Niat Yang Betul Adalah Roh Amal



Engkau bersembahyang tidak semestinya engkau sembahyang.
Kalau bukan sembahyang, ertinya bukanlah ibadah namanya.
Lahir adalah rangka, khusyuk adalah roh atau jiwanya.
Tidak khusyuk ibadah, ibadah bangkai namanya.
Kalau ibadah bangkai, apakah Tuhan terima?
Engkau bekerja apakah hendak menambah taqwa?
Atau engkau bekerja hanya semata-mata menambah gaji.
Kalau semata-mata jadi gaji, akhirnya jadi najis atau jadi barang yang buruk sahaja.
Sifat taqwa itu adalah di atas kerja dan usaha.
Untung dunia ia terjadi dengan sendirinya.
Selama mana kita bekerja dan berusaha, memang ada hasilnya.
Kalau ia dibagi roh atau jiwa, alangkah baiknya.
Ia menghasilkan sifat taqwa.
Itulah bekalan ke Akhirat sana.
Untung di dunia memang terjadi dengan sendiri di atas kerja dan usaha.
Rohnya itu adalah kerana keredhaan Allah.
Jiwanya itu adalah kerana niat berkhidmat kepada manusia.
Kerana memudahkan manusia, membantu manusia di dalam kehidupannya.
Menolong memudahkan kehidupan mereka.
Dengan adanya usaha-usaha dan kerja-kerja kita itu, kalau niatnya betul, dapat pahala, itulah taqwa namanya.
Apakah kita berusaha dan bekerja ada niat kerana Allah dan untuk berkhidmat kepada hamba-hamba-Nya?
Apakah kita berusaha dan bekerja semata-mata kerana hendak hidup semata-mata?
Di sana ada gaji atau upah, atau ada hasil yang kita perolehi?
Hasil dari usaha tidak payah diniatkan, ia biasanya terjadi dengan sendiri.
Tapi apakah di dalam usaha itu ada niat yang murni seperti yang diceritakan tadi?
Niat yang murni itulah yang dikatakan di antara sifat taqwa.
Alangkah untungnya kalau kita bekerja dan berusaha mendapat dua pahala.
Pahala dunia itulah hasil usaha yang kita rasa di dunia lagi.
Pahala Akhirat kerana pada usaha dan kerja itu kita ada niat kerana Allah  dan berkhidmat kepada manusia.
Niat yang betul itulah roh amal, roh usaha, roh kerja, roh ibadah.
Itulah dia sifat taqwa untuk bekalan ke Akhirat sana. 

 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah