Manusia ini kalau dari kecil tidak dididik rohaninya,
hanya diberi ilmu-ilmu syariat yang lahir-lahir sahaja,
dia akan lebih kenal orang lain dari dirinya.
Kejahatan orang lain dia lebih nampak dari kejahatan dirinya sendiri.
Orang lain sombong atau ego dia nampak,
pada masa yang sama,
ego dirinya lebih besar dari orang itu dia tidak terasa.
Di waktu dia susah orang tidak membantunya, dia terasa.
Padahal dia sendiri tidak pernah membantu orang, dia tidak terasa satu kesalahan.
Orang mementingkan diri dia tersinggung,
dia mementingkan diri dia tidak sedar ianya sudah jadi budaya.
Orang lain bakhil dia nampak tidak patut,
dia sendiri bakhil seolah-olah tidak mengapa.
Orang tidak sabar dia nampak sangat,
dia tidak sabar payah dia hendak memahaminya.
Begitulah manusia jika tersalah didik dari kecilnya.
Soal-soal roh atau hati yang ada hubungan dengan mahmudah dan mazmumah, tidak pernah dia kenal.
Kalaupun dia diajar tentang Islam, hanya banyak menekankan syariat lahir semata-mata.
Akibatnya dia tidak kenal diri sendiri.
Tidak kenal diri sendiri ertinya tidak boleh nilai diri.
Tidak boleh nilai diri sendiri, kejahatan orang lainlah yang dia nampak.
Kejahatan diri sendiri dia tidak nampak.
Kejahatan diri sendiri dia tidak sedari.
Oleh itu, orang ini selalu sahaja menuding jari kepada orang lain.
Dirinya terkecuali daripada kesalahan.
Ramai manusia di dunia hari ini bersikap begini.
No comments:
Post a Comment