Bersandarlah Dengan Tuhan



Bersandar dengan duit, tidak ada duit susahlah hati.
Kalau ada duit pun, jika sakit, bala bencana, musuh banyak, duit sudah tidak ada erti.
Hati tetap derita kerana duit tidak boleh mengubatinya.
Bersandar dengan diri, jika sakit, lumpuh, cacat, tentu hati derita, bahkan ada yang putus asa.
Dunia terasa gelap dibuatnya, masa hadapan tidak ada harapan apa-apa, kecewa menyelubungi jiwa.
Bersandar dengan orang, kalau orang itu mati, atau tidak peduli lagi, kita tentu susah hati.
Kita hidup di dalam kebingungan, sumber harapan tidak ada lagi.
Begitulah kalau kita sandarkan nasib kita kepada selain Allah Taala Tuhan kita.
Sandaran kita sangat rapuh.
Kalau begitu, bersandarlah dengan Allah Taala,
Tuhan yang memiliki segala-galanya.
Tuhan adalah segala-galanya, sumber segala kekayaan dan kehidupan makhluk.
Bersandar dengan Tuhan, bersandar dengan satu kekuatan yang tidak ada habis-habisnya.
Tuhan mempunyai khazanah yang tidak ada berkesudahan.
Tuhanlah penentu nasib makhluk-makhluk-Nya, termasuk manusia.
Bersandar dengan Tuhan tidak akan kecewa.
Tuhan melakukan kepada manusia yang menggembirakan, tujuannya baik.
Memberi kesusahan pun, dengan tujuan kebaikan kalau pandai kita menerimanya.
Begitulah kalau kita bersandar dengan Tuhan. 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah