Islam Global


Marilah kita mengenal Islam secara global
Global yang ringkas dan intensif sebagai ilmu pengetahuan
Untuk mengukur diri kita, keluarga kita, seterusnya masyarakat dan negara
Sejauh mana Islam secara syumul itu telah diamalkan di dalam kehidupan
Sama ada di peringkat individu, rumahtangga, masyarakat dan negara
Islam adalah agama syumul atau global
Global dan syumul itu berlaku di dalam empat peringkat
Global pada individu, global di dalam keluarga,
Global di dalam masyarakat atau jamaah seterusnya negara
Syumul di dalam individu, tidak sama dengan global di dalam keluarga
Global di dalam keluarga, tidak sama dengan syumul di dalam masyarakat
Syumul di dalam masyarakat, tidak sama dengan global di dalam negara
Mari kita mengenal Islam secara global di setiap peringkat
Global pada individu, dia hendaklah mengetahui dan meyakini rukun iman secara ilmu
Iman itulah yang menjadi aqidah dan pegangannya
Terutama Tuhan dicintai atau ditakutinya
Faham rukun Islam yang lima, serta mengerjakan dan menghayatinya
Tahu sifat-sifat mahmudah yang sepuluh 
Seperti ikhlas, sabar, pemurah, amanah, tawadhuk, pengasih, tawakkal dan lain-lain
Terbangun di dalam jiwanya sifat-sifat mahmudah itu
Faham juga sifat-sifat mazmumah yang menjadi lawannya dan membuangnya
Seperti pemarah, hasad, dendam, sombong, riyak, sum'ah, bakhil, tamak dan lain-lain
Faham halal haram dalam makan minum, pakaian, pergaulan dan lain-lainnya
Faham dosa-dosa besar dan kecil serta menjauhinya
Faham cara bersuci dan tahu mandi hadas
Global di dalam keluarga dan rumahtangga sudah bertambah pula aspek-aspeknya
Suami atau ayah sebagai pemimpin keluarga,
Mendidik, menjadi imam sembahyang
Dan bertanggungjawab makan minumnya, pakaian dan tempat tinggalnya secara halal
Dia tempat rujuk keluarga, dihormati dan ditaati
Isteri atau ibu membantu suami di dalam mengurus anak-anaknya dan tempat anak-anak bermanja
Satu sama lain berkasih sayang dan bekerjasama
Nasihat-menasihati, maaf-bermaafan, bertolak ansur dan berlapang dada
Masyarakat global atau jamaah global pula hormat-menghormati, bertolong bantu,
Bekerjasama di antara jiran dengan jirannya dan penduduk setempat
Maruah dan nama baik satu sama lain kenalah dijaga
Ziarah-menziarahi terutama di waktu kematian dan kesusahan
Keaipan jiran, penduduk setempat jangan dibuka
Orang miskin tidak meminta-minta dan menjaga maruahnya
Orang-orang kaya pula sentiasa membantu dan menolong orang-orang susahnya
Pemimpin masyarakat atau jamaah laksana ayah bertanggungjawab kepada masyarakatnya atau jamaahnya
Menjadi imam di dalam masyarakat, mendidik anggota masyarakat atau anggota jamaah dan berlaku adil pula
Kasih sayang kepada orang bawahnya dan tempat rujuk orang ramai di dalam masyarakatnya atau di dalam jamaahnya
Kalau adalah masalah dan perbalahan, dialah yang menyelesaikannya
Tetamu yang datang di dalam masyarakat dihormati dan dilayan dengan baik
Masing-masing berebut-rebut hendak membawa ke rumahnya
Bahkan musafir yang kehabisan belanja masing-masing memberi dan membantunya
Kebaikan sama-sama ditegakkan, kejahatan sama-sama ditolak
Ulamak-ulamak di tempat itulah menjadi petunjuk dan menjadi ikutan kerana wibawanya
Menjadi obor di masyarakatnya, masyarakat mendapat cahaya kehidupan dari mereka
Adanya usaha-usaha untuk menghasilkan makan minum, pakaian, tempat tinggal, keperluan-keperluan masyarakat, tempat pendidikan kerana ia adalah fardhu kifayah
Akhir sekali negara Islam yang dicita-citakan
Globalnya pula lebih luas lagi
Pemimpin ada wibawa kerana ketaqwaannya
Dia ditaati, dihormati dan disayangi bahkan tempat rujuk rakyatnya
Rakyat dikasihi, dipertanggungjawab dan diberi keadilan yang saksama
Di dalam negara adanya berbagai-bagai sistem kehidupan
Demi untuk membawa umat hidup yang berkasih sayang, berdisiplin, murni dan harmoni
Al Quran dan Hadis adalah menjadi perlembagaan negara
Adanya sistem pendidikan yang membawa umat mencintai Tuhan dan mengagungkan-Nya
Menghormati ibu bapa, guru-guru dan berkasih sayang sesama warganegara
Adanya sistem ekonomi yang sihat, bersih daripada riba dan penindasan
Adanya sistem pentadbiran yang berasaskan ikatan hati dan jiwa
Hingga dasar yang ditulis berjalan dengan baik dan penuh kerjasama, tiada khianat dan kecuaian di dalamnya
Adanya sistem perhubungan untuk kemudahan kehidupan rakyatnya
Tempat-tempat tinggal yang selesa yang sesuai di zamannya
Adanya ketenteraan dan kepolisian yang dapat menjaga maruah agama, bangsa dan negara
Kerana pengawal-pengawal negara itu orang-orang yang bertaqwa pula
Agar tidak terjadi pagar makan padi
Sistem politiknya bersih, tiada jatuh-menjatuhkan dan tiada khianat-mengkhianati
Adanya sistem mahkamah yang bebas, hakim-hakimnya orang yang bertaqwa
Hingga keputusan atau hukum yang dijatuhkan adil dan bertanggungjawab
Tiada rakyat yang teraniaya dan terzalim
Begitulah seterusnya adanya sistem-sistem yang lain yang tidak perlu diperkatakan di sini
Selagi ia diperlukan oleh negara dan rakyat di zamannya, kenalah diwujudkan
Semuanya itu termasuk fardhu kifayah
Setelah kita mempelajari global Islam di semua peringkat,
Untuk hendak mencari global di dalam individu pun payah wujud di zaman ini
Kerana itulah kerosakan dan gejala di dalam masyarakat berleluasa
Kerana itulah memperjuangkan negara hanya sia-sia sahaja
Sekalipun telah diberi kuasa dan dapat mentadbir negara
Namun pengisian tidak berjaya
Justeru ia tidak bertapak di dalam individu setiap insana
Para pujangga ada berkata: 
Dirikanlah kedaulatan Islam di dalam diri kamu,
Nescaya ia akan dapat ditegakkan di dalam negara kamu.

 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah