Sampailah
satu hari ketika Rasulullah Saw ditempat tidurnya sedang berselimut, datang
Saidina Jibril menyerunya. Wahai orang yang berselimut (Wahai Rasulullah)
Bangunlah dan beri peringatan.
Lihat, sekarang ini perintah memberi peringatan iaitu perintah menyampaikan.
Wahai
orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah memberi peringatan. Tuhanmu
besarkanlah. Dan Pakaianmu bersihkanlah. Dan berhala (kejahatan) tinggalkanlah.
Janganlah engkau memberikan untuk mendapat pulangan yang lebih banyak. Dan
untuk menurut perintah Tuhanmu sabarlah. (Al Mudassir 1-7)
Selepas
itu wahyu datang berterusan. Kemudian Saidina Jibril datang lagi dengan perintah membangunkan
ibadah.
Wahai
orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah diwaktu malam melainkan sedikit waktu malam saja. Iaitu separuh malam
atau kurangkanlah sedikit dari itu. Atau tambahkan dari itu dan bacalah Al
Quran dengan bacaan yang teliti. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu
perkataan yang berat (Al Quran). Sesungguhnya beribadah di malam hari lebih
menusuk ke dalam hati dan lebih lurus bacaannya. Sesungguhnya engkau mempunyai
tugas dan urusan yag banyak di siang hari.
(Al
Muzammil 1-7)
Kemudian Jibril datang lagi membawa Surah Waddhuha.
Demi
waktu Dhuha. Demi malam apabila ia berlabuh. Tuhanmu tidak meninggalkan engkau
wahai Muhammad dan tidak pula membencimu. Sesungguhnya Akhirat lebih baik
bagimu dari dunia. Nanti Tuhanmu akan mengurniakan kepadamu sehingga engkau
redha. Bukankah Dia mendapatimu seorang anak yatim lalu dilindunginya. Dan dia
telah mendapati kamu dalam keadaan sesat (belum mendapat pertunjuk) lalu
ditunjukinya. Dan Dia telah mendapati kamu miskin lalu dikayakannya. Maka,
anak-anak yatim janganlah kamu paksa. Dan orang-orang yang meminta janganlah
kamu herdik. Adapun dengan nikmat Tuhanmu hendaklah kamu beritakan.
Tidak
datangnya wahyu dalam tempoh 6 bulan itu bukan bermaksud Allah membiarkan
Rasulullah Saw tapi hikmahnya besar sebagai tempoh persediaan. Maka selepas itu
ayat demi ayat telah turun.
Bilamana
Rasulullah Saw diperintah menyampaikan, orang pertama Rasulullah Saw sampaikan
ialah isterinya Siti Khadijah. Siti Khadijah tidak teragak-agak sikit pun,
terus dia terima Islam. Dengan itu Siti Khadijah adalah orang pertama memeluk
Islam. Selepas itu Zaid bin Harithah masuk Islam. Zaid ini tinggal di rumah
Rasulullah Saw. Bahkan dia dinamakan Zaid bin Muhammad. Zaid ini asal ceritanya
begini. Dia bukanlah dari keturunan hamba. Oleh kerana Kabilahnya diserang dan
dia ditawan Ketika itu dia masih kecil lagi. Kemudian dia dijual sebagai hamba
dan berpindah dari satu tangan ke satu tangan sampailah pada Siti Khadijah.
Bila Siti Khadijah berkahwin dengan Rasulullah Saw, Siti Khadijah
menghadiahkannya kepada Rasulullah Saw. Jadilah Zaid khadam Rasulullah Saw.
Ayahnya
selepas perang mencari anaknya dari satu tempat ke satu tempat. Akhirnya dia
dapat tahu anaknya ada di Mekah. Ringkasnya, ayahnya datang berjumpa Rasulullah
Saw untuk menebus anaknya. Rasulullah Saw tak mahu terima tebusan itu
sebaliknya Rasulullah Saw memberi pilihan kepada Zaid sendiri apakah dia nak
pulang bersama ayahnya atau nak terus bersama Rasulullah Saw. Kalau Zaid mahu
pulang bersama ayahnya Rasulullah akan melepaskannya tanpa sebarang tebusan.
Kata Zaid; Demi Allah aku tidak akan mendapati orang yang memberi kasih sayang
kepadaku lebih dari Rasulullah Saw walaupun ibu dan ayahku sendiri. Semua
terkejut, ayahnya terkejut dan Rasulullah Saw juga terkejut. Jadi untuk
memuliakan Zaid dan ayahnya, Rasulullah Saw mengiklankan Zaid dimerdekakan dan
menjadi anak angkat Rasulullah Saw lalu dia dinamakan Zaid bin Muhammad.
Sehinggalah turun ayat melarang membinkan anak angkat kepada ayah angkatnya.
Rasulullah Saw menukar kembali nama Zaid kepada nama asalnya iaitu Zaid bin
Harithah.
Bila
Rasulullah ajukan Islam kepada Saidina Zaid, dia terus terima. Begitulah orang
pilihan. Allah pilih dia untuk dia bersama dengan Rasulullah Saw. Orang ketiga
menerima Islam di rumah Rasulullah Saw Saidina Ali RA. Saidina Ali memang
tinggal di rumah Rasulullah Saw. Bagaimana Saidina Ali boleh tinggal di rumah
Rasulullah Saw? Sejarahnya begini. Satu masa Abu Talib menghadapi kesempitan.
Rasululah yang sangat menyayangi bapa saudaranya ini berbincang dengan Saidina
Hamzah yang juga bapa saudaranya dan ahli keluarga terdekat yang lain. Mereka
berpakat setiap seorang mengambil seorang dari anak anak Abu Talib untuk mereka
pelihara. Semua ini cadangan dari Rasulullah Saw. Abu Talib juga bersetuju
namun Abu Talib tetap mempertahankan anak sulungnya Uqail. Yang lain-lain
semuanya diambil oleh saudara-saudaranya. Ketika itu Rasulullah Saw mengambil
Saidina Ali. Ini juga pemilihan dan kemuliaan dari Allah untuk Saidina Ali.
Jadi dari kecil Saidina Ali hidup di rumah Rasulullah Saw. Dengan itu Saidina
Ali tidak pernah sujud kepada berhala. Sebab itu Saidina Ali ini dipanggil
Karramallahu Wajhah. Allah muliakan wajahnya dari sujud kepada berhala. Jadi
Saidina Ali telah menerima Islam. Ketika itu umurnya baru sepuluh tahun. Begitu
juga anak-anak perempuan Rasulullah Saw, Ruqayyah, Umu Kalthom, Zainab dan
Fatimah. Semua masuk Islam. Lihat bagaimana Rasulullah Saw memulakan dakwah,
bermula dari dirinya dulu kemudian isterinya dan ahli rumahnya.
Adapun
daripada luar rumah Rasulullah Saw, orang pertama Rasulullah Saw ajak kepada
Islam ialah Saidina Abu bakar. Kata Rasulullah Saw :
Tiada
seorang pun yang aku ajukan Islam kepadanya melainkan dia bertanya kepada aku
melainkan Abu Bakar.
Saidina
Abu Bakar tak tanya sikit pun, malah terus dibenarkan apa yang disampaikan oleh
Rasulullah Saw. Dia beriman dengan sahabat baiknya yang telah diangkat menjadi
Rasul. Begitulah iman Saidina Abu Bakar. Hatinya yang terlalu dekat dengan Rasulullah
Saw sejak sebelum Islam lagi. Hatinya telah dapat merasa, maka akalnya dan
lidahnya tidak bertanya lagi. Dia sangat kenal siapa Rasulullah Saw. Seorang
yang sangat benar dan tidak pernah bercakap melainkan yang benar.
Setelah
Saidina Abu Bakar Islam. Islamnya bukan saja untuk dirinya saja. Terus dia
berperanan menjadi regu Rasulullah Saw. Membantu Rasulullah Saw meyampaikan
Islam. Dengan pengaruh, kedudukan dan kepercayaan orang padanya terus dia
bergerak. Disampaikannya kepada Saidina Othman, Saidina Othman Masuk Islam.
Disampaikan kepada Saidina Zubair, Saidina Zubair masuk Islam.Ketika itu umur Saidina
Zubair bin Awam baru 16 tahun. Kemudian Saidina Abu Bakar sampaikan kepada Saidina
Saad bin Abi Waqqas, Saidina Saad masuk Islam ditangan Saidina Abu Bakar.
Saidina Saad ini bila dia masuk Islam, ibunya tak mahu bercakap dengan dia lagi
bahkan tak mahu makan dan tak mahu minum. Dia mogok supaya Saidina Saad keluar
semula dari Islam. Tapi Saidina Saad tetap dengan Imannya. Akhirnya ibunya
kembali makan dan minum. Dia tak berjaya mempengaruhi anaknya dengan cara itu.
Kemudian Saidina Abdul Rahman bin Auf pula Islam ditangan Saidina Abu Bakar,
kemudian Saidina Talhah bin Ubaidillah.
Inilah golongan As Sabiqunal Awwalin dan
regu-regu utama Rasulullah Saw. Kesemua mereka masuk Islam ditangan Saidina Abu
Bakar.
Sabda
Rasulullah Saw :
Kalaulah
ditimbang Iman Umat ini dengan Iman Abu bakar, nescaya Iman Abu bakar lebih
berat.
Begitulah
kedudukan Saidina Abu Bakar dalam Islam. Dengan Iman yang begitu Saidina Abu
Bakar mampu menyampaikan Iman itu kepada orang orang lain yang semua mereka itu
adalah orang-orang terpilih dari kabilah masing-masing.
Selepas
itu Rasulullah Saw diperintahkan untuk mengiklankan dakwahnya bukan saja kepada ahli keluarganya dan
Sahabat-Sahabatnya terdekat bahkan kepada semua manusia. Nyatakanlah dengan apa yang telah
kamu diperintahkan. Maka Rasulullah Saw pada satu pagi memanjat ke atas
Jabal Qubais. Bukit yang betul-betul bersebelahan dengan Ka’bah. Ketika ini
sebuah istana telah dibina oleh kerajaan Arab Saudi di situ. Orang yang berada
di Ka’bah dan orang di Mekah tidak dapat melihat apa yang ada dibelakang bukit
ini. Jadi bila Rasulullah Saw sudah berada diatas bukit. Rasulullah melaungkan
dengan suara yang didengari orang Mekah. Satu suara memberi amaran dalam
masyarakat Arab yang menandakan ada perkara besar. Bila orang dengar laungan
ini dan orang tahu pula laungan ini dari Muhammad Sodiqul Amin {benar lagi
dibenarkan}. Apa lagi baginda tidak pernah berbuat begitu sebelum ini. Tentu
ada perkara besar yang berlaku, jadi semua bergegas ke bawah bukit.
Jadi
Rasulullah Saw yang berada di atas bukit itu mula berdakwah kepada mereka
dengan caranya yang bijaksana. Kata Rasulullah Saw, Wahai Quraisy, kalau aku
katakan dibelakang bukit ini ada tentera yang siap untuk menyerang kamu. Apakah
kamu membenarkan aku?. Kata mereka, kami percaya sebab tidak pernah kami
ketahui engkau bercakap sesuatu yang tidak benar. Ketika itu Kata Rasulullah
Saw kepada mereka.
Sesungguhnya
aku adalah orang yang memberi peringatan kepada kamu dari azab Allah yang maha
pedih.
Rasulullah
Saw memberitahu kepada mereka bahawa dialah Rasulullah Saw yang Allah utuskan
untuk mengajak manusia kepada Tuhan yang Esa, Tuhan yang maha Agung, Tuhan yang
Maha Baik, Yang menghidupkan dan mematikan, Yang Berkuasa diatas segala sesuatu
bahkan Tuhan yang Maha Segala galanya. Ketika itu salah seorang dari bapa
saudara Rasulullah Saw, Abdul Uzza yang kemudiannya digelar Abu Lahab oleh Al
Quran. Dia bangun dan berkata:
Celaka
kamu wahai Muhammad, apakah kerana ini engkau kumpukan kami
Apakah
kerana ini kamu kumpulkan kami dan kerana ini kami tinggalkan kerja-kerja kami
dan kami datang ke sini. Dia mula mengarah-ngarahkan orang lain supaya
bersurai. Jadi orang ramai pun beredar meninggalkan Rasulullah Saw kerana yang
mengarahkan mereka bapa saudara Rasulullah Saw sendiri dan salah seorang
pemimpin Mekah. Malang semalang-malangnya kepada Abu Lahab. Dengan reaksinya
bersikap menentang dan mendustakan berita yang dibawa oleh Rasulullah itu
sedangkan itu adalah berita dari langit dari Tuhan Yang Maha Benar maka ianya
adalah satu kebenaran. Peristiwa itu telah mengabadikan nama Abu Lahab dalam
firman Allah :
Binasalah
kedua tangan Abu Lahab dan binasalah. Hartanya dan segala yang diusahakannya,
tidak dapat menolongnya. Dia akan menderita dengan api neraka yang marak
menjulang. Dan isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api. Dilehernya
sejenis tali dari tali yang dipintal. (Al
Masad)
Isteri
Abu Lahab ini selepas peristiwa itu, kerjanya ialah mengumpulkan kayu-kayu api
yang berduri. Di mana jalan Rasulullah Saw lalu, di situ diletakkan kayu-kayu
berduri itu untuk menyusahkan Rasulullah Saw malah supaya Rasulullah Saw
terkena duri itu. Nanti dia diazab dengan diletakkan dilehernya tali dari api
neraka kerana dia menyakiti Rasulullah Saw dan menghalang dakwah Rasulullah
Saw.
No comments:
Post a Comment