*M476*
Merintihlah dengan dosa, janganlah merintih dengan harta, menangislah dengan dosa, jangan menangis dengan orang menghina, sedihlah dengan dosa, jangan sedih dengan orang kata.
*M477*
Di dalam berjuang hendaklah kita lebih takut dengan dosa kita lebih daripada takutkan musuh kerana dengan dosa itu Allah murka. Apabila Allah murka kita dibiarkan oleh Allah kepada musuh, di waktu itu kita akan berhadapan dengan dua kerugian, pertama kemurkaan Allah, kedua kekalahan dan kehinaan.
*M478*
Islam memberitahu kita bahawa di antara dosa yang Allah cepatkan pembalasan di dunia lagi ialah dosa menzalim manusia, tapi banyak manusia tidak terasa atau tidak sedar kerana beberapa sebab/faktor:
Pertama:
Kerana Allah lambatkan pembalasannya di dunia. Jadi bila berlaku, yang punya diri atau orang lain tidak terfikir disebabkan perbuatan zalimnya yang sudah lama yang pernah dilakukannya.
Kedua:
Kerana bentuk pembalasan Allah itu tidak sama seperti apa yang ditimpakan kepada orang yang kena zalim itu, umpamanya seseorang menzalim seseorang dengan cara memukulnya atau memfitnahnya atau memenjarakannya, tidak semestinya Allah balas kepada orang yang zalim itu seperti yang berlaku kepada yang kena zalim, tidak mesti dia kena pukul atau kena fitnah atau kena penjara, mungkin dilakukan bentuk lain seperti hartanya dirampas orang atau dilanggar kereta atau rumahnya terbakar atau terlucut jawatannya atau krisis rumah tangga atau pimpinannya banyak masalah atau dapat malu dan berbagai-bagai lagi.
*M479*
Senang dan tenang tidak sama. Senang, orang yang mempunyai banyak kemudahan hidup.
Tenang, orang yang hatinya bahagia. Kalau terpaksa pilih salah satu, pilihlah tenang daripada senang, yang paling baik dapat menguasai kesenangan dan ketenangan, iaitu kedua-dua sekali.
*M480*
Melahirkan orang pandai saja mudah, tapi melahirkan orang pandai yang juga merendah diri payah, melahirkan para pemimpin mudah, melahirkan para pemimpin yang adil, jujur, merendah diri yang payah, melahirkan orang kaya mudah, tapi melahirkan orang kaya yang pemurah dan tawadhuk payah.
No comments:
Post a Comment