Hati Yang Bersih



Sikap seorang yang bersih hatinya, senang sahaja dengan manusia di dalam pergaulannya.
Hatinya dengan Tuhan, jasadnya dengan manusia.
Boleh bergaul di dalam apa sahaja keadaan, hatinya terpelihara.
Dia tidak dapat dicorak oleh masyarakatnya.
Sentiasa berlapang dada, sering bertolak ansur sesama manusia.
Dengan kerenah manusia dia berlapang dada menerimanya.
Kesalahan dan kesilapan manusia dia mudah memaafkannya.
Kalau dia bersalah, mudah pula meminta maaf kepada mereka.
Bertimbang rasa, rasa bersama bekerjasama sesama manusia selagi tidak ada pantang-larang agama.
Sanggup bersusah payah kerana orang yang memerlukan tenaga dan bantuannya.
Boleh menanggung penderitaan, tidak menyusahkan orang.
Hatinya susah kerana kesusahan orang, senang kerana kesenangan orang.
Kelebihan orang dia tidak hasad dengki.
Kemiskinan orang atau kelemahannya tidak pula menghinanya.
Suka menolong orang, mudah menerima keuzuran manusia.
Suka menunaikan hajat orang, selagi mampu mengusahakannya.
Susah hatinya kalau hajat orang tidak dapat ditunaikannya.
Dia gelisah dengan dunia, berdisiplin orangnya.
Hatinya tenang dengan dunia, rasa bimbang dengan Akhiratnya.
Baik sangka dengan orang atau manusia.
Kalau dia nampak orang ada cacat celanya, dia takwil untuk membaiki hatinya.
Hatinya berkata, "Dia bersalah di dalam kejahilan, aku bersalah di dalam pengetahuan.
Mungkin dia tidak sengaja atau dia terlupa."
Setiap takdir Tuhan dia redha.
Ujian, sabar menerimanya.
Mendapat rahmat dan nikmat, dia malu dengan Tuhannya.
Syukurnya sangat ketara kerana rahmat dan nikmat Tuhannya.
Tawadhuknya jadi budaya hidupnya, sangat ketara di dalam pergaulannya.
Jarang ada manusia begini gambaran hidupnya.
Kalau ada, macam gagak putih di tengah gagak hitam, jarang ada.
 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah