Dari peristiwa tadi, Pembesar pembesar Kafir
Quraisy merasakan betapa Al Quran sangat memberi kesan kepada masyarakat.
Bahkan mereka sendiri terkesan. Dalam mereka melarang masyarakat dari terkesan,
mereka sendiri terkesan bila mendengar ayat-ayat suci Al Quran. Kata mereka ini
merbahaya, mesti ada jalan penyelesaiannya. Akhirnya mereka sepakat untuk
memboikot dan memulaukan Rasulullah dan orang-orang Islam. Orang yang datang
dari luar Mekah juga tidak dibenarkan berhubung dan bermuamalah dengan orang
Islam. Abu Talib bila lihat anak saudaranya Rasulullah Saw di boikot, dia
kumpulkan semua Bani Abdul Mutalib, Bani Abdul Manaf dan Bani Hasyim. Abu Talib
Tanya mereka semua, apakah mereka setuju dengan apa yang dibuat oleh orang
Mekah kepada Rasulullah Saw? Mereka semua tak setuju. Jadi mereka semua sepakat
untuk melanggar sekatan ini. Kata Abu Talib kepada Rasulullah, jangan takut,
kalau mereka semua boikot kami tak akan boikot, kami akan terus membantu.
Abu
Jahal pula, bila melihat Abu Talib membela Rasulullah Saw, dikumpulkan semua
Kafir Quraisy yang lain. Dia gesa semua Kafir Quraisy ini supaya memboikot juga
Bani Abdul Mutalib, Bani Abdul Manaf dan Bani Hasyim dan siapa saja yang
membantu Rasulullah Saw. Akhirnya Abu Jahal berjaya mempengaruhi semua Kafir
Quraisy yang lain untuk membuat sekatan terhadap Rasulullah Saw, orang Islam
dan keluarga Rasulullah Saw semua sekali. Mereka tulis perjanjian ini dan
digantungkan di dalam Ka’bah.
Antara
isi watikah ini,
Allahumma
bismika...
1.
Tidak dibenarkan sesiapa berjual beli dengan Bani Abdul Muatlib, Bani Abdul
Manaf dan Bani Hasyim serta siapa juga yang beriman dengan Muhammad
2.Tidak
dibenarkan sesiapa menjamu mereka
3.Tidak
dibenarkan sesiapa melakukan perkahwinan dengan mereka
4.Tidak
dibenarkan mereka membeli makanan dari luar Mekah
Bila
Abu Talib melihat suasana genting ini, dia ajak semua Bani Abdul Mutalib, Bani
Abdul Manaf dan Bani Hasyim keluar kesatu tempat dihujung Mekah supaya mereka
dapat hidup bersama, bantu membantu untuk menghadapi sekatan ini. Akhirnya
tempat itu dikenali dengan nama Syiab Abu Talib. Kampung Abu Talib. Begitulah
keadaan mereka selama 3 tahun. Mereka tidak boleh membeli makanan dari Kafir
Quraisy dan dari luar Mekah. Kalau ada pedagang dari luar Mekah nak menjual
kepada Bani Abdul Mutalib, Kafir Quraisy akan membayar berkali ganda supaya
mereka menjual kepada Kafir Quraisy. Ketika itu orang orang Abu Talib ada harta
dan ada wang tapi mereka tak boleh membeli. Sampailah mereka semua menghadapi
kebuluran.
Walaupun
begitu ada juga pembesar Kafir Quraisy secara peribadi yang simpati kepada
orang-orang Abu Talib. Mereka juga ada hubungan darah dengan Bani Abdul
Mutalib, Bani Abdul manaf dan Bani Hasyim. Antara yang cuba membantu Hakem bin
Khuzam. Waktu itu dia belum Islam tapi salah seorang dari pemimpin Kafir
Quraisy. Hakem ini ada hubungan kerabat dari sebelah ibunya dengan Bani Abdul
Mutalib. Satu hari dia siapkan makanan di atas unta untuk dihantar ke Syiab Abu
Talib. Abu Jahal nampak, jadi dia terus tanya, nak pergi mana wahai Hakem? Kata
Hakem, ini urusan aku. Engkau nak hantar makanan kepada Muhammad dan Sahabat
Sahabatnya? Ini urusan aku. Abu Jahal berkeras, tidak,ini bukan urusan kamu,
kamu tak boleh hantar. Abu Jahal menghalang perjalanan Hakem. Sedang mereka
bergelut itu datang Abul Buhturi bin Hisyam. Dia juga salah seorang pemimpin
Kafir Quraisy, dia juga simpati kepada Rasulullah Saw tapi atas dasar nasab
bukan atas dasar agama. Kata Abul Buhturi, ini urusan Hakem, dia berhak buat
apa yang dia mahu, dia juga salah seorang pemimpin Kafir Quraisy, kata Abul
Buhturi kepada Abu Jahal, engkau tak ada hak nak menghalangnya. Abu Jahal
berkeras, ditolaknya Abul buhturi, Abul Buhturi tampar Abu Jahal, bergaduh
mereka berdua disitu, menang Abul Buhturi. Jadi lepaslah Hakem menghantar
makanan ke Syiab Abu Talib. Ada juga orang lain yang turut membantu. Tapi
makanan yang dihantar itu tak mencukupi untuk semua. Sekatan ini sampai
menyebabkan orang orang Islam dan keluarga Rasulullah Saw terpaksa makan rumput
kering.
Akhirnya.
Hisyam bin Amr salah seorang pimpinan Kafir Quraisy juga, yang juga simpati
dengan Bani Hasyim merasa tak senang dengan sekatan itu. Dia mula berfikir
bagaimana nak membantalkan sekatan itu. Akhirnya dia berjaya mengumpulkan empat
orang lagi dikalangan pimpinan Kafir Quraisy yang sependapat dengannya. Lima
orang ini, Hisyam bin Amr, Zuhair bin Abi Umayyah, Mutee'm Ibnul A'di, Zuma'ah
bin Aswad dan Abul buhturi. Esoknya kelima-lima orang ini pergi ke Ka'bah untuk
membatalkan perjanjian sekatan itu. Hisyam yang jadi jurucakap. Dia menyeru
kepada Kafir Quraisy, wahai Kafir Quraisy kita sudah bersalah terhadap kaum
kita sendiri, 3 tahun kita boikot kaum kita sendiri, 3 tahun mereka kelaparan.
Demi Allah, ini satu keaiban, orang lain akan mengaibkan kita selama-lamanya
selepas ini. Kita mesti batalkan perjanjian ini. Bangun Abu Jahal membantah
kerana hal ini telah sepakat antara Kafir Quraisy, sekatan akan berterusan
selagi mereka tidak kembali ke agama asal mereka. Bangun pula Zuhair bin Abu
Umayyah, kita mesti batalkan sekatan ini. Abu Jahal bantah lagi. Bangun pula
Mutee'm bin Adi, kita mesti batalkan. Abu Jahal menjerit membantah lagi. Bangun
pula Abul Buhturi, kita mesti batalkan. Abu Jahal membantah lagi. Bangun pula
Zumaa'h dari tengah orang ramai, kita mesti batalkan sekatan ini. Bayangkan
suasana ini, Abu Jahal seorang diri berkeras berhadapan dengan lima orang
pemuka Mekah yang lain yang semuanya setuju agar sekatan itu dibatalkan. Oleh
kerana pergerakan lima orang ini tersusun, orang ramai menyangka bahawa inilah
pandangan semua pemimpin Mekah kecuali Abu Jahal. Yang sebenarnya hanya mereka
lima orang saja. Akhirnya salah seorang dari yang lima tadi masuk ke Ka'bah
untuk mengoyak perjanjian itu. Rupanya perjanjian itu sudah dimakan anai anai,
dah tak ada lagi, yang ada hanya kalimah Allahumma bismika... Dengan itu
diangkatlah sekatan dari Rasulullah Saw, oran- orang Islam, Abu Talib dan orang
orangnya. Mereka semua kembali semula ke rumah mereka di Mekah. Begitulah
pengorbanan Abu Talib dan keluarganya kepada Rasulullah Saw.
Perjuangan
Rasulullah Saw dan para Sahabat terus ke depan, tapi tak pernah sunyi dari
ujian. Rasululah dan Para Sahabat tetap sabar dalam menempuh ujian dan tetap
yakin dengan bantuan dan janji janji Allah bahawa saat saat kemenangan akan tiba.
No comments:
Post a Comment