Ramai pejuang-pejuang berani berjuang menentang musuh-musuh lahirnya.
Mereka terlalu ghairah berjuang menumpaskan musuh-musuh yang nampak di mata.
Tapi malang sekali, mereka lemah berjuang terhadap musuh batinnya,
iaitu nafsu dan syaitan yang amat jahatnya.
Bahkan setengah-setengah pejuang, tidak minat langsung hendak berjuang terhadap musuh-musuh batinnya.
Lantaran itulah di dalam perjuangan, mereka jadi militan, ganas, kasar dan buas.
Maki hamun orang, hasad dengki bukan kepalang, sombong, takabur pakaiannya, jatuh-menjatuhkan budaya mereka.
Di dalam mereka berjuang, mereka dikudakan oleh hawa nafsu mereka.
Waktu mereka berjuang, syaitan jadikan mereka bola,
disepaknya dan diterajang ke mana-mana.
Mereka sangat I wira-wira agama dan bangsa,
sebenarnya mereka adalah petualang-petualang.
Mereka menyangka mendapat pahala,
sebenarnya derhaka, bala dan Neraka.
Sebenarnya musuh-musuh pejuang bukan manusia, tapi nafsu dan syaitan.
Berjuang terhadap manusia untuk diislamkan.
Dan yang Islam hendak ditingkatkan Islam mereka.
Agar mereka terselamat daripada Neraka.
Pejuang yang sebenarnya adalah penyelamat,
bukan pembunuh dan pemusnah.
Nafsu dan syaitan adalah musuh-musuh batin yang amat jahatnya
Kerjanya hendak menjadikan manusia, termasuk pejuang-pejuang, menjadi derhaka.
Hendak menjadikan mereka agar Allah Taala murka.
Supaya mereka semuanya masuk Neraka, wal'iyazubillah.
Begitulah cita-cita nafsu dan syaitan yang durjana terhadap manusia.
Sepatutnya kita manusia sibuk berjuang terhadap nafsu dan syaitan.
Mereka itulah musuh-musuh utama manusia.
Mereka memerangi kita tidak pernah rehat-rehatnya setiap detik dan masa.
Di masa kita berjuang memerangi musuh lahir itulah mereka mengambil peluang.
Diharu-birunya kita, agar kita tersesat jalan.
Ditipu-dayanya kita agar kita menjadi ganas dan militan.
Didorong kita agar kita mengorbankan kasih sayang sesama manusia.
Diputuskannya silaturrahim, dipecah-belahnya kita, diporak-perandakan perpaduan.
Padahal kasih sayang itulah yang disukai oleh Tuhan.
Kasih sayang itulah yang diperlukan oleh semua manusia, tidak kira apa bangsa.
Engkau berjuang korbankan kasih sayang yang dikehendaki oleh nafsu dan syaitan.
Rupanya engkau berjuang bukan membawa kemajuan dan kejayaan.
Tapi perjuangan kamu mendorong dan mengundang kejayaan nafsu dan syaitan.
Sebenarnya engkau tertipu di dalam perjuangan.
No comments:
Post a Comment