*M456*
Pemimpin politik selalunya hanya dapat menawan fizikal manusia, pemimpin kerohanian biasanya dapat menawan hati manusia. Oleh kerana itulah pemimpin politik dengan pemimpin kerohanian selalu saja berlaku pertembungan di dalam satu masa. Bila pemimpin politik itu kalah, dia selalu saja menggunakan kuasanya, dia kalah di dalam kemenangan.
*M457*
Kemampuan kuasa tidak boleh menawan hati, tapi kemampuan hati boleh menawan hati dan kuasa tanpa kuasa.
*M458*
Kalau seseorang itu terlalu banyak hiburannya, menunjukkan hiburannya di luar hatinya, bukan di dalam hatinya. Hiburan yang sejati ialah hiburan yang di dalam hati, hiburan yang di dalam hati ialah mencintai Allah.
*M459*
Kalau hati hendak senang dan tenang, ingatlah Allah banyak-banyak, lebih-lebih lagi mencintai-Nya. Kalau hendak mata senang dan tenang, cintai dan lihatlah selalu kehijauan dunia ini.
*M460*
Mata apabila buta, tidak dapat melihat yang bersifat fizikal dan material. Apabila hati buta, tidak dapat melihat yang bersifat maknawiah dan rohaniah.
No comments:
Post a Comment