*M591*
Pengaruh dunia dan mata bendanya ke atas manusia lebih besar lagi daripada pengaruh akhirat dan nikmatnya ke atas manusia.
*M592*
Apabila manusia miskin harta, miskin iman pula, ertinya orang yang malang di dunia dan malang di akhirat.
*M593*
Sebelum beribadah istighfarlah dulu, agar menghadap Allah di dalam keadaan diri yang bersih.
Waktu beribadah, hayatilah ibadah itu supaya memberi kesan pada jiwa.
Sesudah beribadah istighfar lagi, ditakuti waktu ibadah tadi kita tidak beradab dengan Tuhan kita.
Selepas itu sujud syukurlah kerana boleh menyembah-Nya, kerana mengizinkan kita menyembah-Nya.
*M594*
Memberi hadiah kepada orang yang kita hormati, sebaik-baiknya bukan kerana besarnya atau kerana banyaknya tapi kerana nilainya sekalipun kecil.
Begitulah ibadah yang hendak kita persembahkan kepada Tuhan itu, biarlah sedikit tapi bernilai atau berkualiti, daripada banyak tapi tidak bernilai.
*M595*
Allah tidak memandang ibadah yang banyak tapi Allah memandang ibadah yang bernilai sekalipun sedikit.
No comments:
Post a Comment