Salam wrt. Bila mereka kafir Quraisy melihat usaha ini juga
tidak berjaya. Kafir Quraisy mencipta helah lain pula untuk menentang
kebenaran. Mereka panggil seorang yang
bernama Nadr bin Harist. Dia keturunan Quraisy tapi tinggal di Thaif. Nadr
seorang yang banyak bermusafir. Oleh itu macam-macam yang dia tahu terutama
macam-macam cerita dongeng dan khurafat dari kabilah-kabilah Arab dan
bangsa-bangsa lain diketahuinya. Mereka telah mendatangkan Nadr dan mereka
minta pada Nadr berada dimana saja Rasulullah Saw berdakwah. Kata mereka kepada
Nadr: Bila Muhammad membuka 'cerita khurafatnya', kamu buka pula cerita-cerita
khurafat yang ada pada kamu.
Pada
peringkat awal, perancangan jahat ini dilihat berjaya. Bila saja Rasulullah Saw
berdakwah, Nadr pun datang ketempat itu serta membuka halqah cerita dongengnya
dan khurafat-khurafat yang ada padanya. Ramailah orang datang mendengar ceramah
Nadr dan mereka meninggalkan majlis Rasulullah Saw. Memang begitulah perangai
manusia sejak turun-temurun meminati cerita-cerita dongeng. Cuma wasilahnya
saja yang berbeza mengikut perkembangan teknologi setiap zaman. Bahkan di zaman
kita sekarang juga masih banyak cerita-cerita dongeng yang diminati oleh
masyarakat apalagi ianya dipersembahkan dalam berbagai bentuk saluran bacaan
dan audio visual. Nadr akan bercerita kepada orang ramai bahawa Muhammad tak
lebih dari aku, dia ada cerita dongeng dan khurafat, aku pun ada cerita dongeng
dan khurafat. Begitulah berhari hari, Nadr berjaya menarik orang dari mendengar
dakwah Rasulullah Saw. Tapi akhirnya orang jemu mendengar cerita Nadr dan orang
kembali mendengar Al Quran dari Rasulullah Saw. Namun, bilakah masyarakat jahiliyah modern akan jemu dengan cerita-cerita
dogeng dan kembali kepada ilmu wahyu? Kepada Nadr bin Harist ini juga turun
Al Quran. Bukankah bila kita mendalami sejarah Rasulullah kita akan faham
banyak ayat Quran yang berkaitan dengang perjuangan dan perjalanan hidup
Rasulullah dan Para Sahabat. Semua ayat-ayat Quran yang ada menyebut tentang
perihal cerita dongeng, semuanya adalah jawapan dari Allah kepada perbuatan
Nadr ini.
Sampai
tahap ini Abu Jahal sudah tidak tahan lagi, dia kumpulkan pemimpin pemimpin
Kafir Quraisy, para penentang dakwah Rasulullah Saw. Abu Jahal menegaskan
bahawa semua yang mereka lakukan untuk menyekat Rasulullah Saw tidak berhasil.
Kata Abu Jahal: Oleh itu sekarang aku dah tekad. Aku akan bunuh Muhammad.
Terpulanglah kepada kamu, bila Bani Abdul Mutalib menuntut bela di atas
kematian Muhammad samada kamu akan mempertahankan aku atau tidak. Kalau kamu tidak
mahu mempertahankan aku, biarlah aku dibunuh oleh Bani Abdul Mutalib. Yang
penting aku nak bunuh Muhammad. Begitulah kebencian Abu Jahal kepada Islam.
Nyawanya sanggup dipergadaikan demi menentang kebenaran ini. Akhirnya Kafir
Quraisy bersetuju untuk melindungi Abu Jahal dari Bani Abdul Mutalib.
Ringkasnya mereka sudah sepakat untuk bunuh Rasulullah Saw. Telah menjadi
kebiasaan Rasulullah Saw, bila bersembahyang di Ka'bah baginda sujud panjang.
Pada hari yang dirancangkan mereka menunggu Rasulullah sembahyang dan menunggu
Rasulullah Saw sujud. Seperti yang dirancangkan, semasa Rasulullah sujud nanti,
Abu Jahal akan angkat batu besar yang sudah tersedia di situ dan
menghempapkannya di atas kepala
Rasulullah Saw.
Rasulullah
Saw seperti biasa datang sembahyang di Ka'bah dan sujud panjang. Datanglah Abu
Jahal membawa batu besar yang dia sendiri mengangkatnya dengan susah payah
kerana besar dan beratnya. Namun dipaksakan dirinya mengangkat batu sebesar itu
untuk membunuh Rasulullah Saw. Bila dia sampai dekat dengan Rasulullah Saw yang
sedang tenggelam dengan Tuhan dalam sujudnya, tiba-tiba Abu Jahal melepaskan
batu itu bahkan lari ketakutan bagaikan dikejar sesuatu yang menakutkan. Semua
pembesar Quraisy hairan, tadi Abu Jahal sangat bersemangat untu membunuh
Rasulullah Saw. Tiba-tiba melepaskan batu begitu saja dan lari ketakutan.
Mereka bertanya kepada Abu Jahal, kenapa kamu lari macam orang ketakutan? Kata
Abu Jahal, kamu semua tak nampak kah? Kami tak nampak apa apa pun. Kata Abu
Jahal, kamu semua tak nampak apa yang aku nampak! Apa yang kamu nampak? Tanya
Quraisy. Kata Abu Jahal, aku nampak seekor unta jantan yang sangat besar datang
menyerang aku. Unta itu nak bunuh aku. Kata sebahagian Kafir Quraisy, engkau
buat cerita dongeng wahai Abu Jahal, kami tak nampak apa-apa pun. Begitulah
bantuan Tuhan dan mukjizat Rasulullah Saw telah mengagalkan percubaan Abu Jahal
untuk membunuh Rasulullah Saw. Begitulah janji Tuhan kepada para Nabi dan orang
orang beriman.
No comments:
Post a Comment