*M156*
Setiap amal ibadah itu memang ada fadhilatnya.
Begitulah rahmat Allah ke atas hamba-Nya,
mengurniakan fadhilat-fadhilat itu.
Tapi perlu diingat, kalau seseorang itu beribadah kerana fadhilat,
bukan kerana Zat Allah,
selalunya perangai orang itu tidak berubah daripada mazmumah kepada mahmudah,
sekalipun banyak ibadahnya.
Orang itu tertipu atau ghurur dengan ibadahnya.
*M157*
Kalau bala sudah merata, dia tidak memilih siapa saja,
seperti bencana alam sering berlaku,
rompakan berlaku setiap hari,
rasuah menjadi-jadi, remaja telah liar,
pelajar-pelajar sudah tidak dapat didisiplinkan,
rogol, zina, dadah berlaku merata-rata tempat, krisis di mana-mana,
hingga rakyat di dalam ketakutan,
maka hendaklah setiap orang daripada orang kecil, mahupun orang besar, membaiki diri dan baiki sembahyang.
Taubatlah, bukan sekadar ceramah, forum, peraturan,
undang-undang, hukum, mesyuarat saja.
*M158*
Tujuan sembahyang kerana hendak melahirkan rasa kehambaan kepada Allah yang Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa.
Oleh itu di dalam sembahyang, mesti khusyuk.
Kalau rasa-rasa tersebut tidak ada di dalam sembahyang,
bukan sembahyang namanya.
*M159*
Selagi sembahyang tidak khusyuk, penyakit hati (mazmumah) seseorang itu tidak akan dapat ditumpaskan,
seperti sombong, pemarah, hasad, megah, tamak, dendam dan lain-lain.
Dari sinilah lahirnya penyakit masyarakat.
Ertinya bila sembahyang tidak khusyuk, mazmumah masih wujud.
Jika mazmumah masih wujud, penyakit masyarakat pasti wujud.
Kalau begitu untuk menangani gejala masyarakat, betulkan sembahyang lebih dahulu. Sembahyang ubat penyakit masyarakat.
Begitulah metodologi cara membaiki masyarakat menurut Islam.
*M160*
Yang haram bagaimana pun hendak diusahakan, tetap haram.
Haram tetap berdosa.
Yang syubhat, yang haram dan halal telah bercampur, hinggalah tidak dapat dipisahkan
yang mana halal dan yang mana haram,
kesamaran harus diambil kira.
Anggaplah yang halalnya, tapi makruh bagi orang yang berhati-hati dengan agama (warak), dia meninggalkannya.
Yang halal, harus mengambilnya.
Cuma berhati-hatilah, jangan sampai menggunakannya jatuh kepada yang haram.
No comments:
Post a Comment