*M541*
Kalau seseorang itu tidak membuat persiapan untuk selepas mati, dia tidak dianggap cerdik, hanya sekadar pandai sahaja.
*M542*
Kalau kita orang yang berkuasa, ingatkan kuasa Allah, agar kita adil dan tidak menyalahgunakan kuasa.
Kalau kita hakim atau kadhi, ingatlah di akhirat nanti ahkamul hakimin yang akan mengadili semua manusia termasuklah para hakim di dunia agar kita adil dengan saksama.
Kalau kita orang kaya, ingatlah Allah yang Maha Kayalah yang mengurniakan kekayaan itu, Dia akan tanya daripada mana dapat, bagaimana menggunakan dan kepada apa digunakan, agar kita mengelakkan daripada harta yang haram dan kita akan gunakan harta itu kepada yang diredhai-Nya.
Kalau kita orang yang alim, hendaklah kita ingat bahawa kita adalah pewaris Nabi, wajib menyampaikan kepada manusia, di samping menjadi contoh kepada manusia, agar kita tidak menyorokkan ilmu dan kita akan memberikan nasihat kepada manusia serta menjadi suri teladan kepada hamba-hamba Allah di dunia.
*M543*
Allah adalah Maha Besar, tiada yang lebih besar daripada Allah, justeru itu Dia patut dibesarkan dan patut disembah. Kalau ada orang yang lebih membesarkan pangkatnya, kekayaannya, perempuan-perempuan cantik hingga lupa membesarkan Tuhan atau dengan Tuhan acuh tak acuh, apa yang dibesarkan itu, itulah Tuhannya. Lantaran itulah Allah berfirman yang bermaksud: "Tidakkah kamu melihat ada orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan."
*M544*
Percayakan Allah yang Maha Àdil dan Maha Rahmat, serta percayakan akhirat dan pembalasan-Nya, menjadikan orang Islam tenang dan senang serta mengelakkan daripada kecewa dan putus asa. Contohnya kalau dia dizalimi, di akhirat akan diadili dengan adilnya, senang hatinya, ada lagi mahkamah yang akan membelanya.
Kalau dia susah dan menderita di dunia, dia tahu dosanya akan diampunkan atau ditinggikan darjatnya, lalu terhibur hatinya.
Kalau permintaannya kepada Allah tidak tertunai, di dunia hatinya tidak resah dan gelisah, kerana dia tahu Allah hendak simpankan di akhirat kelak.
*M545*
Jika rasa bertuhan tidak wujud pada seseorang, tidak mungkin dia boleh menjadi orang baik, seperti jujur, amanah, pemurah, tawadhuk, sabar, redha, pemaaf, meminta maaf, tawakal, bertolak ansur. Kalaupun dia nampaknya tidak jahat kerana keadaan tidak memberi peluang padanya membuat jahat, bukan kerana dia takutkan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment