Sabariah Hussien Muslim Mother Teressa

Sabariah Hussein, anak Malaysia kelahiran Johor, terkenal dan disenangi rakyat Kanada khususnya di Montreal. Mereka menggelarnya 'Muslim Mother Teressa'.

Setiap hari Sabariah akan memberi makan kepada 400-500 insan-insan yang memerlukan.

Sabariah juga mengendalikan rumah perlindungan wanita yang dikenali sebagai “Rumah Kedua Kita” (Our Second Home) di rumahnya sendiri.

Hebat anak Malaysia ini.

Beliau merupakan bekas guru pendidikan khas di Montreal Kanada. Oleh itu, sifat kasih sayang dan empati sudah sebati dalam dirinya.

Dia memulakan kerja amalnya di Kanada dengan mengagihkan karipap dalam kuantiti yang kecil kepada masjid berdekatan rumahnya.

Langkah kecil itu telah membuka matanya apabila dia melihat ramai orang yang memerlukan makanan.

Ketika itu, Sabariah bukanlah seorang jutawan. Bukan orang terkenal. Dia hanya seorang guru pendidikan khas yang berjiwa besar.

Dari dapur kecil di rumahnya, berbekalkan kemahiran memasak yang ada, dia mula memasak bersendirian. Kemudian dia akan mengagihkan sendiri kepada mereka yang memerlukan. Sungguh luar biasa kesungguhan insan ini membantu orang yang langsung tak punya sebarang ikatan.

Sabariah terus menggiatkan usahanya untuk membantu seramai yang boleh. Bayangkan di saat kita sedap menjamu selera, ada insan yang sudah berhari-hari tak menjamah makanan.

Insan-insan ini dijamu dengan air tangan Sabariah. Bayangkan bagaimana perasaan mereka disaat mengunyah makanan yang enak dikala perut sedang kelaparan. Betapa bahagianya mereka ketika itu.

Oleh kerana itu Sabariah disayangi oleh orang sekelilingnya. Sifat mulianya itu telah menjentik hati orang lain tanpa mengira status, agama dan bangsa.

Begitulah rutin Sabariah setiap hari. Tanpa jemu dia menyediakan makanan buat mereka semua. Senyuman mereka menciptakan kebahagiaan dalam hati Sabariah.

Pada peringkat awal  Sabariah menggunakan keuntungan dari hasil jualan makanan di luar masjid untuk membeli barangan makanan yang hendak dimasak.

Ketelusan dan keluhuran jiwanya terserlah apabila dia keluar berniaga semata-mata mahu mencari dana untuk memastikan tiada insan yang tertidur dalam kelaparan. Betapa mulianya hati insan ini.

Ternyata hidupnya adalah untuk kebahagiaan insan-insan lain.

Makanan yang disediakan oleh Sabariah juga enak. Dia memasak dari hati dan sesekali tidak memasak dengan hanya sekadar melepaskan batok ditangga.

Katanya,
"Saya memasak dari hati dengan penuh kasih sayang. Saya sentiasa mahukan yang terbaik untuk mereka. Itulah kebahagiaan saya."

Usahanya itu saban hari mendapat sambutan. Malah kini ratusan sukarelawan pelbagai bangsa membantu Sabariah menyediakan dan mengedarkan makanan kepada mereka yang memerlukan.

Sabariah adalah insan yang rendah diri. Dia membantu tanpa mengira status, agama dan bangsa. Dia membawa contoh akhlak Islam yang baik di kalangan orang bukan islam.

Sabariah turut membantu memasak makanan untuk 8 buah masjid dan 2 buah gereja di Montreal buat golongan miskin dan gelandangan di sekitar kawasan tempat tinggal beliau, tanpa mengira agama dan bangsa.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus sentiasa berganding bahu supaya dapat mencermin masyarakat Islam adalah dalam kalangan orang yang baik-baik.”

“Apa yang saya buat semuanya kerana Allah, tidak pernah menyimpan niat untuk mendapatkan balasan,” demikian luahan Sabariah.

Usaha Sabariah ini juga adalah dakwah yang mencerminkan kebaikan islam. Di kala dunia barat digembar gemburkan dengan Islamophobia, Sabariah tampil menjernihkan ketegangan itu dengan makanan masakannya.

Sesungguhnya, jalan dakwah itu luas. Apa yang paling penting adalah tindakan kita. Orang melihat apa yang kita lakukan berbanding apa yang kita perkatakan.

Tindakan Sabariah jelas menunjukkan hasil yang baik terhadap persepsi orang barat terhadap Islam. Kebaikannya itu diiktiraf oleh penduduk setempat apabila dia digelar "Muslim Mother Teressa" oleh penduduk non Muslim.

Sabariah juga pernah koma 3 hari selepas dia bertungkus lumus mengutip sumbangan bagi korban tsunami di Indonesia.

Ketika itu dia sangka dirinya tertidur selama 3 hari akibat keletihan. Selepas berjumpa doktor, barulah dia tahu bahawa dirinya diserang stroke ringan dan menurut doktor tempoh tiga hari tidurnya itu adalah koma.

Allah, sampai sakit dia bantu orang. Alhamdulillah selepas itu dia kembali sihat dan meneruskan kerja amalnya sehingga kini.

Sabariah turut membuka rumah anak yatim di Kota Tinggi, Johor dibawah naungan Sister Sabria Foundation.

Sabariah telah menerima pelbagai anugerah dari kerajaan Kanada dan Malaysia. Sabariah juga dijemput untuk bertemu Perdana Menteri Kanada sebagai tanda penghargaan terhadap usahanya.

Sabariah umpama permata berkilauan yang menyinari kehidupan orang-orang di sekelilingnya. Sabariah sedang berniaga dengan Allah. Pasti dia tak akan pernah rugi.

Kini usianya sudah mencecah 73 tahun. Tetapi sedikit pun tidak pernah melonggarkan usaha Sabariah untuk terus membantu orang yang memerlukan.

Semoga Allah beri kesihatan dan kekuatan buat insan ini terus menyumbang dan berdakwah. Pasti anak cucunya bangga punya ibu dan nenek yang hebat begini.

Kita pula bagaimana? Hidup kita untuk apa? Apa sumbangan kita kepada ummah? Adakah kita hanya memikirkan tentang diri semata-mata.

Sebab itu hidup kita sentiasa stres dan serabut.

Kegiatan amal Sabariah boleh diikuti di laman Facebook, Sister Sabria Foundation.

Kredit :
Zul Fikarullah suka menulis tentang Motivasi Pembangunan diri, Motivasi Keluarga dan Cerita Inspirasi yang menyentuh hati. Jemput FOLLOW ye.

#TukangCeritaMotivasi

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah