Lima waktu sehari semalam Tuhan disembah
Dibesarkan, dipuja, dipuji, munajat dan meminta
Agar hati yang dilalaikan oleh kesibukan dunia, terbangun semula
Supaya rasa bertuhan, rasa kehambaan hidup membara
Sembahyang lima waktu adalah rahmat Tuhan kepada hamba-hamba-Nya
Agar manusia tidak terus lalai sepanjang masa
Hampir-hampir jiwa manusia lalai,
Dengan sembahyang sedar semula
Tidaklah sampai mati, hingga tertutup pintu hati
Rasa bertuhan dan rasa kehambaan itulah mengawal manusia
Daripada melakukan kejahatan dan kederhakaan
Daripada berlalai-lalai dan daripada melakukan dosa
Kalau tidak manusia tenggelam terus-menerus dengan dosa dan durjana
Oleh itu dirikanlah sembahyang, jangan sekadar sembahyang
Sembahyang sahaja, tidak menghidupkan jiwa
Mendirikan sembahyang, menghidupkan jiwa yang buta
Inilah hikmahnya mendirikan sembahyang,
Kelalaian tidak sampai mematikan jiwa
Apabila sembahyang didirikan ketika tiba masanya
Roh sembahyang itu tertanam di dalam jiwa
Rohnya itulah akan dibawa ke mana-mana
Semangat sembahyang itulah yang akan berperanan di mana sahaja kita berada
No comments:
Post a Comment