*M776*
Kalau kita hendak bandingkan, perjuangan untuk memburu dunia dengan memburu Akhirat, memburu dunia lebih lagi susah dan payah. Tapi manusia itu kerana memburu dunia, sanggup bersusah-susah, apabila memburu Akhirat banyak berhelah-helah. Contohnya, untuk mengerjakan sembahyang Subuh lebih ringan dan mudah jika dibandingkan dengan pergi ke laut menangkap ikan. Tapi orang lebih sanggup ke laut daripada sembahyang Subuh.
*M777*
Agama dan ideologi selalu sahaja bertembung, tidak berkesudahan. Biasanya perjuangan agama yang benar tapi selalu kalah. Perjuangan ideologi yang salah tapi selalu mengalahkan.
*M778*
Ada orang, apabila ada orang di sesebuah parti atau jemaah melakukan kesilapan dan kesalahan, bukan sahaja orang itu dihina, dikata dan dicerca, bahkan jemaah orang itupun dikata dan dicerca.
Tapi apabila Allah takdirkan terbongkar kesalahan mana-mana orang di dalam parti atau jemaahnya, dia berkata itu kesalahan individu, tidak ada kena mengena dengan parti atau jemaah.
*M779*
Ada orang di dalam perjuangannya, sanggup korbankan dasar dan prinsip perjuangannya kerana mempertahankan satu dua orang yang disukainya walaupun orang yang dipertahankannya itu melakukan kesalahan.
Begitu juga ada orang yang sanggup korbankan dasar perjuangan, kerana ada individu di dalam perjuangan itu berselisih faham dengannya.
*M780*
Di dalam satu perjuangan, kita mesti pandai membezakan, kesalahan dasar perjuangan, dengan kesalahan peribadi dalam perjuangan.
Apabila peribadi yang salah, kita tidak boleh meninggalkan perjuangan, tapi apabila dasar perjuangan yang salah, tidak mengapa kita meninggalkan perjuangan itu.
No comments:
Post a Comment