Akhirnya
sampailah hari yang bersejarah, di mana dengan itulah berlaku perubahan besar
kepada dunia ini dan juga kepada sejarah manusia dan sejarah dunia. Mengikut
pandangan yang dipilih oleh para Ulamak, tarikh itu ialah pada malam 27
Ramadhan. Ketika Rasulullah Saw sedang beribadah di Gua Hirak, tiba-tiba muncul
seorang lelaki berpakaian putih membawa satu bekas Dibaj, satu jenis kain
sutera, di dalamnya ada Kitab. Begitulah Rasulullah Saw menceritakan tentang
peristiwa itu. Kata Rasulullah Saw, aku menjadi takut bila lelaki itu muncul
tiba-tiba dan dia berjalan ke arahku dan menyuruh aku membaca اقرأ dan
ditunjukkan Kitab kepadaku. Aku menjawab dalam ketakutan. Aku tidak tahu
membaca. Lelaki itu memeluk aku dengan satu pelukan yang sangat kuat.
Hampir-hampir nyawaku keluar dari jasad namun ketika itu hilang rasa takut aku
kepadanya. Lelaki itu menyuruh aku lagi.
Ya Muhammad, iqra!
Aku menjawab,
aku tidak boleh membaca dipeluknya aku lagi seperti pelukan yang pertama tadi.
Dia menyuruh aku baca lagi, Wahai Muhamad baca, sekali lagi aku menjawab, aku
tidak boleh membaca. Lelaki itu memeluk aku lagi kali ketiga, hampir hampir aku
mati. Wahai Muhammad baca, aku jawab lagi , aku tidak boleh membaca. Kata
lelaki itu:
Bacalah wahai Muhammad dengan nama
Tuhan yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal
darah. Bacalah bersama Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang telah mengajar dengan Al
Qalam. Yang mengajar kepada manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. (Al A'laq 1-5)
Inilah
ayat pertama yang turun dari langit. Ayat ini turun pada malam Lailatul Qadar,
dibulan Ramadhan. Firman Allah :
Sesungguhnya
kami (Allah) telah menurunkannya pada malam Lailatul Qadar
Kata
Rasulullah Saw : Selepas aku membaca ayat ini lelaki tadi pun hilang.
Rasulullah Saw menjadi semakin takut apa sebenarnya yang sedang berlaku pada
dirinya. Pada masa itu juga Siti Khadijah di rumah, isteri solehah yang sangat
setia, sangat menyayangi dan memahami suaminya, hatinya dapat merasakan ada
sesuatu yang sedang berlaku pada suaminya. Subhanallah begitulah isteri yang
telah menjiwai suaminya, berlaku hubungan hati antara mereka kerana kedua
duanya mempunyai hati yang bersih. Siti Khadijah menghantar khadamnya untuk
melihat Rasulullah Saw di Gua Hirak. Ketika itu Rasulullah Saw sudah bergerak
turun dari gua sambil berlari selepas mengalami peristiwa besar tadi. Bila
khadam sampai di Gua, dia mendapati Rasulullah tidak ada disitu, lalu dia
bergegas mencari di sekitar kawasan itu namun Rasulullah tidak pun ditemuinya.
Ketika
itu Rasulullah Saw sedang berlari menuju ke Mekah. Tiba-tiba sedang Rasulullah
Saw berlari itu, satu suara dari langit memanggil wahai Muhammad. Ketika itu
Rasulullah Saw melihat ke langit. Baginda terpandang satu pemandangan yang
paling pelik bagi seorang manusia. Baginda lihat Saidina Jibril sedang berada
di atas Arasy, terawang-awang di udara dengan 600 sayapnya memenuhi langit dari
Timur ke Barat. Langit kelihatan penuh. Sehingga ke mana saja Rasulullah Saw
Baginda tetap nampak Saidina Jibril. Lalu Saidina Jibril menyeru :
Wahai
Muhammad, engkaulah Rasulullah Saw
Wahai
Muhammad, engkau pesuruh Allah, akulah Saidina Jibril.
Kerana
hebatnya peristiwa itu, Rasulullah Saw berdiri terpaku ditempatnya. Allah telah
menggambarkan peristiwa dalam Al Quran.
Demi
bintang bila ia terbenam. Tidaklah sesat temanmu Muhammad dan tidak pula dia
tersalah kepercayaannya. Dan tidaklah
juga dia berbicara menurut hawa nafsunya. Ia (Al Quran) tidaklah selain wahyu
yang diwahyukan kepadanya. Sementara yang telah mengajarnya ialah yang
tersangat perkasa (Jibril) yang mempunyai akal yang benar lalu dia berdiri
dengan rupa asalnya sedangkan dia berada di ufuk tertinggi. Lalu ia hampir dan
semakin hampir kepada Rasulullah. Sehingga jaraknya dari Rasululah hanyalah sejarak
dua buah panah atau lebih dekat lagi. Kemudian dia mewahyukan kepada hambanya
Muhammad apa yang diwahyukannya. Tiadalah hati Rasulullah mendustakan apa yang
dilihat oleh matanya. (An
Najm 1-11)
Begitulah
gagahnya Saidina Jibril. Bukankah dia ketua para Malaikat dan dialah yang
berperanan menyampaikan wahyu kepada para Nabi dan para Rasul. Kalau nak
dibayangkan bagaimana kekuatan Saidina Jibril, lihatlah bagaimana dengan hujung
satu sayapnya sahaja, dia boleh mengangkat satu negeri dan dibenamkannya kembali
ke bumi sehingga menjadi sebuah laut.
Itulah dia Laut Mati yang ada di sempadan Jordan dan Pelastin sekarang.
Penglihatan ini bukan khayal tapi penglihatan yang hakiki. Jadi Rasulullah Saw
melihat Saidina Jibril seperti yang Allah ciptakan dengan mata kepalanya.
Rasulullah Saw sepanjang hayatnya hanya melihat Saidina Jibril dalam bentuk ini
dua kali. Ini kali pertama, dan kali kedua semasa Israk Mikraj.
Satu
pemandangan yang terlalu hebat dan dahsyat bila Rasulullah melihat Malaikat
yang paling gagah itu. Sebab itu diwaktu-waktu lain, Saidina Jibril datang
kepada Rasululah dalam berbagai bentuk. Adakalnya dalam jelmaan seorang lelaki,
ada kalanya seperti deringan bunyi loceng. Bahkan pernah juga Saidina Jibril
datang dalam rupa Saidina Dehyah Al kalbi salah seorang Sahabat Rasulullah Saw
yang kacak.
Rasulullah
Saw terpaku di situ beberapa ketika bahkan Baginda tak boleh bergerak kerana
ketakutan menghadapi pengalaman yang sangat luar biasa itu. Setelah Saidina
Jibril hilang cepat-cepat Rasulullah Saw menuju ke rumahnya. Bila Rasulullah
sampai saja di rumah dalam suasana begitu, Siti Khadijah sudah bersedia
menyambut suaminya. Dari wajah suaminya dia sudah tahu suaminya sedang berada
dalam keadaan yang sangat luar biasa bahkan ketakutan yang amat sangat. Bahkan
Siti Khadijah dapat melihat Rasulullah Saw mengeletar dan minta diselimutkan.
Siti Khadijah tanpa banyak tanya terus menyelimutkan Rasulullah Saw sehinggalah
Rasulullah Saw kembali tenang. Ketika itu barulah dia bertanya. Begitulah
beradabnya Siti Khadijah kepada suaminya. Dia bertanya dengan penuh hikmah, apa
yang berlaku? Rasulullah Saw pun menceritakan apa yang berlaku. Kata Siti
khadijah, mungkin kamu takut diganggu oleh jin. Benar, jawab Rasululah Saw.
Lihatlah
bagaimana Siti Khadijah berhadapan dengan suaminya ketika itu. Lihat ulasan
Siti Khadijah. wanita yang terkenal paling baik dizamannya. Sebab itu
disebutkan :
Siti
maryam wanita paling baik dizamannya dan Siti Khadijah juga wanita paling baik
dizamannya
Lihat
ulasan Siti khadijah kepada peristiwa yang dialami oleh Rasulullah Saw
suaminya. Ulasan dari orang yang kenal siapa Rasulullah Saw.Kata khadijah
dengan penuh yakin : Demi Allah, tidak sekali kali kamu akan ditimpakan dengan
perkara yang tidak baik. Sedangkan kamu adalah orang yang menyambungkan
silaturrahim, kamu adalah orang yang membantu orang dalam kesusahan dan orang
orang yang lemah, kamu orang yang berkorban ketika berlaku bala bencana, kamu
orang yang menunaikan hajat orang lain. Dengan segala amalan kamu yang baik
ini, tak mungkin kamu ditimpakan dengan sesuatu yang tidak baik.
Setelah
suasana tenang, Siti Khadijah yang bijaksana dan yang sangat terpimpin dalam
tindakannya itu, telah membawa Rasulullah Saw suaminya bertemu dengan anak
saudaranya Waraqah bin Naufal. Waraqah telah memeluk agama nasrani sebelum ini.
Dia telah belajar Kitab-Kitab Nasrani dan dia tahu, ini zaman kenabian. Bila
diceritakan kepadanya apa yang berlaku kepada Rasulullah Saw, Waraqah mendengar
dengan penuh prihatin. Dia sangat terkejut, semua tanda-tanda yang diketahuinya
ada pada Rasulullah Saw, hingga terluncur dari mulutnya, Maha Besar Tuhan, Maha
Besar Tuhan. Demi Allah, telah datang kepadanya Namus Al Akbar. Saidina Jibril
yang telah datang kepada Nabi Musa sebelum ini. Kemudian Warqah meneruskan lagi
:
Alangkah
baiknya Kalau waktu itu aku masih muda agar aku dapat membantu Rasulullah Saw
berhabis-habisan. Ketika mana kaumnya mengeluarkannya dari negerinya.
Rasulullah
Saw menjadi terkejut. Apakah kaumku akan mengeluarkan aku dari Mekah. Apakah
yang akau lakukan, bukankah Rasululah juga dari kalangan bangsawan mereka. Kata
Waraqah :
Demi
Allah Tidak ada seorang pun yang membawa perjuangan seperti yang kamu bawa
melainkan pasti dia disakiti.
Dengan
turun ayat Iqrak tadi, para ulamak menyebut bermulalah kenabian Nabi kita
Muhammad Saw. Nabi tidak diperintah menyampaikan walaupun Nabi mendapat wahyu.
Sedangkan Rasul itu orang yang dapat wahyu dan diperintahkan menyampaikan.
Selepas itu Saidina Jibril tidak datang lagi kepada Rasulullah Saw dalam satu
tempoh yang agak panjang iaitu selama 6
bulan. Dalam tempuh ini Waraqah meninggal dunia. Rasulullah Saw ada menyebut
dalam Hadis :
Aku
telah melihat Waraqah bin Naufal dalam Syurga
Sebab
dia telah berazam dengan hatinya untuk masuk Islam dan berjuang bersama
Rasulullah Saw.
Pengalaman
bertemu Saidina Jibril pada kali pertama memang menakutkan bagi Rasulullah Saw.
Tapi lama-kelamaan Rasulullah Saw menjadi rindu untuk bertemu dengan Saidina
Jibril dan mendapat wahyu. Sehingga Rasulullah Saw keluar ke padang pasir
menuggu-nunggu kalau-kalau Saidina Jibril datang. Begitulah hikmah terputusnya
wahyu beberapa ketika hingga Rasulullah Saw dapat menyesuaikan diri dengan
wahyu. Rasululah tidak takut lagi bahkan jadi bersedia untuk menerimanya.
Memang itulah yang berlaku kepada Rasulullah Saw. Daripada ketakutan,
Rasulullah akhirnya rindu untuk bertemu Saidina Jibril lalu baginda sering
keluar berseorang ke padang pasir menunggu kedatangan Jibril. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment