boleh berbuat apa-apa, mereka tidak ada kuasa. Maka dia teruslah berkuasa.
*M758*
Janganlah kita berbangga dengan kuasa yang ada. Sejarah dunia telah memaparkan kepada manusia, selalunya orang jahat terlalu ramai diberi kuasa tapi orang baik terlalu sedikit mendapat kuasa dan yang sedikit itu pun kuasanya tidak lama.
Jika kita orang yang berkuasa agaknya kita pemimpin yang mana, yang pertama atau kedua?!.
*M759*
Perjuangan itu macam membuka ladang, orang yang boleh meneruskan pembukaan ladang itu di awal hingga akhir, waktu menebang, membakar, membajak, menanam, terlalu kurang berlakunya perselisihan dan krisis, kerana tidak ada apa yang hendak direbutkan.
Perselisihan dan krisis banyak berlaku selepas ladang mengeluarkan hasil, timbul rebutan, pecahlah perpaduan.
Begitulah perjuangan, selepas mendapat kejayaan atau kemerdekaan, timbullah krisis yang membawa perpecahan yang hebat, justeru merebut hasil kemenangan.
*M760*
Agama itu ialah satu keyakinan dan pegangan hidup, lalu diamalkan dan diperjuangkan walaupun salah.
Di sini dapat kita faham, berapa banyak keyakinan yang telah dijadikan pegangan hidup, diamalkan dan diperjuangkan, seperti ideologi, faham kebangsaan, faham ekonomi, faham pragmatisma yang telah menjadi agama kepada manusia.
Inilah di antara ajaran salah di akhir zaman ini.
No comments:
Post a Comment