Merajuk telah menjadi budaya manusia
Budaya yang sama-sama manusia tidak mahu
Tapi sama-sama membudayakannya
Budaya merajuk itulah yang menyusahkan manusia
Yang menjadi racun di dalam keluarga dan di dalam pergaulan mereka
Banyak kerja terhalang, tidak kurang kerja terbengkalai dibuatnya
Banyak kerja tidak sempurna, diganggu oleh budaya merajuk
Buat itu tak kena, buat ini tak kena
Serba terganggu
Merajuk menghantui perasaannya
Setengah jiwa yang terlalu lemah, jiwanya merana
Budaya merajuk ini berlaku setiap hari
Di dalam rumahtangga, di tempat kerja, di dalam parti
Di rumah Allah berlaku juga
Tidak ada akta dan peraturan yang boleh membendungnya
Justerulah akta dan undang-undang tidak dilagang
Penyakit merajuk ini dia serang tidak pilih orang
Semua golongan kena serang
Budaya merajuk ini mudah saja terjadi
Suami lambat balik pun isteri masam muka
Hilang manisnya
Layanan kepada suami pun dingin saja
Belum lagi suami kahwin dua
Merasakan diri tidak dihormati, pertengkaran pun terjadi
Adakalanya sampai mati
Suami pula terpelengok merajuk sakit hati
Bertindakbalas terhadap isteri
Ibu bapa pun selalu merajuk
Tersinggung oleh anak-anak yang berbagai kerenah
Anak-anak lambat ziarah
Atau lambat menerima surat atau memberi pendapat
Tidak senang saja
Marah-marah saja
Merungut-rungut dan membebel tidak tentu hala
Apabila anak-anak balik, kerut mukanya
Bila ditanya, diam sahaja
Atau menyergah macam singa
Di pejabat-pejabat ada staf-staf merungut tidak habis-habis
Merasakan tertekan oleh majikan, kerana terlalu banyak kerja
Atau gaji tidak seimbang dengan kerja
Majikan tidak dihormati lagi
Di belakang dikata-kata dan dihina
Ada yang terus lari dari kerja
Majikan pula susah hati
Merajuk pula, marah-marah saja kepada staf-stafnya
Adakalanya nafsu tidak boleh kontrol
Maki hamun semahu-mahunya
Merajuk juga berlaku di dalam parti
Setelah jatuh dari jawatan parti oleh undi
Tenaga dan pengorbanan dibekukan
Kalau dulu aktif, sekarang pasif
Dahulu cergas, sekarang culas
Tidak terlantik di dalam pencalonan
Atau digugur di dalam jawatan parti atau pemerintahan
Hati sakit, merajuk pula
Muka pun tidak nampak lagi, membawa diri
Entah mana perginya, kalau mati ada kuburnya
Bila mati barulah media massa membuat berita
Setelah lama hilang dari gelanggang masyarakatnya
Di masjid pun berlaku budaya merajuk
Waktu jadi imam, di masjid setiap waktu macam merpati masjid
Tidak lekang-lekang di masjid, macam rumahnya
Bila jawatan diganti orang, di masjid tidak nampak lagi
Bahkan waktu sembahyang pun dia tidak muncul-muncul lagi
Hanya kelihatan pada hari Jumaat
Itupun duduk di tepi-tepi
Mukanya masam tidak berseri
Habis sahaja sembahyang tidak sempat sembahyang sunat, cepat-cepat cabut pergi
Orang ramai hairan semua memerhati
Imam pun boleh berlaku, kata setiap hati
No comments:
Post a Comment