Fahamilah Maksud Perbuatan Tuhan


Orang yang tidak kenal Tuhan, orang yang tidak faham kerja-kerja Tuhan.
Dia tidak akan faham maksud Tuhan menjadikan sesuatu.
Maksud Tuhan itu difaham mengikut yang dia faham.
Akhirnya dia tidak mampu menanggung apa yang dilakukan oleh Tuhan pada dirinya.
Kalau Tuhan beri dia kuasa, Tuhan hendak melihatkan kuasa-Nya pada diri orang itu.
Tapi orang itu merasa berkuasa dan berbangga dengan kuasa yang ada.
Dia pun takbur dan sombong dan menyalahguna kuasanya.
Jika dia diberi kekayaan, Tuhan hendak melihatkan kekayaan-Nya pada diri orang itu.
Tapi orang itu, dialah yang merasa kaya, dia pun megah dan sombong.
Dia pun menghina orang yang papa kedana.
Apabila Tuhan memberi ilmu, Tuhan hendak memberitahu ilmu pada orang itu Ilmu Tuhan yang diberi kepadanya.
Orang itu menganggap dialah yang punya ilmu, dia mahu dihormat dan dipuji.
Dia rasa, dialah orang alim yang patut dimuliakan.
Padahal Tuhan hendak melihatkan ilmu-Nya pada orang itu.
Jika seseorang itu suaranya sedap atau rupa parasnya cantik,
Tuhan memberitahu itu adalah anugerah Tuhan padanya.
Tuhan pinjamkan kepadanya.
Tapi orang itu merasa megah pula dengan suara dan rupanya.
Ingin dipuji dan disanjung selalu.
Kalau Tuhan uji seseorang dengan kesusahan dan penderitaan.
Tuhan hendak memberitahu, Dia mampu bertindak apa sahaja kalau Dia mahu.
Dia mahu orang itu sedar dan insaf agar kembali kepada-Nya.
Tapi orang itu pula dia tidak senang, gelisah, kecewa dan putus asa.
Begitulah orang yang tidak kenal dan tidak faham perbuatan Tuhan.
Orang itu tidak akan rasa tenang jiwanya.
Jiwanya tidak senang dan kecewa selalu, mungkin putus asa.
Hormat orang tidak kekal, sanjungan orang tidak selalu.
Pujian orang tidak mesti sampai ke hujung.
Kemegahan dan kekuasaan tidak selama-lamanya.
Apabila segala-galanya sudah tidak wujud, lagi kecewa, menderita, putus asa.
Oleh itu kenalilah Tuhan, fahamilah maksud perbuatan Tuhan.
Bukan maksud seperti yang kita fahami.
 

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah