Salam Jumaat buat para dermawan sekalian. Semoga sentiasa berada dalam keberkatan Allah juga diberikan kesihatan yang baik oleh Ya Salam.
Pada hari jumaat yang barakah ini suka saya kongsikan beberapa amalan yang sangat digalakkan untuk kita beramal dengannya. Terdapat 4 amalan yang sangat istimewa di hari jumaat yang mulia ini.
1. Berselawat keatas Nabi Muhammad SAW.
Selawat yang kita bacakan ini akan dibentangkan dihadapan Nabi Muhammad SAW setiap hari jumaat.
Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada setiap hari jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku. Maka dia akan berada paling hampir dengan ku (di dalam syurga).” (Riwayat Al-Baihaqi)
Jadi, perbanyakkanlah berselawat keatas Nabi Muhammad SAW sepanjang hari ini dimana pun kita berada. Mudah-mudahan kita terpilih untuk bersama dengan baginda di dalam syurga.
2. Membaca surah Al-Kahfi.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249)
Surah al-kahfi mengandungi 110 ayat. Jika kita tidak mampu membacanya sekali gus, kita boleh membahagikan bacaan muka muka surat surah tersebut mengikut 5 waktu solat. Mulakan bacaan surah al-kahfi pada malam jumaat iaitu selepas selesai solat maghrib dan berakhir setelah selesai solat asar. insyaAllah ia tidak akan menjadi bebanan buat kita.
3. Doa
Terdapat satu tempoh waktu yang sangat istimewa pada hari jumaat, barangsiapa berdoa pada waktu tersebut tidak akan ditolak doanya itu.
Hal ini telah disebut dalam satu hadis yang bermaksud: ”Rasulullah SAW bersabda: Pada hari jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan perkenankan permintaannya itu.” (Riwayat Al-Bukhari)
Waktu mustajab doa adalah pada hari jumaat, namun begitu para ulama berbeza pendapat mengenai bilakah tempoh waktu tersebut. Sebahagian ulama cenderung bahawa waktu mustajab doa adalah selepas solat asar sehingga terbenam matahari. Ini kerana terdapat banyak dalil menjerumus kearah waktu tersebut.
Oleh itu, peruntukanlah satu waktu khas untuk beribadah dan berdoa memohon hajat daripada Allah SWT. InsyaAllah doa kita tidak akan ditolak.
4. Bersedekah
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa sedekah adalah amalan yang sangat mulia disisi Allah. Malah terdapat banyak fadhilat bersedekah, antara nya ialah membuka pintu rezeki, terhalang daripada musibah, memanjangkan umur dan banyak lagi.
Namun begitu, terdapat satu waktu yang digalakkan untuk kita bersedekah iaitu sedekah pada hari jumaat di diwaktu subuh. Bersedekah pada waktu subuh amatlah digalakkan apatah lagi setelah selesai menunaikan solat berjemaah.
Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. (Surah Fatir, ayat 29)
Pengajaran yang boleh diambil dari ayat diatas ialah,salah satu cara Allah memurahkan rezeki seseorang ialah dengan cara menjaga sedekah setiap solatnya apatah lagi disubuh hari.
Kenapa waktu subuh? Ini kerana setelah waktu subuh dua malaikat akan turun untuk mendoakan kita.
Dari Abu Hurairah RA sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak ada satu subuh pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hari jumaat adalah hari yang mulia, maka muliakanlah hari ini dengan amal amal ketaatan. Jika kita tidak mampu beramal dengan semua amalan ini jangan lah ditinggal semua. Pilih lah amalan yang mampu untuk diamalkan dan istiqamah lah dengan amalan tersebut. Bukan kah Allah suka pada amalan yang istiqamah?
No comments:
Post a Comment