*M161*
Hiasi majlis dengan zikrullah, bukan dengan perempuan cantik.
Cantikkan dengan suasana tawadhuk, bukan dengan menunjuk-nunjuk.
Serikan dengan kalimah Allah, bukan ketawa berdekah-dekah.
Makanlah beramai-ramai secara hamba, bukan secara tuan yang lupa daratan.
Elakkan pembaziran di waktu makan, jauhkan umpat keji di dalam perbualan.
Beginilah tradisi dan disiplin orang mukmin di dalam majlis-majlis pertemuan.
*M162*
Kalaulah ibadah sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca Al Quran, zikir, boleh datang riyak, ujub, sombong, sum'ah, megah, yang boleh membatalkan pahalanya, tentu lebih susah lagi menghindarkan mazmumah tadi, kalaulah kita memiliki kereta besar, pangkat besar, duit banyak, kuasa besar, pengikut yang banyak.
*M163*
Di dalam Islam amalan kebajikan kita disuruh hidup dan disorok-sorokkan,
tapi zaman sekarang orang suka siar-siarkan, ertinya syaitan turun tangan mengiklankan, hilang pahalanya
*M164*
Kalaulah umat Islam hari ini sudah berpada dengan Islamnya, sekadar sembahyang lebih kurang, puasa setahun sekali, siang berlapar, malam makan banyak, zakat digesa, sedekah diberitahu pemberita, siapa ikutan kita?
Kalau Rasulullah SAW sebagai ikutan, bukankah Rasulullah SAW itu sembahyang hingga bengkak-bengkak kaki,
menolong orang sanggup berhutang, makanan yang berlebih diberikan kepada orang, musuhnya diziarahi dan dimaafkan, jirannya dijaga sekalipun kafir, ketegasannya hingga dikurung oleh musuhnya, kegigihannya, perjuangannya hingga meninggalkan kampung halaman.
*M165*
Kalau ada satu kelompok manusia yang hidupnya miskin, riuh rendah masyarakat memperkatakannya,
besar liputan di dalam surat khabar, tapi kalau ada satu masyarakat umat Islam yang tidak bersembahyang,
tidak seorang pun yang membisingkannya, apatah lagi hendak buat berita di dalam akhbar-akhbar dan media massa.
Begitulah umat Islam di akhir zaman, memandang bahawa kemiskinan ini lebih merbahaya daripada meninggalkan sembahyang.
No comments:
Post a Comment