Saidina Abu Zar Masuk Islam


Salam wrt. Orang pertama dari luar Mekah yang menerima Islam ialah Saidina Abu Zar Al Ghifari dari Kabilah Ghifar. Kabilah Ghifar ini terkenal sebagai perompak dan penyamun padang pasir. Allah telah memilih Saidina Abu Zar dari kelompok ini untuk mendapat kebenaran. Sedangkan dia memang sudah lama mencari kebenaran itu. Bila dia mendengar tentang Rasulullah Saw. Dia, saudaranya dan ibunya bermusafir ke Mekah. Bila sampai diperbatasan Mekah, Abu Zar menghantar adiknya dulu pergi bertanya tentang Islam. Bila adiknya bertanya orang Mekah tentang Islam, dia kena pukul. Bila dia balik, dia beritahu Saidina Abu Zar bahawa dia tidak mendapat sebarang berita. Akhirnya Saidina Abu Zar pergi sendiri. Sedangkan Abu Zar ini tak ada duit dan tak ada pula bekalan makan-minum. Jadi makan dan minumnya hanya air Zamzam. Dengan kuasa Allah dia merasa kenyang. Begitulah keberkatan Zamzam. Tiga hari tiga malam dia mencari maklumat tentang Islam, dia belum mendapat apa-apa. Kalau orang dari luar Mekah bertanya tentang Islam mereka akan dipukul. Manakala orang Islam di Mekah dihalang dari menyampaikan dakwah. Begitulah tekanan yang dibuat oleh Kafir Quraisy kepada dakwah dan perjuangan Rasulullah Saw ketika itu.


Malam keempat, ketika Abu Zar di Ka'bah. Maha Besar Tuhan, pada malam itu Allah datangkan rasa mengantuk kepada semua orang Mekah. Semua orang tertidur. Tak ada siapa di Ka'bah melainkan Abu Zar seorang seorang diri. Biasanya Ka'bah sentiasa dipenuhi dengan orang siang dan malam. Tapi malam itu hanya Abu Zar seorang di Ka'bah. Sedang Abu Zar tafakur, datang dua orang jariah iaitu hamba perempuan beribadah dekat Isaf dan Nailah. Abu Zar memberanikan diri bertanya pada jariah ini. Apakah kamu tahu tentang agama Muhammad. Kata mereka kepada Abu Zar, apa urusan kami dengan agama baru itu. Takkan engkau nak tinggalkan Isaf dan Nailah dan nak cari Tuhan baru. Kata Abu Zar, bukankah Isaf dan Nailah ini asalnya dua orang yang berzina? seperti yang kita dah cerita sebelum ini. Dua orang jariah ini bila mendengar Saidina Abu Zar menghina Tuhan mereka, mereka menjerit dan bangun berlari nak mengadu. Ketika mereka nak keluar terserempak dengan Rasulullah Saw dan Saidina Abu Bakar yang baru sampai ke Ka'bah. Melihat keadaan itu Rasulullah Saw tanya dua orang jariah itu, apa yang berlaku kepada mereka. Kata mereka, ada seorang lelaki dekat Ka'bah menghina Tuhan. Rasulullah Saw tersenyum dan tanya mana orang itu? Akhirnya bertemulah Saidina Abu Zar dengan Rasulullah Saw. Saidina Abu Zar terus masuk Islam dan minta izin untuk belajar Islam dengan Rasulullah Saw sendiri, bukan melalui orang lain.

Rasulullah Saw berpesan, nanti Kafir Quraisy akan menyakiti kamu. Saidina Abu Zar tetap merayu. Aku nak belajar tentang Islam wahai Rasulullah Saw. Bila Rasululah melihat kesungguhan yang luar biasa dari Saidina Abu Zar ini. Rasulullah Saw memberi jalan padanya. Kata Rasulullah Saw, besok aku akan keluar dari rumah dan pergi ke rumah Arqam bin Abi Arqam. Darul Arqam markaz pertama dakwah Rasulullah Saw. Tempat Rasululah dan para Sahabat berkumpul. Pusat pendidikan Rasulullah Saw yang pertama. Kamu perhati dari jauh dan ikut dari jauh. Lepas tu nanti engkau datang ke situ. Selepas itu Abu Zar pun datang dan selama 15 hari dia belajar dengan Rasulullah Saw dan para Sahabat yang lain tentang Iman dan Islam. Telah berlaku satu proses pemindahan rasa dan pemindahan ilmu dari Rasulullah Saw dan para Sahabat kepada Abu Zar yang baru Islam. Ilmu yang tersurat sikit sangat pada waktu itu. Syariat belum turun. Yang besar itu proses pemindahan rasa. Rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mesti ada dalam hati setiap orang yang beriman. Sepanjang 15 hari itu Abu Zar hanya minum air Zamzam. Dia kenyang. Allah beri dia kenyang kerana hatinya telah penuh dengan Iman.

Selepas itu dia minta izin pulang kepada kaumnya berbekalkan 15 hari dia bersama dengan Rasulullah Saw dan para Sahabat di Darul Arqam. Dia dah tak jumpa lagi Rasululah selepas itu. Maklumlah Saidina Abu Zar ini bukan orang kaya, manalah mampu nak bermusafir selalu. Namun 15 tahun selepas itu, setelah Rasulullah Saw berhijrah ke Madinah. Abu Zar telah datang mengadap Rasulullah Saw dengan membawa bersamanya separuh dari kaumnya. Semua mereka dah Islam. Inilah hasil dakwah Saidina Abu Zar yang mendapat kursus dakwah dari Rasululah selama 15 hari di Darul Arqam.  Mari kita belajar dengan Saidina Abu Zar. Bagaimana dia memperjuangkan  Islam. Dia tak jumpa Rasulullah Saw tapi terpimpin untuk berkerja dan berjuang. Inilah dia pimpinan roh. Walaupun tak bertemu tapi rohnya terhubung dengan roh Rasulullah Saw. Akhirnya semua kerja dan usahanya Allah berkati dan Allah bantu. Inilah yang tidak ada pada kita Umat Islam hari ini. Makin berbincang makin tak boleh buat kerja, makin berbincang makin gagal, makin hina di depan musuh Islam. Sebab itu dalam Islam, proses membaiki hati dan membaiki roh ini sangat penting. Membersihkan hati dari sifat-sifat keji kepada sifat-sifat yang terpuji. Bila hati bersih Allah pimpin dalam segala hal.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah