*M486*
Ikhlas darjat yang paling tinggi, ia adalah penentu apakah amalan diterima atau sebaliknya, ia adalah rahsia Allah, malaikat pun tidak mengetahui, yang punya diri pun tidak tahu.
Kalau seseorang memberi pada seseorang dengan tujuan waktu susah nanti dia dibantu oleh orang itu, batallah amalannya.
Kalau orang itu tidak mengucapkan terima kasih, hatinya berkata, 'Tidak patut', hilang ikhlasnya.
Kalau dia memberi dengan mengatakan, "Ambillah, saya ikhlas ni," batal pula ikhlasnya, di suatu masa orang yang pernah dibantu memusuhinya, hati kecilnya berkata, "Eh, orang ini tidak mengenang budi," keihklasannya ditarik semula.
Allah! Susahnya amalan diterima, periksalah hati selalu.
*M487*
Satu perkara itu kalau dibuat secara rasmi-rasmi atau sangat diprogramkan, atau diupacarakan, payah hendak ikhlas, iaitu payah hendak terhindar daripada riyak, ujub, gila nama, ingin glamour dan tujuan dunia.
*M488*
Janganlah berusaha sahaja tanpa tawakal, begitulah juga jangan tawakal saja tanpa usaha.
Orang yang berusaha tanpa tawakal ialah orang yang bertuhankan diri secara tidak sedar.
Orang yang bertawakal tanpa usaha ialah orang yang ingin kepada Tuhan tapi tidak ada jalan.
*M489*
Batin manusia (hati manusia) lebih banyak derhaka kepada Allah daripada zahirnya tapi kebanyakan manusia tidak sedar.
*M490*
Kebanyakan manusia bila mendapat kesenangan lupa daratan, sombong, bakhil, menghina, menunjuk-nunjuk.
Apabila mendapat kesusahan, menderita, mengeluh sepanjang masa, adakalanya meminta-minta, selalu marah-marah saja.
Jadi, senang pun derhaka, susah pun derhaka. Bilakah hendak menjadi orang yang taat setia kepada Tuhan?!
No comments:
Post a Comment