Seseorang itu kalau dia memperhambakan diri pada seseorang
Dia rasa senang, bahkan adakalanya rasa bahagia
Kerana dia hambakan diri pada seseorang kerana hormat dan senang
Boleh jadi orang itu memberi kasih sayang
Timbul kasih dan sayang di dalam hatinya pula
Tapi kalau seseorang itu diperhamba kerana terpaksa
Jiwanya akan derita dan terseksa
Dia akan membuat kerja-kerja orang itu bukan dari hati
Tetapi keadaan memaksa
Mungkin padanya tidak ada jalan lain untuk hidup, melainkan dengannya
Begitulah dengan Allah Taala Tuhan manusia
Kalau dia menyembah Allah bukan dari pengenalan, jiwanya terseksa beribadah
Hendak membuat kerja-kerja Tuhan macam terpaksa
Beribadah tanpa bahagia
Kerana itulah mengenal Tuhan itu wajib dan amat penting sekali
Hingga terasa Tuhan itu Kuasa-Nya, Kehendak-Nya, Ilmu-Nya, Pendengaran-Nya
Lebih-lebih lagi betapa Kasih Sayang-Nya, Rahmat dan Kurniaan-Nya
Penjagaan-Nya, Bijaksana-Nya, Jaminan-Nya kepada manusia
Di waktu itu beribadah itu terasa rindu
Beribadah kepada Tuhan terasa sangat lazatnya
Berkhidmat kepada Tuhan tidak terasa jemu
Bahkan boleh berkorban untuk-Nya satu hiburan
Apabila kurang berkhidmat kepada-Nya satu penyesalan
Oleh itu kenali Tuhan dengan sebaik-baiknya
Hingga terasa kasih dan sayang-Nya
Takut dan cinta kepada-Nya
Barulah kita beribadah kepada-Nya terasa lazatnya
No comments:
Post a Comment