Orang-orang Tuhan dan kekasih-Nya penuh dengan penderitaan dan kesengsaraan.
Tersingkir dan terbuang dari tanah airnya, dikeluarkan daripada kampung halaman, dizalimi oleh penguasa-penguasa di zamannya, lumrah sahaja kepada mereka.
Miskin dan papa pula, pengikut-pengikutnya peringkat awalnya adalah golongan bawahan yang dhaif-dhaif dan tidak ada kuasa.
Berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat, membawa kebenaran, melarikan iman, kalau-kalau ada orang yang boleh menerimanya di dalam perantauan.
Namun mengaku kalah dan putus asa tidak ada di dalam kamus hidup mereka.
Setelah berjuang beberapa lama, sesudah menerima ujian demi ujian, bersama pengikutnya yang setia, baru diberi kemenangan.
Setelah menderita beberapa lama, barulah Allah Taala kembalikan ke tanah airnya yang tercinta membawa kemenangan yang cemerlang.
Kebenaran itu amat terserlah di dalam kehidupan mereka.
Mencintai Tuhan, berkasih sayang sesama manusia.
Keadilan dapat ditegakkan, hidup aman damai dan harmoni dan bahagia.
Berlainan sekali tokoh-tokoh dunia, yang menjadi pengikut-pengikut kisra-kisra dan raja-raja.
Mereka duduk di gedung-gedung besar, indah dan di istana-istana yang tersergam gagah.
Di kelilingi dengan taman-taman bunga yang indah yang mempesona manusia.
Rumah mereka dibentang dengan permaidani tebal dan mewah lagi indah.
Dengan pengawal-pengawal yang berlapis-lapis di kiri kanan menjaga dirinya yang terpaksa setia.
Mereka hidup mewah, tenggelam dengan nikmat dunia.
Memiliki intan berlian, emas dan perak dan aset-aset yang berharga.
Mereka itulah yang menimpakan kezaliman kepada orang-orang yang membawa kebenaran dan kekasih Tuhan dengan berbagai-bagai tuduhan dan alasan.
Yang menjadi ancaman kepada perjuangan kebenaran di setiap zaman.
Kita sekarang bolehlah membuat pilihan dari sekarang.
Mahu menerima sunnah para-para kekasih Tuhan atau menerima sunnah kisra dan raja-raja?!
Mahu hidup mewah, senang sementara di dunia atau mahu hidup senang di Syurga berlama-lama?!
Tanyalah hati sendiri, berfikirlah sebelum mati, mahu pilih hidup yang macam mana?!
Tepuk dada tanyalah selera.
Tanyalah hati sebelum terlewat lagi.
Tapi ingat, pilihan itu jangan sampai merugikan kita.
Jangan sampai menempah Neraka yang amat malang lagi celaka.
No comments:
Post a Comment