Kehidupan Orang Tuhan Berbeza


Pengikut-pengikut syaitan dan iblis perjuangannya, Tuhan hamparkan permaidani merah
Tempat tinggal mereka istana-istana tersergam gagah, besar dan indah
Mereka mempunyai emas dan perak, intan berlian, kebun yang luas
Kerana dunia ini pada Tuhan tidak ada nilai sekalipun setimbang sayap nyamuk yang murah
Patutlah dianugerahkan kepada mereka dunia ini agar di Akhirat tidak ada lagi habuannya
Seperti Namrud, Firaun, Qarun dan mereka-mereka yang serupa dengan mereka
Orang-orang Tuhan seperti para-para Rasul, anbiya dan auliya Tuhan layan mereka lain pula caranya
Kalau mengikut ukuran orang dunia, mereka itu macam terhina sahaja nampaknya
Tuhan layan mereka aduh sungguh hiba ceritanya
Perjuangan mereka dihamparkan dengan batu-batu kerikil dan duri-duri yang tajam yang mencucuknya
Tempat tinggal mereka ala kadarnya macam orang biasa sahaja
Bahkan mereka macam tidak ada rumah, 
Hidup mereka pindah-randah sahaja merata-rata
Mereka sentiasa dikejar-kejar dan diburu oleh musuh-musuhnya
Kerana Tuhan hendak anugerahkan hidup yang indah di Akhirat sana
Tuhan dera mereka di dunia
Tapi mereka faham mengapa Tuhan lakukan kepada mereka begitu rupa
Jiwa mereka tenang, bahkan rasa indah macam hidup di dalam istana yang indah
Orang yang tidak faham, apatah lagi yang tidak kenal Tuhan, mengejek-ngejek mereka kerana dhaifnya tempat tinggal mereka
Para Rasul, anbiya dan auliya mereka, hidupnya simple sahaja
Mereka orang dunia itu tertipu dengan nikmat dunia, di Akhirat sana dicampak ke Neraka
Sungguh berbeza hidup orang syaitan dan orang Tuhan
Macam di antara langit dengan bumi jaraknya
Orang syaitan penuh bangga, ingin duduk lama di dunia, berlagak macam ada kuasa
Body guard di kelilingnya, dengan kebesarannya penuh hebat dengan sombongnya
Tapi sakit juga, letih juga, mana ada kuasa menolaknya
Namun demikian tidak sedar juga, rasa ada kuasa
Mana ada kuasa,
Akhirnya umur tua juga walaupun tidak suka
Sudah tua badan sudah lemah, sakit-sakit pula tidak sedar juga
Tidak juga kembali kepada Tuhan, akhirnya mati juga tinggal sejarahnya sahaja
Orang Tuhan di bumi penuh rendah diri, serendah bumi
Tawadhuk dengan Tuhannya di situlah rasa indah jiwanya, tenang perasaannya
Makin rendah diri, makin terasa tidak ada kuasa, Tuhanlah yang berkuasa
Tuhan yang berkuasalah yang menjaganya, mengawalnya, sungguh indah dirasa
Rupanya rasa tidak ada kuasa, Tuhanlah yang berkuasa 
Di situlah ketenangannya, bahkan keindahannya
Mereka menunggu mati dari detik ke detik, angan-angan kosong tiada
Menunggu mati kerana ingin bertemu kekasih agungnya, itulah Tuhannya

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah