Ya Allah, Tuhan yang menjadikan hamba-Mu ini
Hamba-Mu yang dhaif lagi lemah
Yang nafsu selalu menggoda
Syaitan sentiasa memperdaya
Bagaimanalah aku boleh bersih dari dosa
Bagaimanalah aku boleh lari dari bersalah
Ya Allah, aku memohon dengan rahmat-Mu
Aku meminta dengan kasih sayang-Mu
Berilah aku kekuatan menjaga diri
Dari godaan nafsu dan tipu daya syaitan
Kalau aku membuat dosa dan kesalahan
Ingatkanlah aku untuk bertaubat
Taubatku itu Engkau terimalah
Begitulah setiap kali aku membuat dosa
Engkau ingatkan lagi untuk bertaubat
Seterusnya Engkau terimalah taubatku lagi
Kerana orang yang bertaubat seperti orang yang tidak berdosa
Moga-moga waktu aku kembali kepada-Mu,
Bersihlah aku daripada dosa-dosa
KemurkaanMu pun sudah tiada lagi
Selamatlah aku daripada Neraka
Itulah yang aku harapkan dari-Mu Tuhan
Terimalah permintaanku ini
Ya Rahim ya Rahman
No comments:
Post a Comment