*M281*
Orang yang jahil dan miskin bila mencuri mudah nampak, tapi orang yang pandai bila mencuri payah dikesan, kerana dia mengguna tulisan dan meniti di atas peraturan.
*M282*
Selalunya gejala-gejala masyarakat payah hendak dibaiki, adakalanya makin hendak dibaiki, makin bertambah gejala itu menjadi-jadi.
Gejala yang ada belum dapat dibasmi, timbul pula gejala yang lain, kerana pejuang masyarakat itu ada kepentingan diri atau tidak bertunjangkan iman. Walaupun tindakan lahirnya sesuai dengan syariat tapi syariat yang tidak bertunjangkan iman.
*M283*
Kalau seseorang itu di dalam perbincangannya atau perdebatannya tidak rasa megah bila mampu memberi pendapat, tidak rasa ingin menunjuk-nunjuk pandai, rasa senang dengan pandangan orang lain atau ingin agar orang lain dapat memberi pandangan yang benar dan bernas, dan tidak terasa rendah diri bila tidak mampu, orang itu kalaupun dia bukan wali tapi dia seorang yang soleh.
*M284*
Tidak semua hal sebelum dijadikan tindakan, mesti disyurakan terlebih dahulu. Ada kalanya cukup dengan arahan seseorang pemimpin di dalam kumpulannya maka orang bawahannya wajib melaksanakannya.
*M285*
Di zaman dahulu setiap anggota sesebuah masyarakat (kampung) laksana satu keluarga. Kenduri bersama, gotong-royong bersama, mengawal anak-anak dan remaja bersama-sama, senang sama-sama dirasa, susah sama-sama menderita, kemungkaran sama-sama dicegah, kebaikan sama-sama dibina.
Di zaman moden ini, di mana manusia sudah pandai-pandai belaka, budaya ini sudah hilang di mana-mana, hidup individualistik menjadi-jadi bahkan jadi budaya.