Madah baru 119

                                                                         
*M731*
Adakalanya orang yang mencari kebenaran, kemudian terjumpa pada Islam, Islamnya lebih baik pada keyakinan dan amalannya, daripada orang Islam keturunan, justeru mereka mendapat kebenaran hasil mencari, mengkaji. Sedangkan umat Islam menerima Islam  secara warisan Islam, secara kebetulan, bukan secara kefahaman dan penghayatan.

*M732*
Golongan yang membawa kebenaran itu, selalunya pendukungnya  bilangannya sedikit, tapi disokong oleh orang ramai, sekalipun orang kafir, barulah nampak kehebatan kebenaran itu dan luar biasa, begitu pulalah golongan yang membawa kebatilan itu, selalunya pendukungnya bilangannya ramai, tidak hairanlah disokong oleh orang ramai, bukanlah satu keluarbiasaan.

*M733*
Adakalanya seorang yang pernah menerima kebenaran, kemudian menolak semula kebenaran itu, dia lebih jahat daripada sebelum menerima kebenaran.

*M734*
Allah tidak akan persoalkan kelak menang dan kalah, tapi yang akan Allah persoalkan ialah benar dan salah, begitu jugalah Allah tidak akan tanya tentang berjaya dan gagal, tapi yang Allah akan tanya adalah bekerja dan berusaha mengikut syariat atau sebaliknya melanggar syariat.

*M735*
Apabila Allah membantu usaha-usaha hambaNya yang mukmin dengan keredhaanNya, sama ada di sudut ekonomi, pembangunan, ketenteraan, dan lain-lain, kerana ketaqwaan hamba-hambaNya, terutama pemimpin, di samping mendapat kejayaan dan pahala, ia berlaku sekali dengan sifat-sifat terpuji seperti merendah diri di dalam kejayaan, timbul perpaduan, keharmonian, pemurah, bertimbang rasa, bertolak ansur, jujur, taat, setia, sabar, redha, adil, terlalu sedikit maksiat, masyarakat bersih daripada gejala-gejala tidak sihat, tapi apabila usaha-usaha kita berjaya dengan kemurkaan (dengan istidraj), justeru di dalam kita membangun masa yang sama kita derhaka kepadaNya, akan berlaku 'side-effect' dari kemajuan itu, iaitu lahir orang-orang jahat, timbul kerosakkan akhlak, terjadilah perpecahan, perbalahan, perpaduan punah, disiplin hidup tiada, berfoya-foya, pergaulan bebas menjadi-jadi, zina, dadah, masyarakat huru-hara, hidup di dalam kebimbangan dan ketakutan, kemajuan yang pesat hanya boleh dimegah-megah dan dibangga-bangga sahaja, namun hidup terseksa, di sinilah perlunya keredhaan dan keberkatan dari Allah di dalam usaha-usaha kita.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah