berdakwah kepada keluarga terdekat


Salam wrt. Selepas itu, Rasulullah Saw diperintahkan untuk menyampaikan secara khusus kepada keluarganya yang terdekat. Jadi baginda kumpulkan kaum kerabatnya  dari Bani Abdul Mutalib di rumahnya. Kesemua mereka datang. Sebelum Rasulullah Saw bercakap Abu Lahab bangun bercakap dulu. Wahai Muhammad, kalau engkau kumpulkan kami untuk memperkatakan tentang agama kamu, cukup, jangan bercakap, kami tidak ada masa untuk mendengarnya. Oleh kerana suasana yang begitu tegang Rasulullah Saw menangguh dulu apa yang Rasulullah Saw nak sampaikan. Selepas itu Rasulullah Saw panggil lagi semua kaum kerabatnya tapi baginda tidak panggil lagi Abu Lahab. Rasulullah Saw buat kenduri dan Rasulullah Saw muliakan mereka dan jamu mereka makan.  Lepas itu baru Rasulullah Saw bercakap kepada mereka. Rasulullah Saw sebut nama mereka seorang demi seorang sampailah ibu-ibu saudaranya dan anak-anak permpuannya. Wahai polan-polan, Wahai Sofiyah, Wahai Fatimah, aku tidak dapat membela kamu di depan Allah melainkan kamu menerima agama Allah ini. Dengan majlis itu sebahagian dari kerabat Rasulullah Saw menerima Islam. Antara yang menerima Islam waktu itu, ibu saudaranya Saidatina Sofiyyah binti Abdul Mutalib. Ibu Saidina Zubair bin Awam.


Rasulullah Saw meneruskan dakwahnya mengajak masyarkatnya kepada Tuhan yang sebenarnya. Allah yang Maha Gagah Perkasa, Maha Adil dan Bijaksana, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Segala galanya. Maka mulalah ramai orang masuk Islam terutama dari golongan orang-orang miskin dan golongan yang lemah. Kebanyakannya orang-orang yang tidak ada kuasa, golongan masyarakat jelata, kurang sekali dari orang kaya dan penguasa. Antara yang masuk Islam ketika itu Saidina Yasir, isterinya Saidatina Sumayyah dan anaknya Saidina Ammar. Begitu juga Saidina Khabab bin Arat, Saidina Bilah, Saidina Suhaib Ar Rumi, Saidina A'mir bin Fuhairah, Saidina Abdullah bin Masu'd RA. Kesemua mereka dari golongan orang orang yang lemah. Ada yang dari golongan hamba abdi, ada yang merdeka tapi tidak ada harta dan tak ada kuasa.

Ketika itu Pembesar pembesar Kafir Quraisy sudah mula melarang masyarakat dari mengikut Rasulullah Saw. Saidina Abu Bakar yang ketika itu tekad untuk menyampaikan dakwah. Akhirnya dia pergi ke Ka'bah dan membaca Quran di situ dengan suara yang kuat. Pembesar-pembesar Kafir Quraisy yang tak tahan melihat hal itu memukul Saidina Abu Bakar sampai berdarah-darah mukanya. Begitulah kegigihan dan kesabaran Saidina Abu Bakar dalam menyampaikan dakwah, memperjuangankan agama Allah, memperkenalkan Tuhan Rafiqul A'la dan memperkenalkan Rasulullah Saw kepada orang orang Mekah.

Antara yang mengiklankan keIslamannya lagi ialah Saidina Abdullah bin Masu'd. Saidina Abdullah bin Masu'd ketika itu mengambil upah menjaga kambing-kambing Uqbah bin Muayyeth salah seorang pembesar Quraish. Sejarah menceritakan Saidina Abdullah ini sangat kurus orangnya. Malah orang-orang Mekah selalu memperlecehkannya kerana badannya yang sangat kurus itu Bahkan para Sahabat di Madinah juga pernah tertawa melihat melihat betis Saidina Abdullah yang sangat kurus itu. Satu ketika sedang dia naik ke atas Himarnya, terbuka betisnya, para Sahabat tertawa. Kata Rasulullah Saw kepada para Sahabat:

Wahai Para Sahabat, apakah kamu mentertawakan kurusnya betis Ibnu Masu’d. Demi Allah, kaki Ibnu Masu’d ini dalam timbangan Allah lebih berat dari Bukit Uhud.

Saidina Abdullah bin Masu'd ini pergi ke Ka'bah dan membaca surah Al Rahman dengan suara yang kuat. Mulalah orang orang kafir Mekah berdatangan kepadanya dan memukulnya. Abdullah meneruskan bacaan. Dia tahan dan buat tak tahu orang pukulnya tapi dia terus baca surah Arrahman. Bila sampai beritanya pada Rasulullah Saw. Rasulullah Saw bertanya. Wahai Ibnu Masu'd, apa yang kamu telah buat. Kata Ibnu Masu'd, kalau Rasulullah Saw mahu saya ulang lagi hal itu esok, saya akan ulangkan lagi. Kata Rasulullah Saw, cukup, nanti dulu. Begitulah semangat dan jiwa perjuangan yang Allah campakkan ke dalam hati mereka. Biar mereka dipukul dan dihina demi memperkenalkan Tuhan dan wakil Tuhan kepada masyarakat. Bagaimana pula kita memperkenalkan Tuhan dan memperkenalkan Rasulullah Saw wakil Tuhan kepada manusia. Mungkin kepada diri dan anak isteri kita pun belum sungguh-sungguh lagi kita perjuangkan Tuhan dan perjuangkan Rasulullah Saw dalam kehidupan kita.


Bila dakwah makin rancak, orang-orang kafir Mekah makin tercabar kerana merasa tuhan-tuhan mereka telah diperbodohkan. Mereka datang mengadu kepada Abu Talib sebagai ketua Mekah ketika itu sedangkan Rasulullah Saw berada dalam jaminan keselamatan Abu Talib. Mereka menghasut Abu Talib berlepas tangan dari Rasulullah Saw untuk mereka menghadapi Rasulullah Saw dengan cara mereka atau Abu Talib memerintahkan Rasulullah Saw berhenti dari dakwahnya. Kata Abu Talib, ini anak saudaraku dan jangan ada siapa ganggu dia. Jadi teruslah Rasulullah Saw menyampaikan dakwah dibawah pembelaan dari Abu Talib, bapa saudaranya, ketua Mekah ketika itu.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah