Orang Yang Tidak Rasa Bertuhan



Orang yang tidak ada rasa bertuhan, dia tidak beradab dengan Tuhan.
Tidak rasa bertuhan ertinya lalai dengan Tuhan.
Jika rasa bertuhan sudah tidak ada, tidak rasa lagi Tuhan berkuasa.
Tidak lagi rasa Tuhan mendengar, melihat, mengetahui tentang dirinya.
Orang yang tidak rasa bertuhan, dia tidak jadikan Tuhan kawannya.
Orang yang macam ini bolehkah menjaga dirinya?
Tidak mungkin boleh menjaga diri kerana tidak ada tempat yang dia takut.
Kalau mendapat kesusahan dengan siapa hendak mengadu?
Alangkah terseksanya tidak ada tempat hendak mengadu di waktu kesusahan.
Jika ada masalah, tanggung sendiri, siapa yang hendak menyelesaikan masalah dirinya?
Bila mendapat kejayaan atau kekayaan, terasa pula luar biasa.
Megah pun tiba, sombong pun berbunga, ingin mendapat nama pun mula ada.
Apabila mendapat kuasa, rasa bertuhan tidak ada, dirilah tuhan.
Dia akan berbuat sesuka hati, mengikut rasa.
Berdendam, menindas, menzalim, menghukum sesuka hati.
Menggunakan kuasa, mengikut rasa terhadap musuh-musuhnya.
Bertindak sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja, terutama lawannya.
Di waktu lemah, orang lain pula berkuasa, dia pula dianiaya.
Kecewa pun tiba, jiwa menderita akhirnya putus asa.
Kerana di waktu itu tidak rasa lagi ada Yang Maha Kuasa
yang akan membelanya atau melindunginya.
Begitulah orang yang tidak ada rasa bertuhan di dalam kehidupannya.
Diri sendirilah yang hendak memikirkan diri sendiri.
Mana mampu, kerana makhluk bukan ada kuasa. 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah