Pasang Niat Dalam Sebarang Kerja


Kalau engkau keluar rumah tidak memasang apa-apa niat,
Rugi sekali
Kalau engkau membuat sebarang kerja tidak ada niat apa-apa,
Engkau membuang masa
Jika engkau membaca tidak ada apa-apa matlamat hanya sekadar ingin ilmu,
Termasuk mensia-siakan umur engkau
Sekali-sekala engkau rehat-rehat tidak mempunyai niat,
Terbuang sahaja masa engkau
Engkau makan, minum, berpakaian hanya berlaku begitu sahaja,
Engkau telah merugikan kebiasaan
Engkau berseronok-seronok dengan anak isteri tidak ada tujuan apa-apa,
Masa engkau percuma sahaja
Sekalipun apa yang engkau buat, usaha, makan dan minum belum termasuk kawasan dosa
Tapi engkau telah mensia-siakan itu semua
Kalau engkau pasang niat dihubungkaitkan dengan Tuhan, bukankah ia jadi ibadah?
Berapa banyak ibadah-ibadah tambahan yang engkau perolehi
Jika di dalam satu perkara itu memasang niat yang banyak, lebih-lebih lagi bertambah banyak pahala engkau
Hanya yang engkau pasang niat ibadah-ibadah asas
Selain itu engkau membuatnya bersahaja tanpa apa-apa matlamat
Kalau begitu apa matlamat hidup engkau sebenarnya?
Mengapa matlamat hidup engkau, engkau bataskan?
Sedangkan apa yang engkau buat terlibat dengan masa
Padahal sebahagian kecil amalan engkau yang mempunyai niat
Ertinya berapa banyak masa engkau yang terbuang begitu sahaja?
Di sinilah nanti engkau akan menyesal tidak sudah-sudah di Akhirat kelak
Itu kalau masa yang terbuang itu tidak di dalam lingkungan dosa
Jika sudah termasuk kawasan dosa, lebih-lebih lagilah engkau akan menyesal dan menderita
Kerana itulah apa sahaja yang hendak kita buat biar ada matlamat
Kerana kita datang ke dunia ini dengan tujuan beribadah kepada Allah Taala
Kalau begitu, biarlah seluruh hidup kita menepati ibadah


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah