Kisah Benar



Aku seorang doktor ortopedik popular di Hospital Al-Qashr Al-Aini, Cairo. Berasal dari sebuah keluarga kaya, tamat saja pengajian sarjana perubatan ayah pun menghantarku ke Universiti Cambridge untuk meraih darjah pasca sarjana, PhD dan bahkan fellowship.

Aku memilih bidang ortopedik dan menetap di England lebih 10 tahun. Kehidupanku membaur dengan cara dan etika masyarakat Inggeris lalu begitu cepat menyerap budaya British yang menjadi persekitaranku. Pulang ke Mesir aku pun dilantik menjadi pensyarah ortopedik di Al-Qashr Al-Aini.

Karakterku berterus terang, tak suka bermanis mulut dan amat pemurah. Boleh jadi inilah yang membuat mereka bingung denganku kerana "... perangai amat bakhil adalah adalah adat nombor satu orang British", namun boleh jadi itu adalah saki baki dari asal ketimuran yang terpendam dalam jiwaku, aku juga tak suka main-main dan bergurau senda. Walaupun begitu aku disenangi oleh para pelajar dan kawan-kawan; aku tak lokek ilmu dan wang ringgit serta mencurah pengalaman dan kepakaranku kepada mereka. Aku tak merahsiakan ilmu pengetahuanku seperti yang dilakukan oleh sesetengah teman. 

Sebagai seorang Muslim secara tradisi aku bepuasa Ramadhan, naik haji dan selalu membaca Al-Quran. Aku berkahwin dengan sepupu... sudah sepuluh tahun dan kami masih belum dikurniakan anak... tanpa mengenal penat aku membawa isteriku kepada doktor-doktor pakar dalam dan luar negeri. 

Isteriku akhirnya menyerah kepada ketentuan ALLAH... (sememangnya dia adalah duniaku dan hidupku) bersama-samanya aku dapat melupakan segala penat lelah dunia. Isteriku tahu bila dia patut bercakap denganku dan bila masanya dia harus membiarkan aku. 

Aku tahu betapa terseksanya dia apabila merasakan rumah kami sepi dari derai tawa serta keletah kanak-kanak. Aku anggap isteriku bagai seorang anak perempuanku; aku manja-manjakan dia dan dia juga selalu memanggilku sebagai anaknya.

Satu hari aku diundang ke  seminar ortopedik di Universiti Asyuth. Aku pun pergi dengan keretapi berhawa dingin sambil membimbit kertas-kertas kajian. Tiba-tiba ada lelaki duduk bersebelahan denganku. Dari penampilannya dia adalah seorang petani asal hulu Mesir, wajahnya sawo matang, matanya luas, memakai jubah desa warna kelabu, melilit kepala dengan selendang putih dan aroma harum semerbak dari busananya.

Diwajahnya ada kilau indah yang tak mampu kau sifatkan. Dia berjalan terbata-bata dengan bantuan tongkat sambil dipapah oleh seorang pemuda yang pasti adalah anaknya. Pemuda ini meminta dengan sopan agar aku meninggalkan kerusiku dan berpindah ke kerusinya supaya dia boleh duduk sebelah-menyebelah dengan ayahnya namun aku tegas menolak, ini adalah hakku dan sepatutnya dia sedari awal menempah dua kerusi sebelah menyebelah.

Hampir saja si anak muda mahu bertekak denganku namun dia diam apabila diisyaratkan oleh sang ayah yang kemudian ralit merafal untaian doa, selawat dan wirid zikir disebelahku hingga aku jadi tak selesa dan hilang fokus dalam bacaanku. Aku menjeling marah dan mungkin dia perasan lantas sambil tersenyum bertanya: "Suara pakcik mengganggukah?". Itu aku jawab dengan amat berterus terang : "Benar. Saya harap pakcik boleh memperlahankan suara pakcik". Dia minta maaf dan kemudian komat kamit meneruskan wiridnya tanpa terdengar lagi suara dan aku pun merasa senang.

Mengejut saja dia tertidur nenyak lalu berdengkur kuat. Tertekan aku dibuatnya.. namun aku tak sampai hati nak mengejutkan apabila melihat kondisinya. Kemudian tiba-tiba aku dengar dia bercakap dengan suara perlahan:

"Waalaikumussalam ya Saiyidi ya RasulALLAH 

 hamba dengar dan taat ya Saiyidi 

 semoga ALLAH menggembirakanmu dengan segala kebaikan 

 waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh ya Saiyidi...!!"

Tiada orang lain mendengarnya kecuali aku dan seolah-olah dia memang tak mahu didengari oleh sesiapa.

Menurutku ia mungkin terjadi diluar paras sedar orang tua ini, tapi sekarang dengkurnya kembali menguat. Ya Ilahi! Dia sedang tidur nenyak, dia tak berlakon-lakon, boleh jadi dia sedang dalam mimpi yang benar... Ah, biarkanlah dia dengan mimpinya, buat apa aku nak sibuk-sibuk dengan mimpi orang, bukannya ada kena-mengena dengan aku pun.

Pak tua terbangun dari tidurnya dengan wajah lain, tak sama dengan wajahnya saat tidur tadi… kilaunya bertambah. Nur memancar dari wajahnya, memang serinya dapat dilihat jelas dengan mata. Anak lelakinya datang lalu mengelap peluh yang membasahi wajah sang ayah.

Tiba-tiba dia mengujar dengan suara perlahan kepada anaknya : "Dr. Abd. Rahman Al-Kailani ada bersama kita menjadi penumpang keretapi ini dan beliau akan menjalankan pembedahan keatas ayah besok". Ujaran itu membuat aku jadi amat tergamam, namun aku berpendapat boleh jadi ada orang telah memberitahunya soal keretapi.. boleh jadi jururawat di klinikku.. tapi soal ini tidak tersebut pun sebelum dia tidur tadi.. apakah ia sebuah mimpi yang benar dan transparent??

Aku bertekad untuk mengetahui perkara ini hingga tuntas dan kali ini biar aku yang buka bicara, khususnya tadi dia telah menyebut namaku dan aku adalah hero dalam mimpinya itu. Dia bertanya: "Tuan mahu turun di mana?". Aku jawab Asyuth.

Dia diam lantas memalingkan wajahnya dariku. Rasa ingin tahu makin membuak menyeksa aku, aku lontarkan lagi beberapa soalan dan dia menjawabnya panjang lebar. Jawaban-jawabannya belum memuaskan hatiku, akhirnya aku nekat melontar daun terup terakhirku: "Pakcik kenalkah Dr. Abd. Rahman?", dia jawab: Tidak, tapi pakcik sedang dalam perjalanan untuk berjumpa dengannya".

Aku mengujar: “Sayalah Dr. Abd. Rahman Al-Kailani!!!”.. Pak tua merenung kebawah dan seolah-olah dia langsung tak terperanjat… dia mengetuk-ngetuk lantai keretapi dengan tongkatnya sambil aku terus mendengar mulutnya komat-kamit berselawat keatas junjungan agung Saiyidina RasulALLAH عليه الصلاة والسلام. Dia membuat aku teruja yang amat sangat untuk mengetahui apa responnya!! Tapi dia diam saja. Aku rasa dia sedang mempermainkan aku, seolah-olahnya dia mahu aku angkat bendera putih terlebih dahulu. 

Aku pun menyentaknya dengan pertanyaan:  “Agaknya RasulALLAH yang beritahu pakcik ye?”. Dia benar-benar terkesima dan itu jelas terlihat diwajahnya. Dia mengangkat muka, dua matanya memandang luas, merenung lama kepadaku dalam tanda tanya. Sambil tergagap-gagap dia menyoal dari mana aku tahu?! Siapa yang memberitahuku?!

Hatiku tersenyum seraya menggumam… sekarang kau dah kena denganku kawan! Dia terus mendesakku dengan pertanyaannya, aku pula buat-buat bertenang dan menarik muka serius, aku memaling wajahku darinya sama seperti perbuatannya tadi sambil mengujar: “Itu urusan peribadiku pakcik!!”

Dia cepat-cepat meningkah: “Iya benar. Memang Saiyidina RasulALLAH صلى الله عليه وسلم… Baginda menyuruh pakcik menyampaikan pesannya kepadamu : Uruskan Syeikh Rodhiy baik-baik”.

Aku tersenyum nipis sambil mengucap صلى الله عليه وسلم. Sekarang aku merasakan lelaki tua ini bagai seorang perajurit yang sedang cuba menerobos kota pertahananku. Aku sentak lagi dia dengan soalan: “Tapi adakah Rasul Mulia memberitahu bahawa saya akan menjalankan pembedahan keatas pakcik esok?!!". 

Dia merenung panjang kepadaku bagai mengetahui adanya keraguan dalam hatiku terhadap apa yang disampaikan tadi. “Jujur itu, Baginda turut memberitahu pakcik petanda benarnya apa yang pakcik cakap tadi. Kata Baginda semalam saat ditemani isteri di balkoni tuan doktor telah berdoa kepada ALLAH minta direzekikan anak sepertimana ALLAH merezekikan Saiyidina Yahya kepada Saiyidina Zakaria عليهما السلام, secara tak sengaja tangan doktor tersinggung cawan teh panas diatas bibir serambi lalu cawan pun melayang jatuh ke jalan setelah air teh panas itu membuat tanganmu melecur”. 

Dua biji mataku terbelalak… jari-jemariku kejang… air liurku jadi kering.. sekarang tiada ruang lagi untuk syak dan ragu. Wajahku jelas terperanjat, aku tersentak, aku meraba-raba tanganku sendiri yang terasa hangat… jiwa ragaku sekarang rebah dihadapan seorang lelaki tua yang sederhana. 
 
Aku graduan Cambridge dan fellowship di Royal Collage of Surgeons yang tak menerima cara berfikir seperti ini! Tapi sekarang aku merasakan bahawa diriku sedang menyerah dihadapan pak tua ini dan entah bagaimana nilai-nilai ketimuran yang terpendam dalam jiwaku tiba-tiba bangkit. Dengan linangan air mata aku tunduk mencium tangan beliau sambil diperhatikan oleh para penumpang lain yang kehairan-hairanan.   

Dia mengusap-ngusap kepalaku kemudian berkata: “Pakcik membawa berita gembira dari Al-Habibul Karim عليه الصلاة والسلام khas buatmu.. sesungguhnya ALLAH telah mendengar doamu dan ALLAH akan mengurniakanmu kembar Yahya dan Muhammad”.

Aku genggam telefon bimbit dan menghubungi temanku ketua pengarah hospital wilayah Asyuth untuk menempah kamar pembedahan atas nama Syeikh Rodhiy kerana akulah yang akan menjalankan pembedahan keatasnya dan aku sendiri yang akan menanggung semua kosnya. 

Kami turun di stesyen keretapi sambil sebuah kereta sedang menungguku. Aku memutuskan pergi ke hospital terlebih dahulu bagi membuat tempahan untuk Syeikh Rodhiy dan mempersiapkan operasi pembedahan untuknya. Selepas seminar telefon bimbit aku matikan, aku masuk ke kamar operasi dan pembedahan pun berakhir dengan jayanya. 

Biasanya aku akan menyerahkan urusan pemantauan dan susulan keatas pesakit kepada pasukan perubatan yang turut serta, namun kali ini aku sendiri yang berkeras untuk menjalankan pemantauan dan susulan dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara sebagai menunaikan pesanan dari junjungan mulia.. hinggalah temanku datang memberitahu bahawa isteriku telah cuba menghubungiku berpuluh-puluh kali dan telefon bimbitku power off.

Cepat-cepat aku menalifonnya, isteriku menangis teresak-esak, dia hampir saja pengsan kerana terlalu risaukan aku. Aku pun minta maaf dan dia berteriak bagai seorang kanak-kanak yang comel : “Suamiku sayang Abd. Rahman! Saya hamil!!!”. Kata isteriku dia telah dinasihati oleh doktor pakar sakit puan yang memantau perkembangannya untuk menjalankan pemeriksaan kehamilan kerana saat berjumpa dengannya isteriku merasa sakit yang amat sangat di lambungnya… Alhamdulillah rupa-rupanya isteriku hamil. 

Aku tersenyum dan terbayang wajah Syeikh Rodhiy di ruang mataku. Aku pun mengujar kepada isteriku: “Abang dah tahu dan bukan itu saja, bahkan awak mengandung anak kembar!”

Isteriku dapat merasai bahawa aku berbual dengan penuh yakin kepadanya, dia benar-benar tahu kalau aku serius atau tidak. Dia menjerit: “Abang ni tak sihat ke?!”

Aku teruskan saja bicara seolah-olah tak mendengar pertanyaan isteriku: “Awak bakal melahirkan Yahya dan Muhammad”, dia pun ketawa sambil meningkah: “Apa?! Kembar?! 

Lah, saya ni kena penyakit sopak ke tuan doktor?!

Ya Syeikh Abd. Rahman! Janganlah teruja sangat, saya ni kan baru saja hamil…”
 
Dan isteriku pun melahirkan anak kembar. Sejak hari itu dia memandang aku dengan penuh kagum dan sanjungan bagai murid tareqat memandang syeikhnya. Isteriku selalu berkata: “Awak ni orang kasyaf Syeikh Abd. Rahman, pandangan awak menembus hijab!”.
 
Aku hanya tertawa dalam hati kerana tak pernah memberitahunya apa-apa sebab sudah dipesan oleh Syeikh Rodhiy untuk menyimpan rahsia. Sekarang inilah dia dua orang putera kembarku Muhammad dan Yahya yang sudah berusia lima tahun sedang mengharu-birukan kelilingku manakala aku pula tak boleh nak melarang  kerana kalau aku melarang aku pulak nanti yang bakal dimarahi oleh ibu mereka.  

Yang dapat ku ungkapkan ialah ini adalah madad Saiyidina RasulALLAH yang terus mengalir di seluruh buana.. mengalir tak putus-putus hingga ke hari Kiamat… ALLAHumma ENGKAU kurnialah selawat, salam dan keberkatan keatas  Saiyidina Muhammad yang dengan Baginda lerailah segala kekusutan, hilang segala bencana, tertunai segala hajat, tercapai segala harapan, baik segala kesudahan dan dengan wajah Baginda yang mulia awan pun mencurahkan hujan, beserta ahli keluarga dan para sahabatnya, pada tiap kerdipan mata dan turun naik nafas, dengan sebanyak bilangan pengetahuanMU. 


Dr. Abd. Rahman Al-Kailani.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah