Moga Nikmat-Mu Dalam Redha-Mu

Di antara rahmat dan nikmat Tuhan kepadaku
Yang berlaku padaku di akhir-akhir ini yang jarang aku lupakan
Apabila aku menghadapi hidangan makanan,
Atau aku berpakaian di badan,
Juga ketika aku menaiki kenderaan,
Fikiranku pun merayap-rayap berjalan
Perasaanku pun berbagai-bagai ingatan
Mula-mula aku ingat bahawa nikmat itu tidak layak aku dapatkan
Tapi dengan kemurahan Tuhan, diberi-Nya juga apabila diperlukan
Aku bisikkan di dalam hati kepada Tuhan dengan merendah diri
Tuhan! Apa yang Engkau anugerahkan ini berilah dengan redha
Janganlah Engkau beri kepadaku dengan istidraj dan tipuan
Ingatanku terus berjalan jauh di lubuk hati
Hatiku membisikkan kepada Tuhan
Tuhan! Apa yang aku dapati ini ramai orang yang campurtangan
Dari yang menyediakan bahan mentahnya hinggalah yang menyajikan
Cuma aku tidak kenal mereka-mereka itu
Mungkin mereka itu ada yang miskin dan menderita
Tidak kurang juga hasil usaha mereka, mereka tidak merasa
Aduh! Hatiku sedih seketika
Orang lain yang bersusah-payah aku yang mendapat faedah
Aku pun membisikkan kepada Tuhan buat mereka
Tuhan! Berilah mereka petunjuk, 
Murahkan rezeki mereka, 
Ampunkan dosa mereka
Begitulah hatiku merasa tersayat
Apabila berhadapan dengan nikmat Tuhan
Hatiku menangis bila mengenangkan mereka-mereka yang berjasa
Mereka yang mendapat kesusahan, aku pula yang senang


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah