Bila lagikah Engkau hendak anugerahkan kepada-Ku, apabila aku menyembah-Mu rasa terhibur?
Apabila sampai masanya, hati gembira tidak sabar-sabar hendak menyembah-Mu.
Bukanlah secara terpaksa dan mujahadah, tapi penuh suka dan gembira.
Macamlah orang yang hendak berjumpa dengan cintanya dengan hati yang gembira.
Menunggu-nunggunya terasa tidak sabar ingin sangat bertemunya.
Aku menyembah-Mu Tuhan, belum lagi terasa begitu.
Aku menyembah-Mu masih lagi terpaksa dan dipaksa-paksa.
Setiap kali hendak menyembah-Mu, terpaksa dan bermujahadah.
Hendak menyembah-Mu belum lagi terasa indah.
Kerana itu menyembah-Mu tidak boleh berlama-lama, ia jadi jemu.
Aku memohon maaf Tuhan kepada-Mu, begitu sahajalah nilai diriku.
Itu pun aku berterima kasih kepada-Mu.
Kalau Engkau tidak kuatkan aku mujahadah, mungkin sahaja aku tidak menyembah-Mu.
Tuhan! Anugerahkanlah kepadaku dengan rahmat-Mu, aku menyembah-Mu dengan penuh suka dan gembira.
Menyembah-Mu dengan penuh cinta dan suka.
Bukan lagi menyembah-Mu dengan secara mujahadah dan terpaksa.
Secara terpaksa dan mujahadah itu jemu.
Aku rasa hatiku belum lagi clear dengan-Mu.
Hati belum lagi jatuh cinta kepada-Mu.
Tuhan! Di manalah salah silapnya, berilah tahu aku.
Apakah anak kuncinya agar mudah sahaja mencintai-Mu?
Lebih-lebih lagi ketika hendak menyembah-Mu.
Tuhan! Janganlah Engkau lambat-lambatkan lagi kerana aku sudah tua.
Umur yang baki ini hanya menunggu mati.
Sedangkan cinta pada-Mu belum lagi berbunga.
Aku takut sebenarnya, kalau aku mati, hanya baru peringkat mujahadah.
Sepatutnya menunggu mati, cintaku pada-Mu sudah memuncak tinggi.
Cintaku pada-Mu sepatutnya sudah meluap-luap.
Hingga kerja-kerja lain sudah terganggu.
Membuatnya tidak lagi sepenuh hati, kerana cinta kepada-Mu.
No comments:
Post a Comment