Mujahadah itu adalah satu kerja yang besar dan mencabar.
Mujahadah adalah satu penyeksaan dan menyusahkan.
Mujahadah itu pahit tetapi di hujungnya manis.
Orang yang mampu bermujahadah itu secara istiqamah hanya orang yang berjiwa besar.
Mujahadah itu berperang di antara kehendak nafsu dan kehendak Tuhan.
Yang menerima risikonya adalah jasad atau badan.
Adakalanya ia sangat menjemu dan membosankan.
Kalau jiwa tidak kuat, ia hanya berlaku sekerat jalan.
Mujahadah, bertarung di antara kehendak Tuhan dengan kehendak nafsu dan syaitan.
Kata Tuhan, buat. Kata nafsu, jangan.
Kalau takutkan Tuhan tidak kuat, kata nafsulah akan diikutkan.
Adakalanya kata nafsu buat, kata Tuhan jangan.
Kalau tidak kuat takutkan Tuhan, kita akan buat arahan nafsu dan tidak larat hendak ikut Tuhan.
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan selalu sahaja berlawanan.
Sentiasa sahaja dua kehendak itu macam tarik tali, masing-masing hendak menang.
Adakalanya kehendak Tuhan menang, adakalanya kehendak nafsu yang menang.
Kalah menang, kalah menang, selalu sahaja berlaku di dalam perlawanan.
Secara umumnya kehendak nafsulah selalunya yang berjaya dan menang.
Aduh! Oleh kerana dua kehendak, badan terseksa dan menyakitkan.
Jika takutkan Tuhan dari masa ke semasa dapat diganda-gandakan, Tuhanlah yang berjaya dan menang.
Takutkan Tuhan itulah pemangkin satu tenaga yang nafsu akan dapat dikalahkan.
Apabila kemahuan kita hendakkan Tuhan semakin kuat, nafsu sering dikalahkan.
Selain selalu meminta pertolongan Tuhan mengalahkan nafsu, insya-Allah Tuhan akan memberi kekuatan.
Jika kita semakin serius hendak ikut Tuhan, bukan nafsu dan syaitan, rahmat Tuhan pun datang.
Selepas itu mujahadah semakin diringankan atau dimudahkan Tuhan.
Mujahadah yang bersungguh-sungguh itulah, jalan-jalan kebaikan di depannya semakin diperlihatkan oleh Tuhan.
Di waktu itu orang itu kebaikannya yang dibuat semakin banyak dan global, berterusan.
Itulah dia rahmat Tuhan bagi orang yang bermujahadah sungguh-sungguh dan berterusan kerana keredhaan Tuhan.
Tuhan pun ada memberi ingatan di dalam Al Quran:
“Mereka yang bersungguh-sungguh kerana Tuhan, Tuhan pun akan tunjukkan jalan-jalan kebaikan.”
Tuhan sesungguhnya bersama orang-orang yang membuat kebaikan.
Begitulah cerita mujahadah.
Peringkat awal memang amat payah dan menjemukan.
Kalau tidak sungguh-sungguh dan tidak meminta bantuan Tuhan, mujahadah separuh jalan.
Bermujahadah itu memang menyusahkan dan menjemukan.
Bermujahadah sampai dapat memakan buah, sungguh jauh perjalanannya.
Siapa yang sanggup bersungguh-sungguh menempuh jalan, di hujung nanti datang rahmat Tuhan.
Hendak sampai kepada rahmat Tuhan itu sungguh sulit dan melalui penderitaan.
Jarang orang boleh bermujahadah sampai ke hujung.
Biasanya ramai yang sekerat jalan kerana banyak sangat gangguan.
Kecuali orang yang dibantu oleh Tuhan.