Kemakmuran lahir ialah senang makan minum, senang berpakaian, bahkan lebih daripada cukup.
Tempat tinggal mencukupi bagi setiap orang dan keluarga.
Alat-alat perhubungan mudah dan selesa.
Mudah pula mengurus kehidupan dan keperluan.
Tapi tidak mesti sudah tidak ada lagi ketakutan dan kebimbangan.
Belum terjamin tidak adanya jenayah berat dan ringan yang menakutkan.
Kerana kemakmuran semata-mata belum menjamin keamanan.
Kerana di dalam sejarah hidup manusia, berbagai-bagai corak masyarakat boleh terjadi.
Ada zaman, kemakmuran yang sangat terbatas.
Kemewahan belum memuaskan tapi perikemanusiaan mewah, menghiburkan insan.
Manusia berkasih sayang, bertimbang rasa, rasa bersama, bekerjasama sesama.
Bertolong bantu, aman damai, menampung kekurangan kemakmuran di dalam kehidupan.
Adakalanya kurangnya kemakmuran tidak mencacatkan kalau ada keamanan dan kedamaian.
Kemakmuran jiwa seseorang tidak sama dengan kemakmuran lahir secara ramai.
Kemakmuran jiwa, hati lapang sekalipun di dalam ujian.
Jiwa tenang sekalipun berhadapan dengan kesusahan.
Hati takutkan dan cintakan Tuhan, hingga hal-hal dunia tidak menggugat perasaan.
Rasa kehambaan tinggi hingga rendah diri, baik hati.
Jiwa subur dengan kesabaran, keluh-kesah hilang sekalipun memang di dalam kesusahan.
Jiwa manusia rasa sentiasa berdosa dan takut dengan dosa.
Penyerahan hati kepada Tuhan, masa depan tidak dibimbangkan.
Fikiran manusia memikirkan masa depan.
Bukan masa depan di dunia yang pendek, tapi masa depan yang jauh iaitu Akhirat sana.
Hingga kesusahannya di dunia menjadi dada lapang, kesusahan Akhirat yang dibesarkan dan disusahkan.
Inilah dia kemakmuran jiwa manusia.
Kemakmuran jiwa membawa keampunan Tuhan.
Kemakmuran kebendaan di dalam kehidupan tidak mesti dapat keampunan Tuhan.
Adakalanya kemakmuran jiwa membawa kemakmuran di dalam kehidupan dan mendapat keampunan Tuhan.
Makmurkanlah hati atau jiwa dengan sibuk merasa bertuhan, dengan berbagai-bagai perasaan.
Itulah makmur yang sejati dan dikehendaki oleh Tuhan.
Tidak dapat kemakmuran di dalam kehidupan pun tidak mengapa, itu hanya sampingan.
Kemakmuran jiwa, ia membawa keampunan Tuhan.
No comments:
Post a Comment