Tuhan, aku adalah hamba-Mu
Aku adalah hamba, hanya orang biasa sahaja
Aku bukan nabi dan tidak juga rasul
Ertinya aku bukan maksum
Aku sentiasa terdedah dengan dosa
Walaupun aku berhempas-pulas melawan hawa nafsuku
Sekali-sekala aku kalah juga atau kecundang dengan nafsu
Di waktu itu sudah tentu syaitan mengambil peluang menggodaku
Maka sudah tentu aku pun terbuat dosa
Tapi aku tetap mengaku bersalah dan memohon ampun kepada-Mu Tuhan
Begitulah selalunya berlaku kepadaku di dalam kehidupanku ini
Aku bukan tidak sedih dengan dosa
Tapi dengan kelemahan aku, aku terbuat lagi dosa
Namun begitu aku tetap memohon keampunan-Mu
Oleh itu aku harap pada-Mu janganlah biarkan aku dengan dosa-dosa tidak berampun
Dengan rahmat-Mu aku harap ampunkanlah dosa-dosaku
Dengan kasih sayang-Mu maafkanlah kesalahan-kesalahan aku itu
Aku bukan seronok dengan dosa bahkan terseksa dengannya
Tapi aku lemah,
Kerana itu selalu saja terbuat dosa
Kalau Engkau tidak pimpin aku, begitulah yang selalu berlaku kepadaku
Pimpinlah aku Tuhan agar aku selamat dari dosa-dosa dan noda-noda
Jika aku terbuat juga dosa-dosa aku harap Engkau ampunkanlah dosa-dosaku itu
No comments:
Post a Comment