Kejadianku Daripada Tanah



Tuhan! Kejadianku daripada tanah.
Tanah adalah hina, dipijak-pijak orang, dilemparkan orang najis-najis, kekotoran dan sampah sarap ke atasnya.
Orang pijak dan orang buat berbagai perkara di atasnya.
Tanah dia sedar bahawa dirinya hina, boleh menerima kehinaannya itu bentuk apa sahaja.
Lakukanlah ke atasnya, dia boleh menerima tanpa bantahan.
Tanah boleh terima apapun yang dibuat kepadanya.
Pijaklah tidak mengapa! Lemparlah apa sahaja kepadanya.
Buatlah apa sahaja kepada aku, aku redha.
Seolah-olah begitulah tanah berkata kalau dia boleh bersuara.
Tanah kalau dicurahkan air kepadanya, tetap diserapnya ke dalam badannya.
Air adalah simbol rahmat dan berkat, ia mudah menerimanya dan tidak menolaknya.
Kalau air itu berlebih pula daripada yang terserap, air itu sangat berguna
kepada benda lain pula.
Boleh diminum oleh makhluk Tuhan, boleh pula membersihkan najis dan kekotoran di belakangnya.
Kerana redhanya, tanah itu subur pula oleh air dan sampah sarap ke atasnya.
Kerana suburnya, orang bertani di atasnya, ramai makhluk yang mendapat manfaatnya.
Di atasnya juga orang memelihara ternakan menjadi hasil pula kepada negara.
Orang bangunkan kemajuan, orang bangunkan tempat tinggal, dia terima sahaja.
Tanah (bumi) kerana tawadhuknya, ramai makhluk dan manusia mendapat manfaatnya.
Sungguh banyak budinya kepada manusia dan makhluk Tuhannya.
Tuhan! Begitulah kejadian tanah.
Begitulah tabiat tanah, sentiasa merendah diri setiap masa.
Buat apa sahaja ke atasnya, boleh dia terima.
Kesan dari itu, banyak khidmatnya kepada makhluk dan manusia.
Tuhan! Aku adalah dijadikan daripada tanah, aku hina.
Kerana kejadianku daripada tanah hina, Engkau kekalkanlah tabiat dan sifatku macam tanah.
Jadikanlah aku orang tawadhuk macam tanah itu.
Kalau orang hendak kata dan hina aku, jadikanlah aku boleh menerimanya.
Aku redha dengan kata-kata penghinaan itu kerana aku memanglah hina, sesuai dengan kejadianku.
Tuhan! Engkau jadikanlah aku boleh berkhidmat kepada manusia dengan berbagai caranya.
Sesuai dengan tanah kejadianku yang banyak berkhidmat kepada manusia, makhluk-Mu.
Jadikanlah aku boleh berkhidmat dengan manusia.
Dengan ilmuku, dengan fikiranku, dengan tenagaku, dengan hartaku, dengan kemaafanku, dengan kasih sayangku.
Dengan senyumanku, dengan kemesraanku, dengan kesabaranku.
Tuhan! Engkau kekalkanlah tabiat dan sifat tanah itu pada diriku, hingga tiba kematianku.
Yang mana aku dari tanah dijadikan, bertabiat tanah kekalkan, kepada tanah aku akan dikembalikan dan terimalah aku bersama redha-Mu. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah