Salam wrt. Ini antara kisah yang menarik. Semasa tekanan dan kezaliman Kafir Quraisy terus berlaku, terjadilah satu peristiwa yang yang sangat mengembirakan Rasulullah Saw.
Itulah peristiwa Saidina Umar Al Khattab masuk Islam. Sebelumnya Saidina Umar adalah
satu dari dua orang pemimpin Kafir Quraisy yang sangat memusuhi Islam.
Peristiwa ini berlaku pada tahun ketiga setelah kenabian. walaupun Saidina Umar
seorang yang keras dan gagah perkasa tetapi dia juga seorang pemidato yang
bijaksana. Kalau dia bersemangat dalam satu perkara, dia akan kerjakan sampai
berhasil. Inilah juga ciri-ciri yang ada pada Amru bin Hisyam (Abu Jahal).
Rasulullah Saw pernah berdoa :
Ya Allah perkuatkanlah Islam dengan
salah seorang dari dua Umar, Umar Al Khattab dan Amru bin Hisyam.
Bukankah dengan adanya orang yang
berwatak begini dalam Islam yang masih lemah ketika itu akan menguatkan Islam.
Maka Allah mengabulkan Doa Rasulullah Saw kepada Saidina Umar Al Khattab.
Saidina Umar, sebelum Islam sangat keras terhadap orang-orang Islam.
Namun kali pertama dia berlembut
dengan orang Islam ialah terhadap Umu Abdullah. Ketika para Sahabat mula
berhijrah ke Habsyah Umu Abdullah berpakat dengan anaknya untuk sama-sama
berhijrah ke Habsyah. Mereka berjanji akan bertemu di balakang bukit di waktu tengah
malam sekira-kira tidak ada orang melihat mereka. Senyap-senyap Umu Abdullah
keluar dari rumahnya menuju ke belakang bukit. Sementara anaknya sudahpun
menunggu disana. Tiba-tiba Umu Abdullah terserempak dengan Saidina Umar.
Saidina Umar terus bertanya, kemana kamu nak pergi wahai Umu Abdullah? Memang
ketika itu Kafir Quraisy tidak membenarkan sama sekali orang-orang Islam keluar
dari Mekah. Jawab Umu Abdullah: Bukankah kamu siksa kami, kamu ganggu kami,
kamu tidak mahu lagi kepada kami, jadi biarlah kami keluar dari Mekah. Kamu
tidak rugi apa-apa kalau kamu biarkan aku keluar dari Mekah. Hati Saidina Umar
tersentuh bahkan dia jadi lembut. Kata Saidina Umar: kalau begitu ini
perpisahan diantara kita wahai Umu Abdullah. Memang Saidina Umar ada hubungan
darah dengan Umu Abdullah. Kata Saidina Umar lagi, moga keselamatan menyertai
perjalanan kamu. Inilah kali pertama Saidina Umar berlembut, Umu Abdullah
sendiri terkejut. Sebelum ini Saidina Umarlah orang yang paling keras dengan
Islam. Dialah yang sukarela datang mengazab seorang jariah dari Bani Muammilah.
sedangkan Saidina Umar bukan dari Bani Muammilah. Namun kerana tak senangnya
dengan Islam dia menawarkan diri untuk mengazab jariah Bani Muammilah ini. Dia
akan pukul jariah ini semahu-mahunya sampai dia jemu. Maha Besar Tuhan, malam
ini kali pertama dia berlembut. Seolah-olah hatinya sedang dipersiapkan untuk
sesuatu. Allahlah yang Maha Mengetahui.
Bila Umu Abdullah sampai kepada
anaknya, anaknya bertanya, wahai ibu adakah orang yang melihat kamu? Saidina
Umar telah melihat aku… terkejut Abdullah, tapi bagaimana ibu boleh lepas?
Itulah yang berlaku, Maha Besar Tuhan, bukan saja aku dilepaskan bahkan Umar
juga mendoakan keselamatan aku dalam perjalanan. Kata Abdullah pada ibunya,
mungkin kerana ibu terlalu berharap Umar masuk Islam. Benar demi Allah, aku
memang terlalu berharap agar Umar masuk Islam. Oleh kerana Saidina Umar sangat
terkenal dengan permusuhannya kepada Islam seperti Abu Jahal juga Abdullah tak
percaya Umar akan masuk Islam. Kata Abdullah: wahai ibu, demi Allah Umar tak
akan mengucap dua kalimah syahadah selagi himarnya tidak mengucap terlebih
dahulu. Mustahil bagi Abdullah seorang yang bernama Umar Al Khattab akan masuk
Islam. Tapi begitulah ketentuan Allah, begitulah pemilihan Allah, Allah pilih
siapa yang Allah kehendaki untuk agamanya.
Memang benar waktu itu Saidina Umar
belum lunak dengan Islam, dia hanya berlembut dengan Umu Abdullah atas dasar
hubungan darah antara mereka. Bila Saidina Umar pulang ke rumahnya, dia
berfikir semula bagaimana boleh berlaku semua musibah ini, pecah-belah
dikalangan Kafir Quraisy yang berlaku, orang mula meninggalkan Mekah. Siapa
puncanya? Saidina Umar mendapati semua ini berpunca dari Muhammad. Ketika itu
dia tekad untuk membunuh Rasulullah Saw agar selesai semua masalah ini.
Besoknya sebaik saja dia bangun pagi terus dia mempersiapkan dirinya dengan
pakaian dan peralatan perang. Dia keluar dari rumahnya dengan hati yang bulat untuk membunuh Rasulullah
Saw. Rupaya ada seorang Sahabat Rasulullah Saw melihat Saidina Umar berjalan
bergegas-gegas dalam keadaan begitu. Walaupun dia sudah masuk Islam tapi orang
tak tahu dia sudah Islam. Kerana tekanan yang terlalu hebat ketika itu Sahabat
ini menyembunyikan keislamannya. Beliau ialah Saidina Nua'em bin Abdullah. Bila dia melihat Saidina Umar dengan
pakaian perangnya dan lengkap dengan senjata, dimukanya jelas kemarahan. Dia
memberanikan diri menegur Saidina Umar. Kemana kamu nak pergi wahai Umar? Aku
nak pergi membunuh orang yang memecah belahkan kaumku dan menghina
datuk-nenekku. Saidina Nuaem jadi cemas, ini Saidina Umar yang keras dan gagah,
semua orang tahu kalau dia tekad berbuat sesuatu dia tak akan berpatah balik
lagi. Saidina Nua'em bimbang berlaku sesuatu yang tak diingini kepada
Rasulullah Saw. Hatinya tak putus-putus berdoa kepada Tuhan. Allah campakkan ke
dalam hatinya agar dia nak cuba mengingatkan Saidina Umar. Wahai Umar, apakah
kamu rasa kamu boleh lepas dari Bani Abdul Muttalib kalau kamu bunuh Rasulullah
Saw. Jawab Saidina Umar dengan tegas, walaupun aku akan dibunuh oleh Bani Abdul
Mutalib, aku tak peduli. Saidina Nuaem makin cemas melihat Saidina Umar yang
sudah tidak fikir nyawanya sendiri lagi tapi dia mesti cuba melambat-lambatkan
Saidina Umar lagi supaya dia sempat memberitahu Rasulullah Saw dan para
Sahabat. Akhirnya dia menyebut kepada Saidina Umar, kalau begitu kamu mulakan
dulu dengan keluarga kamu. Tanya Saidina Umar, siapa yang kamu maksudkan? Kata
Saidina Nua'em, adik perempuan kamu Fatimah. Apakah Fatimah dah meninggalkan
agamanya? Bentak Saidina Umar. Betul kata Saidina Nua'em.
Tampa berlengah lagi Saidina Umar
segera menuju ke rumah adiknya. Ketika itu Fatimah dan suaminya baru masuk
Islam. Suaminya Saidina Saad bin Zaid antara golongan Assabiqunal Awwalun dan
10 orang Sahabat yang dijamin syurga. Bila Saidina Umar sampai kerumah Fatimah,
dia dapat mendengar suara orang membaca Al Quran. Fatimah dan suaminya sedang
belajar Al Quran dari Saidina Khabab bin Arat. Rasulullah Saw menghantar
Saidina Khabab bin Arat untuk mengajar Saidina Saad dan Fatimah yang baru masuk
Islam. Saidina Umar memukul pintu rumah dengan kuat. Diceritakan, Saidina Umar
seorang lelaki bertubuh sasa, besar, gagah, dan perawakannya digeruni.
Dikalangan Sahabat Rasululah, yang sasa seperti Saidina Umar hanya Saidina
Khaled Al Waled. Fatimah dan suaminya cepat-cepat menyembunyikan Saidina
Khabab, baru mereka membuka pintu. Saidina Umar terus menengking Fatimah, apa
yang aku dengar tadi? Tak ada apa-apa, kata Fatimah. Aku dengar tadi!!, bentak
Saidina Umar. Apakah itu dari Muhammad?! Mereka diam tak menjawab. Saidina Umar
berpaling kepada Saidina Saad, adik iparnya, apakah kamu dah murtad?! Saidina
Saad dengan tenang menjawab, aku tidak murtad wahai Umar tapi aku masuk Islam.
Tangan Saidina Umar pantas menempeleng Saidina Saad. Sekali tempeleng berdarah
hidung Saidina Saad. Fatimah cuba menghadang Saidina Umar dari memukul
suaminya. Fatimah pula ditempeleng. Berdarah juga hidung Fatimah.
Ketika itu Fatimah menangis, hatinya
merintih agar hati Saidina Umar lembut kepada Islam. Saidina Umar, bila melihat
suasana itu, darah mengalir dari muka Fatimah adiknya dan Saidina Saad adik
iparnya, Fatimah pula menangis. Menyelinap ke dalam hati Saidina Umar perasaan
kasihan pula, hatiya jadi lembut. Kata Saidina Umar, tunjukkan pada aku Sohifah
yang kamu baca tadi. Fatimah berkeras tidak mahu memberinya., Akhirnya Saidina
Umar bersumpah, demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu yang tidak
baik. Bila Fatimah nampak Saidina Umar mula lembut, dia segera berterus-terang
kepada Saidina Umar. Wahai Umar, ini kalamullah sedangkan engkau belum Islam,
syirik itu najis, kalau engkau nak baca juga, engkau masuk ke dalam dan engkau
mandi dulu. Oleh kerana hati Saidina Umar ketika itu sedang dicampakkan
perasaan hendak sangat mendengar Al Quran, dia setuju masuk kedalam dan mandi.
Selepas itu baru Fatimah memberikan sohifah itu pada Saidina Umar, lantas
Saidina Umar membacanya. Dengan pentadbiran Allah yang Maha Bijaksana dan Maha
Mengetahui Sohifah itu mengandungi surah Thoha.
Dengan nama Allah Tuhan yang Maha
Pengasih lagi Maha Penyayang
Taa Haa. Kami tidak menurunkan Al
Quran kepadamu wahai Muhammad supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk
menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. Al
Quran diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu
Allah Arrahman yang bersemayam diatas A'rasy. Dialah juga yang memiliki segala
yang ada dilangit dan yang ada dibumi serta yang ada diantara keduanya, dan
juga yang ada dibawah tanah basah diperut bumi. Dan jika engkau menyaringkan
suara dengan doa dan permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu) kerana
sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi. Allah,
tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, baginyalah segala nama yang
baik. Dan sudahkah sampai wahai Muhammad kepadamu perihal Nabi Musa.. Ketika
dia melihat api, lalu dia berkata kepada isterinya: berhentilah! Sesungguhnya
aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan
daripadanya, atau aku dapat ditempat api itu penunjuk jalan. Maka bila dia
sampai ketempat api itu, (kedengaran) dia diseru "wahai Musa".
"Sesungguhnya aku Tuhamnu! Bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada
di Wadi Tuwa yang suci". "Dan aku telah memilihmu menjadi Rasul, maka
dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu". Thohaa 1-13
Membaca ayat-ayat yang ini, hati
Saidina Umar tergugah. Ruhnya terus diproses dek ayat-ayat itu, akhirnya Allah
campakkan hidayah ke dalam hatinya. Bila dia membaca ayat seterusnya:
Terjemahannya:
"Sesungguhnya Akulah Allah!
Tiada Tuhan melainkan Aku! Oleh itu
sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku!. Thohaa 14
Terluncur dari mulut Saidina Umar,
tak sepatutnya yang empunya kata-kata
ini disekutui oleh yang dalam menyembahnya. Alangkah indah dan mulianya kata-kata
ini.
Saidina Umar minta nak berjumpa
Rasulullah Saw. Ketika Saidina Umar menyebut perkataan itu Saidina Khabab
keluar dari tempat sembunyinya. Dia dari tadi mengikuti detik peristiwa itu.
Kata Saidina Khabab, aku yang akan membawa kamu kepada Rasulullah Saw. Saidina
Khabablah yang membawa Saidina Umar ke Darul Arqam.
Semasa sampai dirumah Saidina Arqam
bin Abil Arqam itu, Saidina Umar masih lagi dalam pakaian perangnya dan lengkap
dengan senjata. Sedangkan berita dari Saidina Nua'em telah sampai, bahawa
Saidina Umar nak bunuh Rasulullah Saw. Semua Sahabat telah bersedia untuk
menghadapi Saidina Umar. Mereka semua belum tahu apa yang berlaku di rumah
Fatimah. Bila Saidina Umar ketuk pintu, Saidina Hamzah minta izin Rasulullah
Saw, biar aku yang bunuh dia dengan pedang aku ini. Walaupun Saidina Umar sasa,
gagah tapi dia tak boleh tandingi Saidina Hamzah. Saidina Hamzah seorang
pendekar yang tak ada tandingannya. Kata Saidina Hamzah, kalau dia nak masuk,
masuklah, dengan pedang ini aku bunuh dia. Rasulullah Saw melarangnya, masuk ke
dalam wahai Hamzah. Saidina Hamzah taat arahan Rasulullah Saw, dia masuk ke dalam.
Rasulullah Saw minta pintu dibukakan, semua Sahabat di dalam pelik dan cemas.
Saidina Umar datang hendak membunuh Rasulullah Saw, tiba-tiba Rasululah suruh
buka pintu tanpa ada pengawal. Walau apa pun, ini perintah Rasulullah Saw,
semua Sahabat taat walaupun hati masing-masing cemas. Bila dibuka pintu Saidina
Umar dengan perawakannya yang gagah perkasa itu masuk. Terus dia mendekati
Rasulullah Saw. Rasulullah Saw pegang hujung baju Saidina Umar dan disentapnya
sampai bergegar Saidina Umar dan terduduk dia di depan Rasulullah Saw.
Begitulah kebesaran Rasulullah Saw, bukan saja hatinya, ruhnya, akalnya kuat
tapi tubuh badan baginda juga gagah dan kuat. Terduduk Saidina Umar di depan
Rasulullah Saw. Rasulullah Saw lantas bertanya kepadanya, bila lagi kamu nak
terima Islam wahai Ibnul Khattab. Apakah kamu nak tunggu sampai kamu ditimpa
bala? Ketika itu Saidina Umar melafazkan :
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa engkaulah Pesuruh Allah.
Terus Rasulullah Saw bertakbir.
Allahu akhbar! Allahu akhbar! Sahabat-Sahabat yang di dalam juga ikut
bertakbir. Gema takbir Rasulullah Saw dan para Sahabat mengejutkan Mekah. Semua
orang Mekah merasa ada sesuatu yang berlaku. Rasulullah Saw lantas
memerintahkan semua para Sahabat beredar ketempat masing-masing.
Selepas Saidina umar masuk Islam,
dia bertanya kepada para Sahabat, siapakah dikalangan Kafir Quraisy yang paling
memusuhi Islam. Kata mereka Abu Jahal. Terus Saidina Umar pergi ke rumah Abu
Jahal memberi tahu Abu Jahal bahawa dia telah memeluk Islam. Abu Jahal makin
sakit hati, sekarang Saidina Umar pula masuk Islam. Kemudian Saidina Umar
tanya, siapa dikalangan Kafir Quraisy yang sama sekali tidak boleh menjaga
rahsia. Para Sahabat memberitahunya, Jamil bin Mua'mmir. Saidina Umar segera
pergi mencari Jamil bin Mua'mmir ini.
Saidina Abdullah bin Umar, anakanda
Saidina Umar yang menyaksikan peristiwa itu menceritakan, Saidina Umar berjumpa
Jamil di Ka'bah. Saidina Umar datang dan duduk dekat Jamil. Wahai Jamil, engkau
tahu tak? Apa? Tanya Jamil. Tahukah engkau aku dah mengucap syahadah Islam. Aku
dah masuk Islam. Tanpa bertanya apa apa lagi, terus Jamil bangun dan menjerit
di Ka'bah. Wahai pembesar -pembesar Quraisy, wahai Quraisy, Umar Al Khattab
sudah murtad dari agama kita. Berpusu-pusulah pembesar Kafir Quraisy datang
kepada Saidina Umar. Apakah engkau sudah murtad wahai Umar?! Tidak, jawab
Saidina Umar. Tapi aku dah Islam, aku telah mengucap syahadah. Tanpa berlengah
mereka semua mula memukul Saidina Umar. Ketika pembesar-pembesar Kafir Quraisy
memukul Saidina Umar, Saidina Umar membalas pukulan mereka. Perlawanan antara
Saidina Umar dan pembesar-pembesar Quraisy itu berlaku dari pagi sampai
menjelang Maghrib. Oleh kerana Saidina Umar seorang diri berlawan dengan
pembesar-pembesar Kafir Quraisy yang ramai itu, Saidina Umar keletihan, dia dah
tak larat lagi. Ketika itu Saidina Umar mencari siapa dikalangan mereka yang
paling mulia dan paling besar kedudukannya dikalangan Kafir Quraisy.
Ketika itu Saidina Umar nampak Utbah
bin Rabeah. Cepat cepat Saidina Umar menumbangkan Utbah ke tanah dan terus dia
naik keatas Utbah lantas diletakkan jarinya kemata Utbah. Kata Saidina Umar,
wahai Utbah jauhkan mereka semua dari aku, kalau tidak aku butakan mata engkau.
Utbah yang tak dapat berbuat apa-apa lagi terpaksa meminta kepada semua
pembesar Kafir Quraisy yang lain beredar dari situ. Dengan itu terlepaslah
Saidina Umar dari Kafir Quraisy. Begitulah yang Saidina Umar lakukan selepas
itu. Kalau Kafir Quraisy ganggu saja Saidina Umar, dia akan pegang Utbah.
Akhirnya tak ada yang berani mengganggu Saidina Umar. Besoknya Saidina
Umar datang ke Ka'bah, dia baca Al Quran
dengan lantang di Ka'bah. Tidak ada seorang pun yang berani mengganggu. Kalau
mereka ganggu Saidina Umar akan tumbangkan salah seorang pemuka Kafir Quraisy
dan lakukan seperti yang berlaku kepada Utbah.
Selepas itu Saidina Umar datang
mengadap Rasulullah Saw di Darul Arqam. Katanya,wahai Rasulullah Saw bukankah
kita orang Islam dan bukankah mereka orang Kafir. Benar, kata Rasulullah Saw.
Kata Saidina Umar, kalau begitu Rasulullah Saw, kenapa kita sembunyikan Islam
kita. Benar, kata Rasulullah Saw. Dengan itu Rasulullah Saw mengumpulkan para
Sahabat di darul Arqam. Sahabat-Sahabat dari kalangan bangsawan Kafir Quraisy
dan yang merdeka, adapun yang hamba Rasulullah Saw tidak panggil. Bila
dikumpulkan jumlah mereka semua 40 orang. Rasulullah Saw membariskan mereka dua
barisan. Masing-masing dengan senjata masing-masing. Barisan pertama diketuai oleh Saidina Hamzah. Barisan kedua diketuai
oleh Saidina Umar. Rasulullah Saw berada di antara dua barisan. Jadi mereka
keluar dari darul Arqam dalam satu perarakan yang sangat luar biasa menuju ke
Ka'bah sambil bertakbir :
Tiada Tuhan melainkan Allah, Nabi
Muhammadlah Pesuruh Allah dan Allah lah yang Maha Besar.
Kafir Quraisy hanya mampu melihat,
mereka tak boleh buat apa-apa. 40 orang itu semuanya dari Quraisy dan dari
keluarga-keluarga bangsawan mereka. Naiklah izzah agama Allah ketika itu.
Dengan itu berpindahlah era Islam kepada era berterus terang. Bila Saidina Umar
masuk Islam dan dakwah Islam makin besar dan makin terang-terangan, Kafir
Quraisy semakin tertekan. Dengan itu makin kuat pula tekanan yang mereka
lakukan kepada Rasulullah Saw dan para Sahabat.
Kata Saidina Abdullah bin Masu'ud
Kami tak boleh sembahyang di Ka’bah
sehinggalah Saidina Umar masuk Islam. Bila mana dia masuk Islam, dia memerangi
mereka sehingga Kafir Quraisy membenarkan kami sembahyang.
Katanya lagi,
Sesungguhnya Islam Saidina Umar
adalah satu kemenangan
Oleh kerana terlalu sakit hati
dengan perkembangan Islam dan kejayaan Rasulullah Saw, Abu Jahal sampai berani
datang berjumpa Rasulullah Saw untuk memberi amaran ini. Kata Abu Jahal, wahai
Muhammad :
Wahai
Muhammad, kalau kamu cerca lagi Tuhan kami selepas hari ini, kami akan mencerca
Allah.
Begitulah Abu Jahal bila syaitan yang memimpinnya, sedangkan
Kafir Quraisy beriman kepada Allah, mereka menyembah berhala hanya sebagai
wasilah mereka kepada Allah. Tapi Abu Jahal sanggup mencerca Allah.
No comments:
Post a Comment